Monday, January 04, 2010

Ulasan Novel PSSK dari Media/Pembaca






Berita Harian Dis 17, 2010

Berita Harian Dis. 17, 2010

Berita Harian-Dunia Buku: Pulut Sakura Serunding Kasih
Oleh Nurul Farina Nazlan
2010/12/17

Pendakian cinta di Gunung Fuji

PULUT Sakura Serunding Kasih karya Leyla Shuri menampilkan kisah perbezaan budaya berlatarkan Jepun yang terkenal dengan kecanggihan teknologi dengan menyorot Rafique yang meninggalkan bumi Malaysia dan berhijrah ke negara matahari terbit itu untuk melupakan memori pedihnya selepas kehilangan kekasihnya, Alina.

Pembaca pasti akan terkesan dengan jalan cerita Pulut Sakura Serunding Kasih yang menumpukan krisis kekeluargaan dan pertembungan antara tradisi Timur dengan pengaruh Barat yang menampilkan gelagat generasi muda dalam kemelut kehidupan moden.

Pembaca yang mahu menyelami nilai budaya Jepun didedahkan dengan budaya Jepun dengan mengekalkan ungkapan dan ayat mudah dalam bahasa Jepun untuk menampilkan realiti kehidupan di sana.

Novel yang sarat dengan mainan emosi Rafique itu menemukan jejaka berkenaan dengan keluarga Samad dan Zaiton di negara matahari terbit, manakala pertemuannya dengan teman sekampung, Wahidah yang melanjutkan pengajian di negara terbabit pula berlaku beberapa minggu sebelum kepulangannya ke tanah air.

Pembaca dibawa menelusuri kisah gadis Jepun, Tomomi yang ceria tetapi cuba menguburkan kesedihannya ekoran perceraian ibu bapa dengan menyertai pelbagai aktiviti bersama rakannya, Ringo, Sanae dan Kazu.

Tomomi dan rakannya diminta oleh pengurus pusat karaoke, Madame Ros untuk mencari anaknya, Nakahara Akira atau Akira yang hilang sejak menamatkan pengajiannya, tetapi sering mengirimkan poskad kepada keluarganya.

Mereka bercadang mencari Akira di kawasan Gunung Fuji selepas melihat poskad terakhir lelaki itu dan pada masa sama, Rafique juga mahu mendaki gunung terbabit tanpa menyedari bakal ada satu peristiwa yang bakal menemukan keduanya.
Rafique dan Tomomi yang tidak sabar untuk menakluki Gunung Fuji, bertekad untuk mendaki gunung itu walaupun cuaca tidak menentu dan ribut salji sedang melanda kawasan terbabit.

Tomomi yang memulakan pendakian lebih awal daripada Rafique itu, tidak menyedari dia diekori oleh seseorang yang berniat jahat sehingga mengganggu perjalanan Tomomi yang menyebabkan dia terjebak dalam tragedi.

Bagaimanapun, tragedi itu menjadi penyebab kepada peristiwa yang menyaksikan kekosongan hati Rafique diisi kembali sehingga takdir menghidupkan semula sumbu kasih sayang dalam jiwa pemuda itu yang sebenarnya turut diusik oleh gadis pendaki yang ditemuinya, Kimiwa.

Apakah sebenarnya yang terjadi kepada Tomomi dan rakannya sepanjang perjalanan itu serta identiti Kimiwa dan Nurul Addeeni bakal dijawab bersama-sama misteri pulut sakura dan serunding dalam pendakian cinta lewat novel Pulut Sakura Serunding Kasih ini.

Novel terbitan setebal 470 halaman KarnaDya Solutions Sdn Bhd berharga RM19.90 ini, sesuai dibaca kerana sarat dengan nilai sosial dan budaya masyarakat Jepun serta Melayu dengan meletakkan menjadi lambang pulut sakura bagi identiti Jepun, manakala serunding mewakili lambang masyarakat Melayu.

INFO: Pulut Sakura Serunding Kasih
· Karya: Leyla Shuri
· Penerbit: KarnaDya Solutions Sdn Bhd
· Tebal: 470 Halaman
· Harga: RM19.90
· Bintang: ****

*********************************************************

Singkap pengalaman hidup di Jepun

HALELA Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Leyla Shuri dilahirkan di Singapura, pada 14 Jun 1956 tetapi berhijrah ke Jepun sejak 1982 dan berkahwin dengan jejaka kelahiran negara matahari terbit itu, Tomohiro Kudaka Abdullah.

