Saturday, March 15, 2014

Kyoki Higa (1914-2004)



 Kyoki Higa atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Pakcik Higa oleh orang-orang Melayu yang kenal padanya, ialah seorang lagi yang saya abadikan dalam novel Pagi Semerah Daun Momiji.

Pertama kali saya mengenali beliau pada tahun 1998, apabila dibawa oleh sekumpulan peserta dari Malaysia mengunjungi rumahnya di Itoman, ia itu di bahagian selatan pulau ini. Selepas perjumpaan yang pertama itu, saya kerap ke rumah beliau untuk membawa para peserta dan pelajar dari Malaysia yang ingin berjumpa beliau.
Setiap kali berjumpa,  beliau akan menceritakan pengalaman dan kehidupan di Malaysia sebelum meletus dunia ke-2. Saya diberi izin mencatatkan riwayat beliau, walaupun buat waktu itu, sekilas pun tidak terfikir sejarah berlisan itu akan menjadi bahan novel ini.

Kyoki Higa mengikut pakciknya ke Malaya pada tahun 1929 dan ditugaskan menjaga enjin kapal, waktu itu beliau berumur 15 tahun. Pakcik beliau mempunyai tug-boat untuk mengangkut biji timah ke Jepun dan dengan kapal ini juga mengangkut barang-barang lain seperti ikan, rempah-ratus dari kepulauan Singapura dan Indonesia. Tugas ini berlangsung selama 10 tahun.
Ketika Jepun menjajah Malaya semenjak 8 Disember 1941, kerana kefasihan beliau bertutur loghat negeri Trengganu, ada ketika beliau disyaki sebagai perisik atau pengintip untuk orang Melayu oleh tentera Jepun.
Setelah Jepun menyerah dan beredar dari Malaya, semua rakyat Jepun dikerah balik oleh tentera British.
Beliau pulang ke Okinawa bersama isteri Melayu bersama seorang anak lelaki dan menginap di kampung Itoman. Isteri beliau yang bernama Fatimah binte Shariff meninggal dunia pada tahun 2002. Waktu saya menulis ini anak beliau yang diberi nama Kuniyaki Higa tinggal bersama anaknya. Cucu Pakcik Higa menghubungi saya (2 Ogos 2013) setelah mengesani catatan PakCik Higa di blog ini.

Terakhir saya menziarah Pakcik Higa pada 10 Januari 2004 dan dimaklumkan kematian beliau pada 24 Mac 2004 (selepas dua minggu berlalu).

[Pakcik Higa 87, tahun 2001]

Dalam novel ini saya abadikan beliau dengan nama mesra Pakcik Higa.

*****

Tuesday, March 04, 2014

Duta Besar Damai


 Puan Kinjyou (dengan mikrofon) salah seorang yang masih hidup sekarang yang pernah mengalami letupan bom atom di Hiroshima  dengan impak dekat. Pertama kali saya mengenali puan ini ialah pada tahun 2003 (11 tahun lalu). Ketika itu kami menghadiri persatuan haiku yang sama. 

Masa umurnya 10 tahun, beliau mengalami letupan bom ini, walaupun jarak dari pusat letupan ke rumahnya jauh 3 kilometer. Bahang kehangatan letupan itu bergerak seperti kekuatan ombak tsunami (terasa kepanasan letupan itu membakar) walaupun lutsinar. 


Beliau sekarang dilantik sebagai Duta Besar Damai atau Peace Ambasador. Beliau dijemput setiap tahun ke majlis peringatan perang dan menceritakan pengalaman letupan itu pada Hari Peringatan Tamat Perang. Saya pernah menghadiri salah satu majlis ini dan berasa pengalaman beliau harus dicatatkan. Dengan galakan beliau untuk kelanjutan damai di dunia ini, pengalaman beliau menjadi putik ilham yang melatarkan pergolakan dalam penceritaan novel Pagi Semerah Daun Momiji.

Sesudah  berumah tangga (suami beliau mantan profesor Univ. Ryukyu), beliau tinggal di bandar Shuri dan masih giat menghadiri persatuan haiku yang saya hadiri sekarang.


 *****