Sunday, November 24, 2013

Maklum balas daripada pembaca novel "Pagi Semerah Daun Momiji"



Saya rasa segala maklum balas atau kritikan daripada para pembaca perihal novel ini sangat bernilai bagi diri saya untuk mempertingkatkan lagi taraf penulisan. Saya kutip yang ditulis dalam Facebook atau laman-laman peribadi bersama nama-nama penulisnya (saya tidak buat pemberitahu kepada penulis komentar itu).
Saya mulakan dengan catatkan komentar pertama hingga yang terkini dalam sudut ini.


4. Darma Mohammad (23 Nov. 2013) Facebook: "Perincian latar dan suasana memberi kesan yang baik dalam penulisan novel ini. Wassalam."

*****

3. Datuk Yussof Ahmad (23 Nov. 2013) Facebook: " Leyla Shuri menceritakan kesan ledakan bom atom di Hiroshima seolah olah dia betul berada disitu semada (semasa) ledakan itu berlaku. Chapter 5 Pagi Semerah Daun Momiji."

*****
2. Datuk Yussof Ahmad (22 Nov. 2013) Facebook: "Membaca nobel Pagi Semerah Daun Momiji karya Leyla Shuri membawa kita kemasyarakat Jepun di zaman Perang Dunia Kedua. Sedap ceritanya. Hanya banyak sangat perkataan Melayu yang saya tidak pernah dengar. Memanglah itu kelemahan saya sendiri. Pernahkah tuan dengar/baca perkataan seperti (di muka surat pertama sahaja)
menebarkan, pelipis, beting, metah, merembes dan menancap?
Apa pun saya masih memahami jalan cerita yang menarik nobel ini.
Saya perhatikan penulis suka benar menggunakan perkataan "usai" berulang ulang kali!"


Komen saya: Perkataan "usai" yang pertama saya guna dalam novel ini terdapat di halaman 20, bukan pada bab pertama. Perkataan "usai" digunakan berganti-ganti dengan perkataan "lepas" dalam novel ini untuk kelainan dalam pembentukan dan susunan ayat.


 *****

1. Yohanna Abdullah (29 Okt. 2013) Facebook: " Pertama sekali saya baca buku ini saya tertanya-tanya bila akan terjadi aksi. Bila is terjadi is merupakan bom atom yang meletup di Hiroshima dan ini merancakkan jalan cerita ke akhir buku ini yang tidak lepas dari bab cinta di antara dua budaya yang dikupas secara terperinci lagi puitis. Syabas Leyla Shuri."

*****


Wednesday, November 20, 2013

Kimigayo



 Ini ialah nyanyian lagu kebangsaan Jepun, Kimigayo atau maksudnya "seperti kamu". Kimi ialah panggilan untuk kanak-kanak, pelatih atau orang yang lebih muda daripada pemanggilnya.
Dalam lagu kebangsaan ini, Kimigayo mungkin dimaksudkan pada gunung, kerikil atau lumut dalam lirik lagu ini.

Lagu ini bukan mantera. Ia tiada unsur-unsur keagamaan rakyat Jepun. Ia juga bukan membangga-banggakan Maharaja Jepun. Bila ditelitikan liriknya lagi, ia menyebut tentang gunung, kerikil dan lumut. Ada berbagai maksud tersirat dalam makna lirik lagu ini dan setiap orang boleh mentafsirnya sendiri.


Pada halaman 150 dalam novel Pagi Semerah Daun Momiji, saya tuliskan terjemahan lirik lagu ini, yang asalnya berbunyi begini (hlm 149).

"Kimigayo wa
chiyo ni yachiyo ni
sazare ishi no
iwao to narite
koke no musu made"

Lirik lagu kebangsaan ini dipetik dari sebuah tanka (sejenis puisi Jepun) yang pengarangnya tidak dikenali. Asalnya negara Jepun tidak punya lagu kebangsaan.
Bagaimana lagu ini dilahirkan?
Sejarah lahirnya lagu ini telah saya catatkan dalam novel PSDM.

Selamat membaca.

*****

Sunday, November 17, 2013

さぽじら sapodilla

Orang Jepun di Okinawa (mungkin orang Jepun di pulau besar tak tahu pohon ini) memanggil pohon ciku, sapojira. Tapi saya tak tahu orang mana yang mengelar dengan panggilan sapodilla.


Saya dapatkan pohon ciku ini dua minggu lepas ketika ada pameran produk perindustrian dan tempatan Okinawa. Penjualnya sepasang suami isteri dari Taiwan. Kata penjual itu sapojira, sapojira. Saya kenal ini pohon ciku dan setelah membelek tag pada pohon itu, rasa pasti pohon ini ialah pohon buah ciku.

Insya-Allah pohon ini akan membuahkan banyak hasil, amin.

*****

Tuesday, November 12, 2013

結婚祝い

 Dalam kenduri walimatulurus orang Islam kita tidak dikehendakkan memberi hadiah dalam bentuk wang. Walau bagaimanapun saya teringat satu sirah Nabi Junjungan kita berkahwin hanya dengan menjamu air dan buah kurma kepada tetamunya. Salah seorang daripada tetamu pada hari itu membawa makanan dan bahannya dimasak untuk semua tetamu yang datang. Saya sudah tidak ingat nama tetamu perempuan yang membawa makanan itu.

Dalam budaya orang Jepun, memberi hadiah walimatul ialah bertujuan untuk menyediakan pasangan pengantin itu. Hadiah dalam bentuk wang atau perkakas diberi agar dapat membantu kehidupan baharu dalam alam perkahwinan pasangan itu.

Lazimnya hadiah dalam bentuk wang dimasukkan dalam sampul yang berhias seperti dalam gambar ini. Walau bagaimanapun hiasan bagi sampul untuk "kenkon iwai" (tulisan kanji dalam tajuk) amat berbeza, ini termaktub dalam peradaban budaya Jepun. Sampul yang berhias cantik seperti ini hanya untuk hadiah wang yang berjumlah mahal. Hadiah wang yang tidak mahal menggunakan sampul lain yang tidak berhias atau kurang hiasannya.

Jadi berhati-hatilah jika memilih sampul hadiah untuk walimatulurus orang Jepun.

*****