Leyla yang kini menetap di Naha City, Okinawa mendapat pendidikan di Mattar East Intergrated School sebelum meneruskan pengajian peringkat menengah di MacPherson Secondary School dan Beatty Pre-University di Singapura.

Leyla yang pernah menimba pengalaman kerjaya sebagai eksekutif pemasaran dan pendidik separuh masa di Okinawa itu, kini menumpukan sepenuh masa sebagai penulis serta penterjemah semata-mata mahu meluangkan masa bersama keluarganya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu, menggemari puisi haiku atau tanka dan juga peminat setia cerpen serta novel berunsur Islamik, selain aktif sebagai anggota Persatuan Haiku Okinawa dan menulis haiku dalam bahasa Jepun, Melayu serta Inggeris.

Leyla turut melakukan kerja terjemahan haiku dalam bahasa Jepun, Inggeris dan Melayu serta terjemahan cerita kanak-kanak daripada bahasa Jepun ke bahasa Melayu dan menulis novel bahasa Melayu, sekali gus membuktikan beliau tidak pernah melupakan susur galur walaupun sudah menetap lebih 20 tahun di Jepun.

Antara karya yang dihasilkan Leyla adalah Wa no Kai-2007, iaitu antologi haiku dalam bahasa Jepun; Ulang Tahun Wa no Kai ke-20, 2008 dan terkini novel Pulut Sakura Serunding Kasih terbitan KarnaDya Solutions Sdn Bhd.

Leyla mengangkat pengalaman hidup di Jepun dalam karyanya itu, turut menulis blog di www.halela.blogspot.com.

*********************************************************

Pulut Sakura Serunding Kasih : Satu Pengembaraan Rohani

by Djazlam Zainal on Sunday, April 11, 2010 at 4:53am (Facebook)

Dalam longgokan ratusan novel bertemakan cinta, memang payah untuk menebak sebuah karya yang berisi untuk menjadi tatapan yang bermakna. Pulut Sakura Serunding Kasih saya temui setelah membaca resensi tulisan Dharma Mohamad dalam Siasah 4 April 2010 dalam ruangan budaya. Dharma bukannya orang baru untuk saya tidak percayai resensinya. Dari tulisan tersebut saya menyelongkar timbunan novel yang memualkan biji mata. Kesemuanya berjodul dengan permulaan dan akhiran frasa cinta. Apakah tiada lagi bahasa atau elenia pertama untuk menarik perhatian pembaca? Ini fenomina hari ini. Rentetan dari keberhasilan Ayat-Ayat Cinta oleh Habirrahman El shirazy. dunia buku Indonesia mendominasikan Cinta seakan runtuhan salji. Hal yang sama melanda tanahair hingga kesdeluruhan rak buku terhambat oleh frasa cinta yang memualkan. Di celh-celah kemualan itulah saya mengais-ngais antaranya Ketupat Cinta oleh Faisal Tehrani dan Pulut Sakura Serunding Kasih oleh Leyla Shuri.

Pada mulanya saya agak kercewa bila dedikasi penulisnya ditujukan kepada Dharma Muhamad. Saya seakan terpedaya olej resensi Dharma yang dikira jujur rupanya berselindung di balik anak didik asuhannya. Teta[i setelah membaca dari bab ke bab, kekecewaan itu mulai hyilang diganti oleh kekaguman kerana Dharma berhasil mencuplikan seorang penulis yang bernuansa besar. Biografi sahaja menunjukkan Leyla Shuri sebagai daya penarik. Leyla Shuri atau nama sebemnarnya Hajah Halela Abdul Razak telah bermastautin ke negara matahari terbit itu sejak 28 tahun yang lalu. Penglibatan penulis dengan sastera Jepun seperti tanka dan haiku merupakan asas kepada penulisan cereka yang berkesan. Sungguh saya mendapati cara penulisan Leyla agak berbaza daripada penulis di tanahair. Novel setebal 420 halaman ini mempunyai 68 bab. Ini kelainan yang amat dirasai. Daripada sudut bahasanya, Leyla memang mempunyai kemampuannya yang berseni. Tiadk keterlaluan kalau saya ketakan di tanahair hanya Siti Zainon ismail mempunyai kebolehan seperti itu. Leyle akan muncul sebagai penulis yang bernuansa dan bercitarasa tinggi bagi sastera kebangsaan suatu hari nanti,

