Tuesday, October 28, 2014

Sasterawan?

[Foto ikhsan Berita Harian, Singapura]

Sedikit mengenai diri saya disiarkan oleh Berita Harian, Singapura pada tarikh 27 Okt. 2014.

 http://beritaharian.sg/gah/bahasa-sastera/sasterawan-melayu-berjiwa-jepun

Saya sudah digelar sebagai sasterawan. Apa rasa saya?
Sama saja. Tak ada benda yang berubah dalam kehidupan saya.

Eh, tak juga apabila saya fikirkan betul-betul. Cara saya bertutur sudah lain. Perkataan yang saya gunakan tidak kasar. Ada orang kata bahasa baku. Tidak juga. Bahasa biasa saja tapi tidak kasar lagi, baik dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.
Maksud saya, tidaklah lagi "your headlah atau go to hell you!" itu yang saya maksudkan tidak kasar lagi.
Tapi dari asal memang saya tidak guna bahasa kasar, jadi tidak hairanlah saya tidak guna bahasa kasar.

Saya akan paling muka jika tajuk percakapan adalah barang jenama atau baju mahal atau tudung sutera. Tetapi kalau berbincang tentang buku, leher saya tegak mendengar.

Jika melancong teman-teman keluar masuk butik atau kedai make-up, saya mencari kedai buku.

Dalam tas tangan saya sentiasa ada buku. Apabila menanti saya keluarkan buku itu dan tidak hiraukan sekeliling lagi.

Tiada perhiasan cantik dan mahal dalam rumah saya, yang ada cuma buku-buku berselerak atau disimpan pada semua ruang selagi mampu saya selitkan.

Saya ramai kawan-kawan tetapi tiada siapa menjadi kawan rapat. Saya senang-senang tinggalkan kawan-kawan dan tumpukan emosi saya kepada kerja tulisan atau pembacaan.

Saya tidak berapa suka keluar rumah lama-lama. Keluar rumah jika tidak ada kaitan dengan buku atau penulisan, saya akan cepat bosan dan ingin balik ke rumah segera.

Saya bosan berkawan dengan orang yang tidak membaca. Tiada apa untuk dibincangkan.

Mungkin ini ciri-ciri sasterawan. Saya tidak tahu.

*****

Friday, October 17, 2014

Ulasan Novel Pagi Semerah Daun Momiji di Berita Harian Singapura


Pagi pada tarikh 13 Oktober 2014, iaitu hari cuti umum di Jepun dan Okinawa baru sedang dilanyak-lanyak oleh ribut taufan No. 19 [diberi panggilan Voonfoon], saya dikejutkan dengan berita daripada salah seorang pembaca di Facebook yang memuatnaikkan imej di atas.
Berita Harian Singapura mencatatkan ulasan novel saya Pagi Semerah Daun Momiji yang ditulis oleh Encik Anuar Othman, salah seorang penulis mapan Singapura.

Awal pagi itu saya mengelilingi rumah saya dan terdapat hampir kesemua daun-daun ulam yang saya tanam kelihatan seperti terbakar, kering dan hitam. Walhal yang melanda Okinawa selama dua hari sebelumnya ialah ribut taufan dalam bentuk angin yang melintas dan berpusing dengan kelajuan 47 k/saat atau 260 kpj. Ribut itu membakar seperti api.
Terfikir saya pada pagi ini tajuk buku saya juga membicara unsur yang membakar ini Pagi Semerah Daun Momiji yang merah dan membakar.

Apa-apa pun saya reda saja ketetapan Maha Ilahi sambil berasa amat bertuah harta dan nyawa diselamatkan-Nya dalam malapetaka ini.

Sememangnya buku-buku yang keluar dari cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka amat sukar diperolehi pembaca oleh sebab masalah protokol dalaman yang melanda nasib syarikat penerbit ini. Saya juga maklum ada beberapa orang dalam senarai sahabat yang telah mendapatkan novel ini. Namun novel ini tidak diperkatakan dalam mana-mana laman atau disebut/dikritik/dikomen di Facebook, google, Goodreads.  Yang lazimnya yang saya terbaca, "Novel ini Best!" pun tidak ada atau "Novel ini tak Best!" pun tidak ada!
Apahalnya saya tidak tahu.

Akhirnya, syukur saya tidak tergambar apabila novel ini diulas oleh penulis mapan daripada Singapura, En. Anuar Othman dan diterbitkan catatannya di bahagian Sastera Gah, Berita Harian.
Cukuplah itu bagi saya.

*****

Monday, October 06, 2014

Pelancaran Pertama


Saya fikir elok juga jika saya mengambil kesempatan dalam Bulan Bahasa Singapura untuk melancarkan buku-buku saya. Bulan Bahasa bermula September hingga Oktober selama 2 bulan. Lalu seawal Mei saya sudah bergerak ke arah niat ini. Namun setelah berinteraksi dan jadual sudah ditetapkan, saya terpaksa mengundur diri memandangkan saya harus memberi bantuan kepada anak saya yang menumpang di rumah saya buat sementara waktu sehingga anak yang baru lahir sudah setahun umurnya. Pengunduran ini tidak diterima dan mengikut jadual yang telah ditetapkan, saya harus teruskan juga.
Pelancaran rasmi begini ialah yang pertama bagi saya. Adalah saya buat kecil-kecil bersama staf syarikat terbitan dan sekumpulan kawan-kawan sebelum ini. Seminggu sebelum hari pelancaran buku saya, saya menghadiri pelancaran sekumpulan penyair yang memanggil kumpulan mereka Bebas Melata. Saya datang sebenarnya untuk melihat sendiri pengisian dan acara-acara bagi melangsungkan sesuatu pelancaran. Sebelum pelancaran kumpulan Bebas Melata, saya hadir sesi 3 orang penulis tersohor di Singapura iaitu Mohd Latiff Mohd, Isa Kamari dan Suratman Markasan. Selepas sesi Bicara Karya itu, kami dijamu dengan kudapan petang, dan seterusnya acara kumpulan Bebas Melata juga bersambung dari situ. Maka para tetamu yang datang untuk kedua-dua acara bertambah dan memeriahkan lagi urusan petang itu.
Dalam hati saya berkata, "Tak mungkin begini ramai tetamu yang datang pada hari pelancaran buku saya."
Pegawai perpustakaan yang menguruskan pelancaran ini menyatakan yang saya perlu menyiapkan kudapan atau makanan ringan untuk 30 orang. Saya fikir, "Baik, kalau 30 orang, biar saya tempah 60 karipap dari penjual haram yang datang dari Batam. Seorang 2 karipap dan sekotak air. Cukuplah. Bukan parti makan-makan, ini parti mengenalkan buku baharu, bukan?" Itu saya yang fikir sendiri.

