Wednesday, January 06, 2016

Kalendar Jepun


Jepun mencatatkan tanggal khas tersendiri. Hari ini mengikut pengkiraan kalendar orang Jepun berbunyi 6 Mutsuki Heiwa 28. Heiwa itu menandakan tahun penabalan Mahajara yang bertahta sekarang.
Kalendar Jepun di rumah saya membuka tahun dengan sebuah tanka.

世の中を
何にたとへむ
猿(えん)狎(こう)の
かた手のへれは
かた手みしかし

Bumi sekarang
apa nak dicontohkan
monyet dan beruk
Hulur sebelah tangan
sebelah lagi singkat.

*****

Friday, January 01, 2016

1 Januari 2016


Setiap pembukaan tahun, saya buat gubahan ikebana untuk sudut tokonoma di rumah bapa mentua saya.
Ini gubahan untuk 2016.
Setiap dahan dan bunga yang membentukkan hiasan ikebana membawa maksud dalam kepercayaan susunan ikebana.
Dalam susunan ini dahan pine (matsu) itu sebagai kepala hiasan sebab pine pohon paling tahan lasak. Pohon pine tidak luruh waktu salji dan musim sejuk.
Dahan warna emas itu simbol kesenangan/kekayaan, paling tinggi dalam gubahan.
Dahan beri merah itu mencorakkan latar gubahan sebagai kesuburan kehidupan.
Bunga lain-lain sebagai menambah kecantikan gubahan.
Pada hari pembukaan 2016, saya ucapkan selamat berbahagia kepada para pembaca novel saya dan pembaca yang mengikuti catatkan ini.

*****

Thursday, December 31, 2015

Penutup tahun 2015

(gambar bunga2 hiasan untuk perayaan Tahun Baharu di Okinawa)

Banyak perkara yang saya tidak terjangka menjadi pengalaman 2015. Alhamdulillah banyak kejadian yang telah berlaku pada 2015 membawa bahagia dan mampu meningkatkan tahap diri ini dalam kehidupan.
Hari ini penutup tahun, Ramai orang di pulau ini berpusu-pusu di kedai membeli barang-barang persiapan untuk menyambut tahun baharu esok.
Seperti biasa saya ditugaskan menyiapkan satu gubahan bunga untuk hiasan sambutan tahun baharu.

Saya membaca statistik pengunjung yang meng-ases blog ini dan rata-rata jumlah pembaca semakin meningkat. Ada juga saya menerima komen tapi saya biarkan komen-komen itu "unpublished" atas sebab-sebab tertentu.
Harap penulis-penulis komen yang saya tidak siarkan janganlah berkecil hati darihal ini.
Akhir kata terima kasih kepada pembaca-pembaca yang setia mengikut jalan hidup saya.
Tutup bab 2015.
Sekian.

*****

Monday, December 28, 2015

Singapore Literature Prize

Congratulations to a bevy of Malay SLP winning and shortlisted authors for their wins in the Anugerah Persuratan 2015! Johar Buang won the Tun Seri Lanang Award, while Hassan Hasaa'ree Ali won the Anugerah Harapan. Anuar Othman, Yazid Hussein, and Peter Augustine Goh also won awards.
Congratulations to all the winners!

Anugerah

Cari novel saya di baris paling bawah. Skrol sampai habis, harus sampai habis ke bawah, baru jumpa catatan novel saya.
*****

Sunday, December 20, 2015

Laporan Panel Anugerah Persuratan 2015




Laporan ini saya petik daripada catatan Panel Penilai pada novel Pagi Semerah Daun Momiji.

Kekuatan Novel :
Novel ini mempunyai beberapa kekuatan seperti yang berikut:
a. Naratif atau gaya penceritaan yang menarik, dengan perkembangan plot yang kemas dan lancar serta pembinaan perwatakan yang dalam dan meyakinkan.
b. Bahasa yang baik dan menyelitkan banyak kosa kata yang luas.
c. Unsur seni sastera yang menarik seperti puisi dan lagu diselitkan.
d. Tema perang dapat diungkapkan dengan seimbang dari sudut masyarakat Jepun dan masyarakat Melayu. Kedua-dua pihak menjadi mangsa politik.
e. Kritikan politik pada ketua tentera Jepun, yang mengarahkan tindakan kejam, dan tidak menyalahkan Maharaja Jepun. Mengkritik pengeboman atom yang terlalu kejam sehingga menyebabkan kematian dan kemusnahan berterusan selepas perang.
f. Sikap saling menghargai budaya satu sama lain – prejudis Masato terhadap orang Melayu berubah setelah mengetahui makna azan, pantun, bahasa, makanan dll. Begitu juga watak Hassan yang bertukar dan menghargai budaya Jepun setelah datang ke negara Jepun.
g. Lukisan keindahan alam dua negara,  Jepun dan alam Melayu yang baik.