Pulut Sakura Serunding kasih ( PSSK ) adalah perjalanan kasih Rafique mencari cinta. Rafique seorang anak kampung kalau tidak pun seorang anak felda terjerumus dalam bianglala cinta. Agak keterlaluan seoranh anak desa mempunyai seindah itu. Rafique bukan nama yang sesuai untuk anak desa. Anak desa biasanya bernama Rafi ataupun Mawi seperti lazimnya dalam dunia realiti. Namun untuk sebuah novel cinta, nama anak kampung juga seindah nama pena penulis novel-novel cinta yang berselerakkan seperti hari ini. Rafique jatuh cinta dengan Alina, seorang gadis kota yang mempunyai latar keluarga yang elitis. Seperti keadaannya pipit dengan enggan, memang tidak layak untuk Rafique dan Alina bersatu. Dalam Islam kufu juga menentukan persesuaian jodoh seseorang.

Rafique bertugas di Jepun. Eroninya Wahidah juga belajar di Jepun. Wahidah adalah jiran sekampungnya. Memushkilkan juga kewajarannya. Hebat sangatkan kampung tersebut hingga menelurkan dua genius yang akan mewataki PSSK ini? Perpindahan Rafique ke Jepun menghalang hubungannya cintanya dengan Alina kerana Alena telah menerima lamaran ayahnya yang mehu menjodohkan enggang sama enggang ini. Rafique meraba-raba. Puncak dues ex miochine ini bila Wahidah juga ke Jepun sekali lagi untuk mencari Akira, cintanya yang hilang tiada khabar berita.

Sebenarnya tiada apa=apa yang bary pada PSSK. Namun untuk menari keliainan dari setompok kebosanan, PSSK bolehlah ditatapi. Bahasanya agak segar dan mepesonakan. Ini barangkali disirami oleh monsoon negara matahari terbit yang telah didiami sejak 28 tahun yang lalu.

*********************************************************


Autograf utk Sdr MBA

*********************************************************

Siaran Akhbar Siasah Bil 0194/4-10 April, 2010
Salinan ulasan ini ada dicatatkan semula, sila ketik pada ikon "Book review" di sebelah kanan.

Ulasan buku catatan Sdr Darma Mohammad telah disiarkan di akbar Siasah.

Bil 0194 4-10 April 2010







Reviu buku catatan Sdr Darma Mohammad

PULUT SAKURA SERUNDING KASIH

(unsur puitis yang bergaya)

Oleh : DARMA MOHAMMAD

Pulut Sakura Serunding Kasih (PSSK) merupakan sebuah novel. Insiden-insidennya terjalin dengan keindahan bahasa yang terasa kelainan dengan gaya yang dibawa oleh penulis di Malaysia. Apakah ini pengaruh penulisan gaya Jepun atau satu pengasingan penulis yang jauh terpisah dan sekian lama menetap di Okinawa Jepun? Inilah warna-warni yang patut diperhatikan di dalam PSSK.

Novel ini bukan sekadar watak Rafique yang terhenyak di daerah-daerah di Jepun dengan latar alam yang memukau, ia juga menusuk kepada suara individu-individu Jepun yang seakan meraung di bawah langit tradisi yang sedang bergetar oleh terpaan pemodenan. Pembaca yang mencari biasan-biasan warna perasaan manusia moden akan menangkap jari-jari warna itu mengembang turun dari Gunung Fuji ke dataran yang terhampar di sekitar kota-kota di Jepun.

Perpisahan dengan kekasih menjadi manusia itu kuat dan ribut yang melanda Gunung Fuji menjadikan batu lompatan yang mencetak takdir. Keluhuran manusia mengalir di tengah keperitan manusia lain dan tingkap-tingkap perasaan menyelak daunnya. Pembaca akan tercium nafas Tomimi, nafas Kimiwa dan nafas Nurul Addeeni melalui peringkat-peringkat perjalanan hidup. Pembaca yang aktif dan mahir tentu menangkap apa yang terungkap dalam segala patah-patah perkataan dan hembusan puisi-puisi klasik Jepun yang unik.

