Sunday, January 26, 2014

なんの花


imej: 123rf



Petikan dari buku Sukma Basho Dalam Haiku (Penerbit ITBM).


#45 Nan no ki no hana to wa shirazu nioi kana. Apa pohonnya tidak tahu bunganya yang mengharumkan. Dalam pengembaraan Basho ke kawasan Ise, beliau terhidu keharuman dari bunga yang sedang berkuntum. Disebabkan itu pertama kali Basho ke Ise, beliau menyatakan dalam haiku ini bahawa bunga itu belum pernah dilihatnya, maka dia tertanya-tanya nama bunga itu.
*****

Tuesday, January 14, 2014

101 tahun

Hari ini 14.1.14 dan bersamaan hari ini umat Islam meraikan Maulidur Rasul. Hari Junjungan Nabi kita dilahirkan ini mengikut takwim hijri. Kalau mengikut takwim Jepun pula hari ini hari ulang tahun bapa mentua saya lahir.
Beliau dilahirkan pada tahun Taisho 2 dan apabila ditukarkan ke tahun masihi ialah 14.1.1913.
Ini bermakna hari ini beliau berumur 101 tahun.

Selera makannya masih kuat. Tiga kali separuh badan beliau tidak berfungsi dilanda angin akmar tapi selepas terapi, anggota badannya berfungsi semula. Namun serangan yang terakhir masih meninggalkan kesan pada tangan kiri. Walau bagaimanapun tangan kanan masih sihat untuk melakukan tugas-tugas seperti makan dan pembersihan di tandas.

Kami, suami isteri yang menjaga beliau. Makanannya tidaklah banyak mana dan dia tidak banyak pantang dalam permakanan. Pemakanan beliau sederhana sahaja.

Tiga kali dalam seminggu, beliau dibawa ke Pusat Penjagaan Siang atau DayCare. Di situ, beliau mandi dengan bantuan ahli terapi, juga diberi pemeriksaan kesihatan.

Banyak buku di pasaran menulis tentang kesihatan dan panjang umur penduduk Okinawa. Macam-macam ramuan dan teori ditulis tentang topik ini.
Tetapi pada saya yang tinggal bersama-sama penduduk pulau ini, saya kata apapun kita lakukan perlu kesederhanaan. Itu saja rahsianya.

Bukankah ini juga ditegaskan oleh Junjungan Nabi kita?

Salam Sejahtera kepada Junjungan Nabi kita.

*****

Sunday, January 05, 2014

Heisei 26 (2014)



Hampir seminggu sudah bermula tahun Heisei 26 dan inilah baru dapat ruang masa untuk mencatatkannya di sini. Heisei 26 ialah tahun takwim Jepun. Kiraan ini bermula dari pemerintahan Maharaja sekarang. Ini bermakna maharaja sekarang sudah bertakhta selama 26 tahun.
Pada asalnya, kalender Jepun mengikut kiraan bulan macam orang Islam juga mengikut hijri atau takwim lunar. Bebetulan takwim China juga mengikut kiraan bulan. Untuk tidak disamakan dengan China, bermula pada tahun 1863, pemerintah Jepun mengambil kiraan matahari mengikut takwim antarabangsa yang digunakan sekarang. Walaupun begitu, Jepun masih mengekalkan takwim pengiraan tahun pada ketakhtaan pemerintahan maharaja yang sedang berkuasa buat waktu itu.
Tahun-tahun dalam takwim Jepun ialah Tahun Meiji, Tahun Taisho, Tahun Showa dan terkini Tahun Heisei.
Dalam surat pendaftaran Jepun, tahun bapa mentua saya lahir pada 14 Januari Meiji 35. Tahun lahir suami saya pula kalau mengikut takwim Jepun ialah 6 Januari Showa 26 *baru teringat esok, tapi mengikut kiraan takwim ini, agak susah untuk mengira umurnya*.

Sebenarnya saya ingin katakan di sini bahawa Jepun masih mengikut kiraan takwim kalender sendiri dalam hal-hal hariannya, sama ada dalam perkara rasmi atau tidak rasmi.
Saya memikirkan keseluruhan negara-negara Islam di dunia sudah kurang mengira tahun hijri lagi dalam perkara rasmi. Catatan takwim dan jadual harian menggunakan tarikh masihi, walhal orang Islam sudah ada takwim yang cukup lengkap. Ini bermakna orang Islam tidak kuat memegang kebudayaan Islam dan merelakan kehidupan mereka berputar dengan takwim masihi.

Gambar di atas itu saya gubah untuk hiasan ruang tamu di rumah bapa mentua. Kami suami isteri sebagai penjaga bapa mentua terpaksa melayan tamu-tamu, anak-anak, cucu dan cicit orang tua itu.
Keletihan berulang-alik ke rumah bapa mentua (walaupun jarak pintu kami hanya 5 langkah) melayan kerenah tamu-tamu yang menziarah bapa mentua, diakhiri dengan demam selesema.


Dalam gambar itu ialah bapa mentua saya yang tidak lama lagi (14 Januari 2014) umurnya akan mencecah 101 tahun.

Kiraan tahun takwim Jepun: http://www.meijigakuin.ac.jp/~watson/ref/mtsh.html

*****