Kesan Novel :
Novel ini sarat dengan nilai-nilai kemanusiaan. Ia menekankan nilai kasih sayang keluarga dan membina rasa penghargaan dan hubungan budaya Melayu-Jepun. Kedua-dua pihak dapat saling belajar dan mendapat faedah. Misalnya, Masato memperkenalkan tanaman tembakau yang menguntungkan keluarga Pak Mat Isa dan Hassan belajar berniaga kilang menjahit. Masato pula belajar tentang Islam dan budaya dan sastera Melayu. Selain membina rasa kekeluargaan, peranan agama sebagai mengukuh ukhuwah juga disertakan. Masato diterima mesra oleh masyarakat Melayu setelah beliau memeluk agama Islam. Ini mengikis prasangka dan perasaan marah masyarakat yang begitu kuat. Novel ini juga memberi interpretasi atau perspektif yang segar tentang titik sejarah hitam yang dilalui oleh dua negara yang menjajah dan dijajah. Korban dan mangsa perang sebenar adalah rakyat atau orang kebanyakan. Perang, dendam dan permusuhan mestilah dielakkan. Kita harus membina persefahaman dan penghargaan pada berbezaan budaya dan keharmonian bangsa, agama dan negara. Nilai keharmonian budaya dan merentas agama ini adalah kekuatan novel ini. Ini adalah nilai sejagat yang wajar dialu-alukan. Pada keseluruhannya, panel mendapati bahawa novel ini berjaya membuka dua jendela budaya yang positif. Ini adalah keistimewaan novel, yang telah membawa jendela novel Melayu ke tahap yang lebih luas, terbuka dan seimbang. Sebuah novel merentasi sejarah penting yang melanda dua negara, Jepun dan Malaya., iaitu pendudukan Jepun di Malaya dan ledakan bom atom di Hiroshima. Keduadua peristiwa besar ini menjadi latar belakang yang menaungi dan mewarnai perkembangan plot dan watak dalam novel. Penceritaan agak bersahaja dan lancar. Konflik zahir dan batin berjaya dipaparkan melalui ketegangan antara dendam dengan cinta pada watakwatak utama, yang sebenarnya merupakan penzahiran konflik budaya yang ketara dan kaya dari segi kesan dan perincian. Pagi Semerah Daun Momiji adalah novel serius yang baik dan mantap. Walaupun belum mencapai tahap “cutting-edge” atau bergarda ke hadapan, ia lengkap dan ampuh dari segi menawarkan penceritaan yang lancar dan memikat, estetika yang halus, di samping pemikiran yang luas dan mantap. Maka, novel ini sesuai untuk diberi Anugerah Persuratan.

KESIMPULAN :
Pada keseluruhannya novel-novel yang dihasilkan sepanjang tahun penganugerahan telah memberi tumpuan pada kehidupan masyarakat Melayu Singapura dan Malaya yang menghadapi pelbagai masalah keluarga, sosial dan kepemimpinan. Kebanyakan novel ini memperlihatkan bahawa kesedaran agama dianggap sebagai suatu jalan keluar untuk menyelesaikan permasalahan yang dikemukakan. Namun begitu, mesej agama dan moral yang ghairah mahu disampaikan ini telah menjejas mutu novel-novel ini kerana tidak dapat disampaikan dengan teknik penulisan naratif yang kreatif dan  berkesan. Ini ditambah dengan lemahnya pengolahan plot, perwatakan serta peleraian masalah dan pemikiran yang mendukungnya. Ringkasnya, mengisi titik keseimbangan pada unsur-unsur seni sastera ini masih merupakan suatu cabaran yang perlu ditangani oleh para penulis dalam wacana novel ini.

Komen pengarang novel: Terdapat kesilapan pada nama watak utama dalam laporan buku AP2015 ini. Ralat: Masato. Pembetulan: Masatoshi.
Saya maafkan kekhilafan dalam cetakan ini.

*****

Monday, December 14, 2015

Keretapi Hina



Penulis novel ini bernama Kenta Nishimura. Beliau menerima anugerah Akutagawa pada tahun 2010 dengan novel bertajuk Kueki Resshya (Kereta Api Hina). Novel menceritakan seorang lelaki yang tidak berjaya dalam kehidupannya. Protagonisnya kuat minum dan main perempuan tetapi hidupnya berubah setelah dia mengenali seorang perempuan di sebuah kedai buku.

