Monday, December 31, 2012

2012 --> 2013

Hari ini hari akhir untuk tahun masihi 2012. Esok kita mula dengan tahun masihi yang baharu 2013.

Dalam hasil karya dan terbitan, saya mengeluarkan dua buku. Buku-buku itu ialah buku puisi yang bertajuk "Percikan Pelangi" dan "Sukma Basho dalam haiku". Kedua-dua buku ini dihasilkan dengan perkongsian usaha bersama Sdr. Darma Mohammad yang banyak memberi dorongan dan tip dalam berkarya.

Tahun ini keluarga saya dianugerahkan-Nya dengan tiga orang cahaya hati. Walaupun kami berjauhan tapi setiap hari saya berkomunikasi dengan video, menyaksikan tumbesaran cucu-cucu ini di depan mata saya. 

Tahun ini juga saya dapat melawat tempat-tempat yang amat bermakna bagi saya sebagai penulis. Pertama saya melawat Muzium Perang di Kota Bharu, Kelantan. Muzium ini saya sebut dalam beberapa adegan dalam novel saya yang telah ditandatangani bersama Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

Saya juga ke Selangor untuk menyiasat kunang-kunang dengan bantuan teman-teman rapat. Kajian dalam topik kunang-kunang amat perlu sebagai sumber keterangan untuk dicatatkan dalam novel yang sedang saya semak sekarang.

Setelah saya tunaikan hajat kedua-dua di atas, saya kembara ke Sumatera Barat untuk menziarah rumah Buya Hamka. Niat ini sudah lama saya pendam dan saya hanya tunggu peluang dan masa yang baik sahaja untuk perjalanan ke sana. Berbetulan, salah seorang kawan sebaya dalam satu kelas berasal dari kampung Buya Hamka. Bukan saja teman itu sekampung, malah ada tali persaudaraan dengan Buya Hamka.
Saya memujuk teman saya itu membawa saya ke kampungnya dan di sana saya bertamu di rumah Buya Hamka dan buat beberapa hari mengelilingi kawasan damai Danau Maninjau dan Bukittinggi.


 Pada tahun ini saya merasa satu kejayaan lagi. Kali ini (setelah lima tahun), saya berjaya memujuk suami saya mengganti set sofa di ruang tamu. Sejak kami buat rumah ini (selama 15 tahun), tidak pernah kami mengganti set sofa walaupun sudah koyak pada kerusi panjang. Namun suami saya tidak benarkan saya mendapatkan yang baharu. Sudah puas kami pujuk sehingga anak saya ingin berikan sebagai hadiah tapi gagal.

Akhirnya saya berkata, "Saya sudah jadi penulis, saya berhak mendapat kerusi baharu!"
Rasanya memang tak ada logik penjelasan ini tapi dia SETUJU. Moralnya kita jangan putus asa, kalau cara logik tidak jalan, kita cuba cara luar biasa atau yang tidak masuk akal, tidak logik.
Nah, akhirnya suami saya setuju mendapatkan set kerusi baharu.

Pada keseluruhannya, walaupun perkara-perkara ini tidaklah begitu mana bagi orang lain tapi saya amat bersyukur sebab kejadian-kejadian begini meninggikan tahap kebahagiaan saya.

*Saya tidak pernah buat azam. Setiap hari ialah perjuangan untuk meninggikan tahap kehidupan.

*****

2 comments:

  1. Best reason tu.

    Congrats on the new sofa acquisition, Kak Lela.

    And Happy New Year.
    あけましておめでとうございます
    :)

    ReplyDelete
  2. Salam Kak...semoga 2013 melimpahnya rezeki dan kejayaan serta kegembiraan buat akak sekeluarga :)

    ReplyDelete