Saya menaiki KTM malam yang berkatil ke KL. Bunyi alunan roda yang kedengaran dekat di telinga,sesekali tren membelok dengan laju ke kiri dan kanan, badan saya juga mengikut arahan tren itu. Entah kenapa saya rasa suara tren itu begitu marah, ingin cepat sampai ke destinasi. Dalam hati ini berkata, "Kenapa nak cepat sampai sangat, ikut sajalah jadual yang telah ditetapkan. Bila dah sampai hakikatnya kena balik semula perjalanan ke utara!"
Sampai di KL Sentral, anak matahari baru dilahirkan. Saya menghantar kiriman ringkas kepada Cikgu Nora mengatakan ketibaan saya. Tidak beberapa minit kemudian, wajah guru ini terpampang di hadapan saya. Inilah pertemuan pertama tapi sudah kenal sangat melalui Facebook dalam setahun ini.
Bersama suaminya, guru ini membawa saya ke rumahnya. Sarapan kami nasi lemak bersama sambal kerang dan limpa. Jadual untuk hari itu telah kami tetapkan beberapa minggu sebelum ini.
Lawatan ke syarikat yang menerbitkan novel pertama saya, Syarikat KarnaDya. Saya rasa para penulis harus menjalin hubungan "rapport" atau "kewujudan" bersama penerbit masing-masing. Saya sangat tidak setuju kepada golongan penulis yang mendiamkan diri setelah karya diterbitkan. Saya telah mengambil keputusan sendiri untuk menziarah setiap syarikat penerbit yang menyiarkan karya saya. Setidak-tidaknya kita tunjukkan bahawa kita masih wujud dan kita masih ambil berat terhadap hasil karya walaupun setelah diterbitkan, penerbit yang mengendalikan segala karya-karya itu.
Tengah hari itu cikgu Nora menghalakan kenderaannya ke arah Puchong. Rasa amat lega akhirnya berjumpa juga syarikat itu setelah kami berpusing-pusing di jalan raya, termasuk ke kawasan perindustrian yang salah dan akhirnya walaupun sudah sampai ke kawasan yang tercatat dalam alamat, masih juga berpusing-pusingkan kenderaan mencari lorong-lorong yang berselang-seli. Tentunya staf di syarikat itu terkejut dengan kunjungan kami yang tidak dimaklumkan itu. Tetapi memang tidak salah untuk para penulis menziarah syarikat penerbitan sendiri. Kami berbincang pelbagai masalah mengenai pengedaran, penjualan dan yang paling sensitif sekali, aspek pembayaran.
Saya merayu agar pihak KarnaDya membuat makluman kepada para penulis jika proses ulang cetak dilakukan, memandang dengan cemburu kepada syarikat penerbit lain yang sibuk mewar-warkan karya-karya yang diulang-cetak. Pada saya mengulang-cetak buku adalah sesuatu yang positif. Ia menandakan buku itu laris dalam pasaran, bakat penulisnya atau hasil karyanya mencapai tahap tinggi dan lain-lain lagi. Makanya makluman ulang-cetak akan memanfaatkan kedua-dua belah pihak, penerbit dan penulis.
Selepas perbincang itu, kami terasa lapar sebab waktu tengah hari hampir ke penghujungnya. Berdekatan, kami terlihat sebuah restoran yang menghidang nasi kerabu Trengganu (ke Kelantan?). Nasinya biru. Kelaparan, saya makan sahaja, terlupa pula menanyakan dari mana datangnya warna biru itu.
Pada sebelah petang, cikgu Nora sekali lagi memacukan keretanya ke arah Berita Harian. Kami berjumpa dengan salah seorang wartawan yang penah menerbitkan ulasan novel saya, yang dikenali dengan nama manjanya Far Farina Nazlan.
Mereka makan kueh teow goreng dengan bersemangat, saya perhatikan, namun selera saya yang tidak biasa makan di antara waktu, tidak pula ingin merasa sekali.
Kami menerima pesanan ringkas dari En.Yussof Ahmad untuk makan malam bersama di Selangor Clubhouse. Saya mengenali En.Yussof setelah berkenalan dengan keluarga Puan Ainon (Chairman syarikat terbitan PTS) di Facebook. Bersama datuk dan isterinya, kami rancak bersembang dari jam 7 petang itu hingga ke 10:30 malam. Kami yang akhir meninggalkan meja.
Terima kasih En.Yusoff dan isteri sudi menerima kami seadanya dan beramah tamah bersama kami.
*******
Saturday, December 03, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




salaam,
ReplyDeletekak,warna biru nasi kerabu itu dahulunya berasal daripada bunga telang.tapi sekarang hanya menggunakan pewarna makanan.ibu saya berasal dari Kelantan dan saya juga dilahirkan di sana.sama-sama kita berkongsi ilmu ya :)
Rapanya bunga telang dari pohon kekacang. Kuntumannya biru/ungu, padanlah nasi itu biru *senyum*
ReplyDelete