Persekolahan penulis ini hanya setinggi kelulusan sekolah menengah. Ini novel kedua yang memenangai hadiah berkaliber dalam kesusasteraan Jepun.

Saya ingin sampaikan maksud bahawa penulis tidak perlu berkelulusan ijazah saujana muda atau ijazah kedoktoran untuk menulis dan mencapai kecemerlangan dalam dunia persuratan.
Selagi Tuhan memberi ilham menulis, di situlah penulis menanam kepakarannya dan menyuburkan penceritaannya.

Buku ini telah difilemkan di Jepun.

*****

Wednesday, November 25, 2015

Anugerah Persuratan 2015

Setelah dilancarkan pada 10 Okt. 2013, novel kedua saya Pagi Semerah Daun Momiji menerima Anugerah Persuratan 2015, Singapura dalam kategori Novel.


Anugerah Persuratan 2015
21 November 2015
Hotel Grand Hyatt


Menurut laporan daripada salah seorang penilai Anugerah Persuratan, semenjak 2005 kategori novel tidak mendapat tempat dalam penilaian.


Berikut adalah senarai novel-novel yang dinilai untuk AP2015:-
1] Antara Cinta dan Kekasih oleh Halim bin Hassan.
2] Cahaya Kasih oleh Peter Augustine Goh.
3] Inche'Jamil Menantu Mithali oleh Norisah bte. A. Bakar.
4] Indahnya Hidayah-Mu oleh Hafiza bte Talib.
5] Meniti Impian oleh Halim Hassan.
6] Pagi Semerah Daun Momiji oleh Leyla Shuri.

Saya akhiri dengan sekalung penghargaan untuk Datin Hajijah Jais (editor), Puan Asiah Daud dan semua staf yang terlibat dalam pembikinan novel saya di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Apalah buku kalau tiada yang membaca. Saya menebarkan sayap terima kasih kepada para pembaca jauh dan dekat yang sudi mendapatkan buku ini dan yang pentingnya yang telah membaca novel ini.

Ilham, kejayaan dan rezeki itu datang dari Ilahi yang Maha Pemberi dengan kekuatan usaha dan doa kepada-Nya.
Alhamdulillah.

*****

Pembinaan Pagi Semerah Daun Momiji


Kerja-kerja membina novel ini pada pertengahan tahun 2009 hingga keseluruhannya ditutup pada akhir tahun 2010. Daripada reka-bentuk jalan cerita hingga ke pertukangan satu ayat demi satu ayat ke dalam halamannya seperti memasang setiap batu bata untuk mendirikan tembok rumah, terus saya mewarnai dengan hiasan cat untuk mencantikkannya.
Pada 12 Jan. 2011, saya menghantarkan menuskripnya kepada sebuah syarikat yang terkenal dengan buku popular dan novel remaja. Manuskrip ditolak oleh syarikat ini pada 31 March 2011 dengan alasan ia tidak menepati ciri-ciri novel popular dan remaja.
Kemudian pada 5 Mei 2011, skrip ini jatuh ke tangan ketua editor Dewan Bahasa dan Pustaka.
8 Julai 2011, Jabatan Perolehan membawa skrip ke meja penilaian.
Novel ini mendapat kelulusan Jabatan Editorial pada 11 Ogos dan diserahkan ke Jabatan Penerbitan pada 22 Ogos 2011.
Pilihan kaver buku jatuh pada hari lahir saya tarikh 14 Jun. 2013.
Akhirnya saya ke DBP untuk melancarkan buku ini bersama staf editorial pada 10 Okt. 2013.
Proses penyerahan menuskrip hingga ke pelancaran novel ini makan selama 2 tahun 5 bulan. Ini tidak termasuk waktu saya berjaga siang dan malam untuk menukang setiap halamannya yang mengambil setahun 6 bulan.
Setelah 10 Okt 2013... (sila lihat status seterusnya).

*****

Tuesday, November 17, 2015

Diskusi Novel TERBELAH BINTANG SUBARU


Pelajar-pelajar jurusan sastera di UKM bersama Cikgu Abdullah Cheh menjadualkan acara Diskusi Novel pada 19 Nov. 2015 jam 10-12 tengah hari.
Terlanjur saya berada di Singapura, insya-Allah, saya juga hadir memeriahkan acara ini.
Pada sesiapa yang ingin dapatkan novel ini, silalah datang sebab wakil dari penerbitnya, ITBM akan membawa stok novel ini untuk dijual.
Sekian.

