Wednesday, March 02, 2005

Amalan bulan Muharram

From The Office of Imam
Masjid Kampung Siglap Singapore

Antara Amalan Pada Bulan Muharram

1) Puasa Asyura (10 Muharram)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas, "Sewaktu Nabi SAW tiba di Madinah, baginda mendapati bahawa orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura'. Apabila ditanya, mereka menjawab, "Hari ini adalah hari kemenangan. Hari ini adalah hari dimana Allah SWT menyelamatkan Bani Israil daripada musuh-musuh mereka lalu Nabi Musa as berpuasa pada hari tersebut.
Nabi SAW kemudian bersabda, "Maka aku lebih berhak dengan Nabi Musa daripada kamu".
Baginda lalu berpuasa dan mengarahkan (para sahabat) untuk turut berpuasa."

Maka dianjurkan bagi kita supaya berpuasa sunat pada Hari Asyura' iaitu pada 10 hb Muharram.
Tujuan kita berpuasa adalah sebagai mengikut sunnah Nabi SAW berpuasa yang berpuasa pada hari tersebut.

Fadhilatnya

Diampunkan dosa-dosa yang dilakukan selama setahun yang lalu.

Nabi SAW bersabda, "Puasa pada Hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun sebelum dan setahun sesudahnya.
Adapun puasa Hari Asyura pula, dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya"

2) Puasa Thosu'ah (9 Muharram)

Selain daripada puasa pada hari Asyura (10 Muharram), umat Islam juga disunatkan berpuasa pada Hari Thosu'ah iaitu 9 Muharram (atau sehari sesudahnya 11hb Muharram).

Nabi SAW bersabda, "Berpuasalah pada Hari Asyura dan perbezakan (diri kalian) dengan org2 Yahudi dengan berpuasa juga sehari sebelum atau sesudahnya".


Persoalan & Perbincangan


Adakah kita disunatkan berpuasa sunat pada 1 Muharram?

Kita tidak disunatkan untuk berpuasa sunat pada 1hb Muharram kecuali sekiranya hari itu jatuh pada Hari Isnin atau Khamis dan memang telah menjadi amalan kebiasaan kita untuk berpuasa pada setiap Hari Isnin dan Khamis.
Maka sekiranya demikian, kita berpuasa sebagai puasa sunat Hari Khamis.

Adakah doa-doa tertentu yang disunatkan untuk dibaca pada awal dan akhir tahun dan apakah fadhilat-fadhilatnya?

Secara umumnya, umat Islam memang digalakkan agar sentiasa memperbanyakkan doa di dalam menjalani kehidupan ini.
Namun, tiada doa khusus yang disunatkan untuk dibaca pada Awal atau Akhir Tahun.

Begitu juga, fadhilat-fadhilat membaca doa tersebut yang masyur sebenarnya bukanlah daripada kata-kata Rasulullah SAW.
Antara fadhilat yang tidak benar tetapi tersebar dengan meluas adalah sebagai berikut:

***** ***** *****
Sesiapa yang membaca Doa Akhir Tahun (yang telah disediakan ini), syaitan akan berkata :
"Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku
satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun"


Sesiapa yang membaca Doa Awal Tahun ini, Syaitan berkata:
"Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan".

***** ***** *****

Al Imam Abu Syamah, Jamaluddin al-Qhasimy, Muhammad Abdus Salam as-Shuqairy dan Dr. Bakr Abu Zaid didalam
kitab-kitab mereka menyatakan bahawa doa awal dan akhir tahun tidak tsabit daripada Nabi SAW, para sahabat, atau para Taabiin.
Bahkan mereka menyatakan bahawa fadhilat doa ini tidak terdapat didalam kitab-kitab hadith yang bersanad atau kitab-kitab hadith maudhu’aat (palsu).
Mereka menekankan bahawa dakwaan tentang fadhilat doa itu sememangnya adalah palsu dan bukan daripada Rasulullah SAW.

Namun, perkara sebegini tidaklah harus menjadikan sebab perpecahan dikalangan umat islam.
Kita secara umumnya memang di galakkan untuk memperbanyakkan doa.
Sesiapa yang ingin berdoa pada waktu-waktu tertentu, bolehlah melakukannya asalkan tidak meng'itiqadkan dengan itiqad-itiqad yang salah.

Wallahu 'alam
Wassalam