Sunday, December 20, 2009

Padang Sebang

Ruang Tamu rumah kampungku

Ini rumah ambo usahakan sebelum ambo menjadi isteri orang. Rumah ini ambo buat untuk dihadiahkan kepada arwah emak. Segala alat moden diperlengkapkan di dalamnya seperti air mandi panas, tandas moden, dapur gas, peti ais tapi penghuninya tidak menetap di sini. Rumah ini dijadikan sebagai pension sesekali adik beradik ambo balik bercuti ke kampung.

Lihatlah kedamaian ruang ini
damai sungguh daun nyior yang melambai
damai juga burung kuning yang menghinggap
ke dahan rambutan
namum damai ini tidak kekal
di naluriku ini.

Adakala hujan emas melimpah dari langit
taburan emas itu menghampari rumput
dari pagar ke tapak pintu
namum emas itu bukan
hak milik
walaupun digenggamanku ini.


Kuhanya berlalu sebagai penumpang
Hargaku bukan pada emas di negerimu
bukan juga pada masjid yang bercandelier
biarlah solatku di tanah lapang
nun di pulau sana
kucapai hujan batu buat genggaman hidupku.

***********

Thursday, December 17, 2009

Keluaran PSSK

Hari Pertama PSSK

470 halaman
glosari perkataan Jepun 2 halaman
Senaskah rm19.90

Hari ini pada satu haribulan Muharram tahun hijrah 1431 tercatat keluaran novel PSSK.

Boleh mendapatnya di kedai buku Kinokuniya yang menerima konsainan pertama minggu depan.

Terima kasih kepada semua teman dan kenalan jauh dan dekat yang sudi mendoakan kejayaan dan keluaran novel ini.

Alhamdulillah...

********

Tuesday, December 15, 2009

Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud


Pada 14 Dis. 2009, saya berkunjung ke pejabat Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud di ATMA, UKM. Saya berpeluang mendapat penerangan ringkas tentang buku beliau yang baru sahaja diterbitkan bertajuk 'Knowledge, Language, Thought and The Civilization of Islam' (Essays in Honor of Syed Muhammad Naquib al-Attas).
Di samping itu beliau banyak membicarakan tentang konsep ilmu dan Islam. Ini termasuk karya-karya beliau yang sudah tersebar ke serata dunia baik dalam Bahasa Inggeris dan juga Rusia, Bosnia, Turki dan juga Parsi. Disentuh juga karya-karya beliau dalam bidang falsafah Islam dan juga puisi-puisi beliau yang berunsur falsafah. Beliau juga tertarik dengan kerja-kerja saya menterjemahkan haiku-haiku Basho ke dalam Bahasa Melayu.

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan buku ini sila hubungi Prof. Wan Mohd. Nor di ATMA, UKM.

***********