*****

Thursday, November 05, 2015

Golden Point Award 2015

[click link above to view more photos]



Pada 3 Nov. 2015, saya menghadiri majlis penyampaian hadiah bagi Anugerah Pena Emas 2015.
Cerpen saya bertajuk "Kosong Di Atas Garis" mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini.
Deretan panel penilai untuk bahagian cerpen ialah SN Anwar Ridhwan, En. Raman Daud dan Dr. Sa'edah Buang.
Ini buat julung-julung kalinya saya menerima anugerah sastera. Tempat majlis ini diadakan sangat bersejarah dalam pembangunan Singapura iaitu di rumah parlimen pertama di Singapura. Rumah ini sudah dijadikan pusat seni yang mengguna nama The Arts House. Rumah ini tempat Sir David Marshall, Lee Kwan Yew dan lain-lain para politik menandatangani surat-surat era pra dan pos Merdeka di Singapore.
Dan rumah ini juga menjadi sejarah bagi saya. Berdebar-debar jantung saya dalam waktu majlis sedang berlangsung.
Saya tanya Cik Puan Siti Aisyah yang mendapat tempat ke-tiga dalam bahagian cerpen juga, "Tak nervous kah, Siti?"
Dia balas, "Dua tahun lepas saya telah hadir majlis ini juga. Masa itu saya mendapat saguhati dalam bahagian cerpen. Tak nervous lagi."
Masa makan, kami beramah tamah dengan tetamu kehormat Setiausaha Parliament dalam Kementerian Budaya, Masyarakat dan Belia, En. Baey Yam Keng (dalam gambar).
Saya tidak kenal orangnya dan tidak sempat membaca profil beliau.
Saya fikir dia salah seorang sasterawan tempatan.
Saya berbasa-basi, "So, how many novels have you published?"
Saya perhatikan beliau terkejut sejenak, lalu beliau membalas, "I've written a few articles for my school before but I'm a member of the Parliament now and going into my third term."
Ara maaa...saya minta maaf berkali-kali dan nyatakan bahawa saya tidak tinggal di Singapura (tapi profil dia ada tertulis di kad program, alasan tak munasabah!)
Aduhai!!!


*****

Sunday, October 18, 2015

Kekayaan


Buku-buku ini saya beli dengan harga $1/naskah untuk buku Melayu dan $2/naskah untuk buku Inggeris dan kanak-kanak.
Perpustakaan Awam Singapura melelongkan buku-buku ini setahun sekali. Saya bernasib baik kali ini saya sendiri berada di Singapura apabila penjualan ini berlangsung. Masa pembukaan jam 9 pagi tapi tamaknya saya, jam 9.15 pagi saya sudah berada di pintu tempat penjualan di Expo Hall. Tapi agak terkejut apabila melihat sudah ramai yang sibuk memilih-memilih buku.

Saya buat senarai keutamaan. Pertama dalam senarai ialah buku sasterawan negara atau penulis yang telah menerima anugerah persuratan. Banyak juga saya dapat tangkap buku-buku yang dalam senarai keutamaan.
Jam 12 tengah hari, saya terasa letih dan lapar. Keadaan ini memaksa saya berhenti dan saya mengheret balik beg roda yang sudah saya sediakan.

Memandangkan had berat hanya 23 kilo, saya terpaksa tinggalkan banyak buku-buku ini di rumah anak saya untuk dibawa balik pada lain masa.

Saya rasa sangat kaya diberi rezeki begini. Kekayaan bukan sahaja dalam bentuk wang. Kekayaan pada saya ialah apabila memetik lada-lada merah dari pohonnya di rumah saya, apabila disambut oleh kawan yang ikhlas dalam perjalanan yang saya tidak pernah lakukan, apabila dapat memeluk cucu-cucu saya. Itu kekayaan bagi saya.

*****

Tuesday, September 22, 2015

Pelancaran novel TERBELAH BINTANG SUBARU

Pelancaran novel TERBELAH BINTANG SUBARU



Pada 19 September 2015 telah berlangsung majlis peluncuran novel TERBELAH BINTANG SUBARU di Perpustakaan Awam Daerah Timur Jurong. Dua orang penulis wanita Singapura, Anie Din dan Kamariah Buang juga bergabung dalam pelancaran ini dengan buku mereka.