Sebuah kenangan diungkapkan melalui haiku yang berbunyi : Pergi Tsubaki / tinggalkan jasad ini / yang baki gincu.” Ditambah pula dengan kelembutan sebuah tanka

yang berbunyi : Menebar sayap / melayang hujung langit / nun ubun bukit / terselit surat lapuk / mengharap kamu dating.” Sebuah lagi haiku Basho diturunkan melalui ingatan Tomomi : Mula meniup / bayu musim sakura / bunga tergelak.”

Mengenai sakura, terdapat lagi sebuah haiku yang diciptakan oleh Tomomi : Pulut sakura / perut berat mengandung / bebanan alam.” Malah inti pati haiku inilah yang diambil menjadi tajuk novel ini iaitu tentang pulut sakura. Masa itu Tomomi sedang memakan pulut sakura berintikan kacang merah. Ini melambangkan perempuan yang hamil dan betapa keayuan perempuan itu dibebani oleh bayi dalam kandungannya itu. Dari luar orang menatap keayuannya, sedang hanya dia sendiri yang sebenarnya tahu bebanan yang ditanggungnya. Lima buah haiku di dalam novel ini, membantu merencam gaya penulisannya.

Unsur puisi yang lain juga diselitkan di dalam novel ini. Terdapat sebuah puisi cinta yang indah dan hebat karya Jalaluddin Rumi telah diterjemahkan oleh pengarang. Melukiskan keindahan alam perkasihan di dalam puisi, memang cukup menarik. Antara tulis Jalaluddin Rumi : Burung syurga menikmati manisan gula / tatkala kita tawa gembira bersama / engkau dan aku.”

Membaca novel bukan semata-mata mahu menjejaki ke mana watak pergi dan di mana dia tiba. Perjalanan selalu terhias dengan seala macam insiden dan ini disampaikan dengan gaya yang tersendiri. PSSK hendaklah juga dilihat dari sudut ini, tak semata-mata mengapa percintaan Rafique dan Alinan dihancurkan badai. Atau tidak cukup sekadar melihat kepincangan masyarakat Jepun yang di terpa taufan pemodenan itu. Melukiskan insiden-insiden itu secara biasa, akan menghasilkan sebuah teks yang polos, hambar dan kurang berseni. Novel ini patut disoroti dari sudut gaya pengucapannya secara saksama.

Pembaca yang mahu menyelami nilai-nilai budaya Jepun harus teruja dengan ungkapan-ungkapan Jepun yang diguna sehari-hari oleh masyarakat Jepun. Leyla Shuri mengekalkan ungkapan dan kalimat-kalimat itu untuk menampilkan realiti kehidupan di sana. Penguasaan beliau di dalam bahasa Jepun tidak dapat diragukan lagi, kerana haiku hasil karya beliau dalam bahasa Jepun telah dibukukan di Jepun. Pancaran budaya Jepun adalah tepat dan memberi warna yang gemerlap kepada komposisi novel ini.

(kipas ke

Ungkapan-ungkapan yang digunakan di dalam novel itu dimasukkan dalam glosari sebanyak tiga halaman. Antara contoh ungkapan itu ialah : futon (lapik dan selimut tidur), irrasyaimase (selamat datang), mitsuba (tumbuhan yang dijadikan ulam), onigiri (nasi kepal), senbei (tepung beras yang digoreng rangup), dan uchiwa (kipas kertas).


Novel PSSK kaya dengan metafora yang memberi imbas tertentu kepada pembaca. Hampir setiap halaman, pengarang berusaha menampilkan ayat yang berseni. Saya beranggapan, Leyla Shuri kuat dipengaruhi oleh dunia haiku yang mementingkan unsur alam penulisannya. Amat terasa sentuhan unsur alam di merata tempat dan pembaca dimainkan dengan kiasan-kiasan yang menarik. Tidak keterlaluan jika dikatakan, novel ini mempunyai unsur-unsur puisi yang kuat.

Gambaran latar tempat selalu agak mendetail. Pergerakan dan pewarnaan alam ditulis dengan halus. Untungnya di sini, pembaca dapat membayangkan dengan agak jelas apa ada di sekitar watak. Pantai, gunung dan tanah datar semuanya disingkap dengan jelas. Adalah munasabah pembaca menyorot sudut-sudut gaya penulisan seperti ini untuk lebih menikmati sebuah karya yang mengadunkan secara saksama antara isi dan teknik.

