Wednesday, March 18, 2009

Tatkala masih ada sebelah kepal...

Onigiri (nasi kepal-rice ball) itu hanya dibungkuskan 4 kepal sahaja. Kakaknya makan 2 kepal masa menunggu penerbangan antara persinggahan. Yang dua lagi dibawakan untuk adiknya. Apabila adiknya mengenggam dua kepal nasi itu, kegembiraannya tergambar di wajahnya. Nasi kepal yang berintikan bahan kegemarannya (lihat gambar di entri sebelum ini), dimakan segigit demi segigit untuk memanjangkan rasa kenikmatan. Nasi kepal itu dibuat dari kehangatan tangan ibunya. Sekepal lagi nasi itu, dibawanya balik dan disimpan di peti ais.
Dua malam dia makan nasi itu. Sekepal dibahagikan untuk dua malam. Malam tadi, katanya sebelah kepal dari nasi itu, dijadikannya bubur dengan menambahkah sop ikan segera pada nasi itu. Sedap sangat, dia kata.
Mendengar ini, hati ibu itu teriris lagi. Masa menulis catatan ini, azan subuh sedang berkumandang di telingannya. Air mata itu menitik atas butang-butang putih dan jarinya tidak dapat menekan butang abjat dalam kekaburan matanya. Kamu pergi jauh untuk mencari rezeki, kamu pergi jauh dari pangkuan keluarga untuk menyempurnakan satu kehidupan, satu usaha yang murni.
Tak sampai hati seorang ibu melihat anak itu bersusah-susah hinggakan terganggu kesihatannya. Kalaulah jasadnya dapat dibahagikan, dia rela berlari ke sana untuk meringankan kesusahan dan "menyuapkan" nasi ke mulut itu.
Apakan daya, dia juga diperlukan di sini.
Tak sampai hati ibu itu menelan sesuap nasi memikirkan anak itu bersendirian, keluar pagi tanpa sarapan, pergi bertugas dan balik selepas orang lain sudah lama meninggalkan tempat tugas itu. Balik ke biliknya sendiri dan dipanaskan secawan air untuk dijadikan sebelah kepal nasi itu sebagai bubur sebagai makanan sebelum dia tidur kepenatan.
Tabahlah kamu dengan ujian ini. Biarlah angin yang meniup dari utara ke selatan, menyampaikan doa yang tidak berputusan ke telinga itu. Kuatkanlah semangat untuk memperjuangkan satu kehidupan yang berlintasan dengan berbagai kesusahan dan ujianNya. Titisan air mata itu bukan sesuatu yang membazir, setiap doa yang suci diisikan padat dalam setiap ion, setitik demi setitik.

11 comments:

  1. KakLela,
    Biarlah setiap helaian masa mengajar erti hidup dan menitipkan pengalaman buatnya....Tabahkan hati Kak Lela..

    ReplyDelete
  2. Kak Lela,
    sebaknya saya baca entri Kak Lela ni...

    ReplyDelete
  3. lela...

    you making me cry membaca nya...bila2 anak2 dara nak makan meh lah kerumah I tapi japnese food takde..

    u take care jgn bersedeh sangat.

    ReplyDelete
  4. salam pagi rabu, sudah lama nina tak kemari sibuk dengan olah sendiri. Membaca catatan mu nina teringat saat tangan nina menyuapkan nasi kemulut ayah yg skrg sakit dlm proses penyembuhan. Esok jika nina sakit harap2 anak2 yg kita suapkan itu jua punya hati seperti kita (^;^)

    ReplyDelete
  5. Kak lela

    Mudah mudahan, doa ibu yang mengiringi anak anak yang merantau itu sentiasa memberi kekuatan kepada mereka.. untuk apa jua cabarann..

    ReplyDelete
  6. harap2 anak dara k.lela itu tabah sentiasa. k.lela pun, bersabar byk2 ek..

    ReplyDelete
  7. :) insyaAllah berkat doa ibu, anak2 akan selamat walau di mana saja mereka berada ...

    ReplyDelete
  8. sedih entri ni.
    teringat mak di rumah.
    setiap kali pulang mesti ada macam-macam dibekalkan makanan untuk makan.

    ReplyDelete
  9. sadis cheers k

    Onigiri (nasi kepal-rice ball) besh ker.?

    ReplyDelete