Tetamu kehormat ialah Ahli Parliamen yang paling muda dan cun sangat, Cik Puan Rahayu Mahzan. Beliau baru berumur 35 tahun.
Disebabkan jadual beliau sangat sibuk, selepas mendapat buku-buku kami sebagai hadiah ikhlas, beliau tinggalkan majlis. Tidak lama kemudian, ibu beliau datang dan mohon saya turunkan tanda tangan pada novel yang diberikan kepada beliau.
Tak sangka juga ramai teman-teman penulis dan pembaca datang menghadiri majlis ini. Saya rasa ini disebabkan penarik kuat daripada penulis Puan Anie dan dan Puan Kamaria Buang.
En. Herman Rothman selaku pengurus majlis amat ringkas dalam mengatur acara ini dengan jayanya. Sekalung tahniah kepada pelaksanaan beliau yang begitu cekap.


*****

Thursday, September 17, 2015

Pelancaran Novel TERBELAH BINTANG SUBARU

Pelancaran novel TERBELAH BINTANG SUBARU
(sila klik pada pautan ini untuk paparan berfoto).

Tarikh: 19 Sept. 2015

Waktu: 4.30 - 6 ptg

Tempat: Perpustakaan Awam Daerah Jurong, Singapura.

Penulis yang bergabung dalam pelancaran ini ialah Anie Din dan Kamariah Buang.