Lagi 3 hari ke pelancaran, datang lagi, "Puan, karipap saja tak cukup!" Panik saya. Alhamdulillah, salah seorang sahabat sepejuangan sempat membantu.
Lagi 2 hari ke pelancaran, pegawai perpustakaan tanya lagi, "Puan, ada tetamu kehormat yang ingin diundang?" TAK TAHU SIAPA PUN!
"Baik Puan, jangan panik, biar saya uruskan," kata pegawai itu.
Sehari sebelum pelancaran, satu soalan lagi, "Puan, apa pengisiannya?"
Pengisian? Pengisian apa lagi?
"Maaf Tuan, saya serahkan segalanya kepada Tuan yang bijak pandai."
Masa ini hampir menitis air mata saya.

Tempat: Perpustakaan Awam, Victoria Street
Masa Pelancaran 4:00 - 5:15 ptg
Bengkel Haiku    5:30 - 7:30 mlm





 Inilah salah seorang yang membantu untuk pengisian pelancaran ini. Saya baru kenal beliau (takut menyebut namanya di sini sebelum diberi izin). Beliau mendeklamasi sajak dengan gitar dan serunai itu.

















 Ini Puan Kamaria Buang, orang kuat yang membantu dan memberi nasihat. Bersamanya itu pegawai perpustakaan yang sering berbincang tentang pelancaran ini.
 Inilah orang yang banyak membantu pada masa-masa saya panik, pegawai perpustakaan awam Singapura yang melangsungkan acara pelancaran ini.
 Jangan terkejut. Ini penulis terkenal di Malaysia yang menjadi bidan terjun dan beliau antara yang awal memulakan acara pelancaran saya. Saya amat terkejut, terbeliak mata, terkebil-kebil mendengar beliau mendeklamasi tanka dari buku Percikan Pelangi, salah sebuah buku yang dilancarkan.
Sungguh terharu.
 Tetamu kehormat diperkenalkan. Beliau dari Berita Harian, Singapura.
 Masa untuk saya memberi sedikit ulasan darihal buku-buku yang dilancarkan.

1] Sukma Basho Dalam Haiku
2] Percikan Pelangi
3] Novel-Pagi Semerah Daun Momiji
 Saya tidak siapkan sebarang teks atau nota sebab saya tahu saya akan menggelabah. Biarlah saya tengok langit saja, tak perlu tengok tetamu di hadapan.















Dua buah tajuk buku yang sedang dilancarkan ialah hasil kerjasama dengan Darma Mohammad. Jadi saya fikir adalah lebih afdal Darma Mohammad diundang juga sebab ia melibatkan dirinya dalam pelancaran ini.

 Memberi cenderahati kepada tetamu kehormat.

Ini adik saya, Halija. Punyalah terkejut saya apabila dia naik ke meja ucapan. Aik, bilakala adik saya datang?
Tapi kejutan-kejutan ini amatlah membahagiakan saya.

 Peluk-peluk arab selepas adik saya mendeklamasikan haiku yang dipetik spontan dari buku Percikan Pelangi.

Akhir kalam, bergambar dengan tetamu yang rata-rata juga penulis.
Sebagai penutup, saya mengambil peluang untuk mencatatkan jutaan penghargaan saya kepada yang telah membantu saya secara spontan atau tidak spontan.
Kepada En. Herman Rothman, saya akui tahap kesabaran tuan amat tinggi.
Kepada Puan Kamaria Buang, terima kasih tidak terhingga atas segala nasihat dan cadangan untuk menjayakan pelancaran ini.
Kepada Puan Faridah Taib, sudi mengisi meja makan dengan pelbagai kudapan, amat saya hargai.
Kepada Puan Nisah Haron yang melompat untuk mengisi acara hari ini, tabik saya kepada puan.
Kepada En. Ciung Winara Singapura (nama pena), deklamasi dan tiupan seruling itu memberi saya masa untuk mengatur ucapan, terima kasih.
Kepada Tetamu Kehormat (tak tulis namanya) yang dari Berita Harian Singapura, sudi menjadi tetamu kehormat untuk pelancaran hari ini, setinggi gunung Fuji saya hargai.
Dan kepada adik-adik saya, serta anak saya bersama cucu saya yang datang, sayang kamu semua.
Mungkin ada nama yang saya tidak teringat tapi kamu tahu saya pun tahu, sama-sama menghargai bantuan dan kerjasama yang diberikan kepada saya untuk hari ini.

Sebelum pelancaran ini hari-hari saya baca tekanan darah yang mencatat b.acaan antara 147 hingga 157.
Boleh percayakah tekanan darah setinggi ini hari-hari sebelum pelancaran?
Selepas pelancaran tekanan darah saya balik semula 127.
Alhamdulillah, saya masih hidup.


*****