Temuilah jalan cerita yang berliku antara halaman-halamannya. Tetap ada konflik dan tetap ada suspens. Tafsirlah dialog watak-wataknya yang jujur dan sinis, yang yakin dan yang gementar tatkala berdepan dengan permasalahan hidup baik antara sesama budaya dan antara dua budaya. Kembara Rafique ke Jepun, sekali gus satu kembara jasad, kembara ilmu, dan kembara jiwa yang boleh dikongsi bersama. Tomomi, gadis negara matahari terbit dengan kelaziman pulut sakura, tetap hangat berdamping dengan serunding yang dikirim dalam sampul kasih abadi. Telusurilah novel ini secara bergaya.

-----000000------


*******************************************************************************


Dari warga blog: Puan Marlina Ibrahim (23 Mac. 2010)

Kelewatan bukan disebabkan sukar untuk saya menyudahkan membaca novel hasil tulisan beliau, tetapi kerana saya terasa amat kekurangan bila menulis dalam bahasa ibunda saya sendiri.
Bayangkan saya yang berbangsa Melayu; bertutur dalam bahasa ibunda saban hari dan tinggal di tanahair sendiri begitu payah menulis satu/dua perenggan di dalam Bahasa Melayu sedangkan Hajah Halela yang sekian lama menetap di bumi Okinawa mampu mengarang sebuah novel Bahasa Melayu! Saya jadi malu!

Sebenarnya amat mudah untuk saya menyudahkan pembacaan novel sulung beliau ini. Malah, novel ini telah acap-kali saya ulang baca. Pembahagian bab-bab yang disusun oleh Hajah Halela menyebabkan pembacaan saya menjadi pantas dan penuh rasa ingin tahu. Tidak timbul rasa jenuh untuk menghabiskan satu bab pun di dalam novel ini.

Cerita antara dua budaya ini amat menarik hati saya. Saya pasti ia akan menarik pembaca lain juga terutama pembaca yang berminat untuk mengetahui sedikit sebanyak mengenai kehidupan di Negara Matahari Terbit.

Untuk saya yang belum berkesempatan merasa menetap di negara itu, novel ini berjaya membawa saya ke sana, merasai kehidupan bersama-sama dengan watak-watak di dalam novel beliau ini. Yang pasti, saya teringin sekali mahu merasa segala makanan Jepun yang Hajah Halela cerita dan gambarkan dalam novel beliau!

Tahniah untuk Hajah Halela atas penerbitan novel pertama beliau. Harapan saya, akan ada lebih banyak karya beliau di pasaran di masa akan datang. Yang pasti, saya akan membeli setiap satu!

p.s. bilalah agaknya novel Hajah Halela dalam simpanan saya ini dapat ditandatangani oleh penulisnya ya? (*^-^*)

**********************************************************

Dari Facebook-Shameen Shahida Shukri-Pelajar (18 Mac. 2010)

secara keseluruhannya..novel ni sgt menarik.. jlnn ceritanya tidak membosankn.. saya lebiih byk mengetahui adat2 jepun.. dan saya sgt berminat untuk mendalami budaya mereka sehingga saya hendak membuat kajian mengenai novel ini.

***********************************************************

surat-e dari Romaizah Abdul Kadir (23 Feb. 2010)

Bagi saya novel ini santai dibaca tetapi sentiasa menimbulkan perasaan ingin tahu apa selanjutnya....Gaya penceritaan terutama gambaran kehidupan masyarakat Jepun diceritakan dengan gaya bahasa yang mudah difahami. Setiap bab pendek serta tidak meleret-leret jadi tidak rasa bosan membacanya. Walaubagaimanapun ada beberapa perkara menjadi tandatanya seperti ke mana menghilangnya Ringo dan siapa sebenarnya yang memperkosa Tomomi, adakah orang yang sama menyerangnya. Saya cadangkan susulan PSSK, lanjutkan kisah cinta Rafique dan XXXXX di Malaysia, tentu saya akan membacanya!

Nota penulis: Nama-nama dalam tanda XXXXX sengaja diedit semula untuk mengekalkan unsur saspens.