Acara Semarak Bulan Bahasa, yang dianjurkan National Library Board, Singapore akan berlangsung pada 19 September. Semua dijemput hadir!


~~~~~

Tuesday, August 11, 2015

Reviu TBS

Seorang penulis veteran Singapore, Anuar Othman, membuat reviu novel Terbelah Bintang Subang yang telah tersiar di Berita Harian, Singapura pada 3 Ogos 2015.





Penghargaan saya kepada En. Anuar Othman ke atas catatan reviu ini dan terima kasih kepada Berita Harian, Singapura.

*****

Wednesday, August 05, 2015

Pagi Semerah Daun Momiji Ulang Cetak


Macam gah saja tajuk di atas. Sememangnya novel ini akan diulang-cetak sebab ia baru terbit setahun lalu tetapi keadaan novel ini yang harus diulang-cetak ialah sebab novel ini sudah "hilang" stok.

Mungkin pembaca blog ini rasa penulis gembira dengan keadaan ini tapi biar saya jelaskan. Oh!

Novel ini diulang-cetak BUKAN kerana kehabisan jualan. Sebanyak 3000 naskhah dicetak untuk terbitan pertama. Apabila pembekal DBP (masa itu Da-wa-ma) tutup kedai, baki-baki novel ini yang tersimpan dalam stor Da-wa-ma tidak dikembalikan kepada DBP.

Setakat ini penulis hanya dibayar royalti untuk 1500 naskhah (separuh jumlah cetakan pertama) yang selebihnya "hilang".

Apa-apa pun ini kulit baharu novel PAGI SEMERAH DAUN MOMIJI yang akan masuk pasaran semula pada September 2015 nanti.

*****

Thursday, July 30, 2015

Cerpen "MARILAH BERAYA AYAH"


Cerpen saya yang berjudul "Marilah Beraya Ayah" telah tersiar di Berita Harian, Singapura pada hari Isnin 27 Julai 2015.


Sampul yang memaparkan ilustrasi komik "Snoopy" ini jadi bahan utama dalam cerpen ini. Ada beberapa perkara yang saya ingin lapiskan dalam cerpen ini.

1] Dalam urusan kita dengan warga tua (tak kira ibu-bapa sendiri/mentua dll), kita perlu terangkan niat dan kelakuan kita sebelum membuat sesuatu tugas yang melibatkan warga tua. Elak membuat sesuatu yang melibatkan warga tua tanpa pengetahuan mereka.

2] Perhubungan dengan warga tua perlu telus dan jelas.

3] Menghormati keputusan warga tua dan juga menjaga tatatertib dalam perhubungan dengan mereka.

Apa-apa pun kita juga akan menjadi warga tua kelak.

Semoga kita bahagia menempuh hari-hari itu. amin.

*****

Sunday, July 26, 2015

Machiko-sensei

Dalam projek yang saya kendalikan sekarang, saya perlu menambah beberapa lagi buku rujukan. Saya ke perpustakaan untuk melihat buku-buku rujukan itu. Keluar dari ruang perpustakaan, saya masuk ke bilik haiku dan berjumpa Machiko-sensei.

Saya datang untuk memberitahu beliau yang saya akan bercuti dan tidak akan hadir perkumpulan haiku buat waktu yang panjang. Sensei menghadiahkan saya sebuah buku haiku terbitan berkala dan menggalakkan saya menyumbang beberapa karya haiku selepas kembali daripada cuti nanti. 

Karya-karya haiku yang dimuatkan dalam WA dikumpulkan daripada para penulis haiku seluruh Jepun. Karya-karya itu disemak oleh guru-guru haiku yang sudah berpengalaman berpuluh-puluh tahun.
Haiku-haiku saya sudah diterbitkan dalam dua buah terbitan WA pada tahun 2007 dan 2008. Saya terdesak untuk menghabiskan projek-projek yang sedang saya lakukan sekarang tapi perkara ini tidak saya ceritakan kepada Machiko-sensei.
Saya sangat-sangat terasa waktu sungguh singkat sekarang. Insya-Allah, saya akan sambung projek dengan Machiko-sensei.
*****

Thursday, July 16, 2015

Selamat AidilFitri 1436


“Taqobbal Allahu minna wa minkum "

( Semoga Allah menerima amalku dan amal kalian )


Sempena ambang Syawal 1436 esok (17 July 2015), saya dan keluarga saya mengambil kesempatan ini, khasnya kepada pembaca blog saya dan juga kepada pembaca buku-buku saya serta sahabat taulan dan saudara-mara yang jauh, mengucapkan bergembiralah menyambut hari bahagia ini. Hari yang disunatkan untuk kita bergembira meraikannya.

Kepada pembaca tegar blog ini, setinggi-tinggi penghargaan saya dan jika ada komen yang terbubar atau tidak saya siarkan, harap dimaafkan.


*****

Tuesday, July 14, 2015

Lat, Town Boy


Semalam (13 Julai 2015) saya menerima kiriman naskah ikhlas daripada Tokyo Univ. of Foreign Studies buku komik Lat, Town Boy (ITBM) dalam versi Jepun.
Ini buku ke-dua dalam siri buku Lat yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun.

Saya harap komik Lat yang lain juga dapat diterjemahkan sebab pembaca Jepun berminat sesuatu yang bersiri.

Terima kasih kepada pengirim buku ini.

Sekian.

*****

Wednesday, July 01, 2015

Perjalanan sastera 2015

Dalam minggu ini saya sudah selesaikan tempahan tiket untuk penerbangan ke Malaysia dan Singapore. Beberapa perkara pertama kali akan saya alami dalam perjalanan kali ini.
Biasanya saya menggunakan China Airlines dari bandar Naha dan bertukar di Taiwan untuk menaiki China Airlines juga ke sana. Perjalanan kembali juga dengan pesawat yang sama.
Walau bagaimanapun buat pertama kali saya akan terus ke KL dari Naha dan menggunakan MAS. Tak pernah saya guna MAS. Untuk pertukaran penerbangan saya ke bandara Kansai dan ini pertama kali saya singgah bandara Kansai.
Saya akan menghadiri persidangan PPA15 buat 3 hari dan belum lagi fikirkan hotel buat penginapan waktu itu.
Kali ini banyak jadual yang berkaitan sastera dan buku. Usai PPA15, saya ke Singapore untuk SAKAT dan selepasnya MASTERA.
Jadual ini berturut-turut hari.
Sebaik sahaja acara-acara ini selesai, Singapura akan meraikan pembukaan Bulan Bahasa Singapura 2015 pula. Saya dimaklumkan aktiviti Bulan Bahasa tahun ini penuh dan meriah.
Salah satu acara untuk Bulan Bahasa 2015 ialah pelancaran novel saya yang terbaharu TERBELAH BINTANG SUBARU, ITBM (sila lihat skrin kanan). Pelancaran akan dianjurkan oleh Perpustakaan Kebangsaan Singapura bertempat di Perpustakaan Besar di Singapore.
Tempahan tiket saya hanya untuk 2 bulan tapi saya pendekkan lagi. Bermakna saya di sana untuk 6 minggu sahaja.
Saya tidak sempat menyambut pembukaan Singapore Writer's Festival 2015 dan majlis Anugerah Persuratan 2015. Walau bagaimanapun, dengan izin Allah, saya harap dapat hadir untuk majlis gemilang ini.
Untuk pembaca blog saya, dengan hormatnya saya ucapkan Selamat meneruskan ibadah puasa. Semoga segala amalan kita akan mendapat ganjaran yang melimpah dari Illahi. Amin.
Sekian.
*****