Pertanyaan 1] ke mana hilangnya Ringo.
Pertanyaan 2] siapa sebenarnya yang memperkosa Tomomi.

Teknik naratif dalam tulisan novel ini mencorakkan gaya penulisan novel-novel di Jepun. Memang pertanyaan dan soalan-soalan itu sengaja tidak dijelaskan secara tersurat agar kesannya berlegar-legar di minda pembaca meskipun setelah khatam pembacaan. Jawapan kepada kedua soalan di atas memang terdapat di dalam novel PSSK.

***********************************************************
From facebook-Hazwani Rebecca Ilham Rameli (7th Feb. 2010)
I like your novel a lot. You explained the Japanese customs, culture and way of life in details that a mere visitor like me is not able to experience. That was the drive that kept me reading.

I love the contradictions of sakura-mochi and serunding. I think that one is excellent.

I applaud your novel. Thanks for bringing something different to Malaysian literary scene. Am waiting for your next novel :)))

************************************************************

Dari blog peribadi Sdr MBA (4 Feb. 2010) http://mba2u.blogspot.com/
DUA malam menginap di sebuah hotel di ibu kota, saya habiskan pembacaan novel PSSK. Novel ini sangat istimewa buat saya. Saya mesti habiskan pembacaan novel ini untuk mengetahui kesudahan ceritanya. Ia sangat istimewa kerana penulisnya memang saya kenali lebih sedesawarsa yang lalu. Saya mengenali penulisnya 'Leyla Shuri" di Okinawa, Jepun. nama sebenarnya ialah halela Abdul Razak yang menjadi isteri kepada Encik Kudaka. Lantas beliau dinamakan sebagai Halela Kudaka. Shuri adalah kota berdekatan rumah beliau di Okinawa. Novel ini pula saya perolehi di hari persandingan anak gadis sulungnya, Minako Kudaka di Singapura.

Sebaik sahaja memperolehi novel ini, saya tunjukkan kepada sdr Azhar yang menemani aya ke majlis tersebut. "Masyaallah, tebalnya. Bagaimana Kak Lela menulis novel setebal ini?".PSSK adalah setebal 470 muka surat adalah merupakan karya agung Halela. Itu kata saya. Saya sangat kagum dengan beliau. Respek sungguh dengan keupayaannya menulis novel setebal itu. Sedesawarsa yang lalu, kebolehan beliau berbahasa Melayu sangat terbatas. Kini berjaya menghasilkan novel setebal 470 muka!. Sayapun masih belum berjaya melakukannya. Hendak seribu daya. Gomeneto Gozaimasu Harera san!.

Novel ini dibahagikan kepada 68 bab yang pendek-pendek. Ini menjadikan rentak pembacaan menjadi menarik dan tidak terganggu. Pembacaan dalam beberapa bab yang pertama saya dapati ia tidak banyak bezanya dengan novelis wanita tersohor Malaysia lain yang tidak perlu saya sebutkan namanya. Ia mengisahkan tentang Rafique atau Rafikku dalam telur Jepunnya. Kisah cinta ini, mengikut Halela adalah kisah cintanya. Siapa wataknya tidak diceritakan, saya juga sekadar mengagak-agak sahaja. Lokasi cerita adalah di Malaysia dan Jepun.

Terdapat sedikit unsur suspen dalam PSSK. Lokasinya di Jepun memang sangat familiar dengan saya, namun ia tidak diceritakan dengan terperinci. Sekiranya perinciannya ditambah sedikit, sudah pasti saya dapat melihat dengan jelas akan lorong-lorong yang pernah saya lalui dua puluh tahun yang lalu. Syabas Harera.

***********************************************************

Dari Facebook-Nurul 'Asyura (3 Jan. 2010)

Sebuah novel yang menyayat hati..Penuh dengan bibit-bibit suspens dan drama yang tidak mengecewakan. Lebih memperkayakan lagi plot novel ini adalah teknik penulisan yang bervariasi yang telah ditakluki penulis, Leyla Shuri.
Syabas! Walaupun baru menceburi bidang penulisan novel Melayu ini, Leyla Shuri telahpun menampakan kemantapan bakatnya. Penghayatan novel ini dapat didalami pembaca.

***********************************************************

0 comments:

Post a Comment