Sunday, October 02, 2005

Silap faham Ramadhan.

Mesej dari pejabat Imam Masjid Kampung Siglap

Beberapa silap faham di dalam masyarakat mengenai Ramadhan


1) Zakat hanya wajib di bayar pada bulan Ramadhan.

Pembayaran Zakat wajib di tunaikan apabila telah cukup nisab dan haul, dan tidaklah harus ditangguhkan hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Sekiranya telah cukup haul dan nisab, tetapi tidak ditunaikan pembayaran zakat, semata-mata kerana ingin menunggu bulan Ramadhan, maka seseorang itu akan tetap berdosa.


2) Berpuasa hanyalah setakat menahan diri daripada makan dan minum sahaja.

Seluruh tubuh badan haruslah berpuasa. Sebagai contoh: Puasa mata, telinga, tangan, kaki dan sebagainya adalah dengan menahan anggota-anggota tersebut daripada melihat, mendengar, mengumpat atau melakukan apa sahaja bentuk kemaksiatan. Barangsiapa yang tidak menahan anggota tersebut daripada melihat, mendengar atau melakukan maksiat, maka dia tidak akan mendapat pahala yang sempurna daripada puasanya itu kecuali lapar dan dahaga sahaja.


3) Makan dan minum di siang hari Ramadhan tanpa segan silu.

Sekiranya kita tidak berpuasa kerana sebab-sebab tertentu, sebaik-baiknya janganlah kita makan atau minum dikhalayak ramai.


4) Tidak salah bagi para penjaja untuk menjual makanan kepada seseorang Islam untuk dimakan pada siang hari di bulan ramadhan.

Seorang penjaja makanan yang beragama Islam tidaklah harus berjualan di siang hari Ramadhan kepada mereka yang sengaja tidak berpuasa tanpa keuzuran.,yang ingin makan di gerai makanannya itu. Ini adalah kerana dia akan dikira sebagai bersubahat dengan mereka. Namun, dia dibenarkan menjual makanan dengan cara di bungkus (take away) sebagai juadah untuk berbuka puasa.


5) Saya ingin berhenti merokok tetapi tidak pernah berjaya.

Sewaktu menjalani ibadah puasa, seorang perokok telah mampu menahan dirinya daripada merokok sepanjang hari. Ini menunjukkan bahawa sekiranya seseorang itu mempunyai azam yang kuat, maka, insya Allah dia akan berjaya menghentikan tabiat buruk tersebut. Maka, sebaik-baiknya setiap perokok harus gunakan kesempatan bulan Ramadhan ini untuk menghentikan tabiat yang buruk tersebut.


6) Adakalanya seseorang yang menjalani ibadah puasa merasa lapar di siang hari lalu ingin berbuka.

Merasa lapar dan dahaga sewaktu berpuasa adalah suatu perkara yang lumrah. Seseorang yang berpuasa haruslah menguatkan azamnya dan membuat persiapan mental dari awal lagi bahawa di siang hari nanti dia pasti akan merasa lapar dan dahaga. Itu adalah salah satu bentuk pengorbanan demi untuk mentaati perintah Allah swt dan mencari keredhaanNya.
Namun demikian, sekiranya seseorang itu memang benar-benar sakit atau keuzuran, dia dibenarkan berbuka kalau dengan berpuasa itu boleh memudharatkannya.


7) Barangsiapa yang menunaikan solat terawih, mereka akan mendapat pahala yang sangat besar. Sebagai contoh, barangsiapa yang menunaikannya pada malam pertama, dikatakan, fadhilatnya adalah "dosa-dosanya akan diampunkanseperti mana dia baru dilahirkan". Fadhilat untuk malam kedua pula adalah: "Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran". Fadhilat untuk malam ke enam pula adalah: “mendapat pahala 70,000 malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur."

Menunaikan solat terawih pada bulan Ramadhan memanglah suatu amalan sunnah yang sangat dituntut. Namun demikian, tidak ada hadith yang sohih maupun yang dhoif yang menjelaskan secara terperinci mengenai fadilat-fahdilat solat tersebut sekiranya ianya ditunaikan pada malam-malam tertentu. Adapun hadith yang menjelaskan fadhilatnya dari malam pertama hingga ke tiga puluh adalah hadith maudhu (yang direka) dan tidaklah boleh dijadikan sebagai sandaran ataupun hujjah dan tidaklah harus disebarkan.


8) Ramai jemaah akan menunaikan solat Terawih hanya pada awal ramadhan, kemudian semakin berkurangan.

Solat sunat terawih adalah antara amalan yang sangat dituntut supaya ditunaikan pada keseluruhan bulan Ramadhan. Bulan tersebut adalah bulan yang penuh dengan keberkahan dan pengampunan, maka amat rugilah mereka-mereka yang tidak memanfaatkan sepenuhnya bulan tersebut. Sebaik-baiknya, kita cubalah agar dapat menambahkan amalan-amalan soleh sepanjang bulan tersebut terutama pada malam-malam terakahir bulan Ramadhan demi mendapatkan keampunan dan pembebasan daripada api neraka.


9) Solat witir sunat di lakukan hanya pada bulan Ramadhan.

Solat witir adalah antara solat-solat sunat yang sangat di tuntut supaya di kerjakan pada setiap malam dan bukanlah hanya pada bulan Ramadhan. Waktunya adalah selepas menunaikan solat isyak dan sejurus sebelum masuknya waktu subuh. Ianya boleh dikerjakan samada satu, tiga, lima rakaat atau sebagainya.


10) Mengutamakan membeli-belah pada akhir-akhir Ramadhan dan pada malam Hari Raya kerana pada ketika itu barang-barang akan dijual dengan harga yang sangat murah.

Malam-malam terakhir Ramadhan adalah malam-malam yang penuh dengan keberkahan yang terdapat juga di dalamnya malam Lailatul Qadr. Sebaik-baiknya, ianya haruslah di isi dengan bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah swt. Alangkah ruginya sekiranya pada setiap tahun, malam-malam yang berharga sebegini, termasuk malam Hari Raya dihabiskan hanya dengan membeli-belah atau terlalu sibuk hanya untuk menghiasi rumah. Apa yang boleh dilakukan adalah dengan membuat persiapan Hari Raya dari awal lagi agar malam-malam terakhir tersebut dapat dipenuhi dengan ibadah kepada Allah swt.


11) Pada Ramadhan yang lalu, terdapat beberapa gerai di bazaar yang menyediakan khidmat membuat "tatoo sementara". Memandangkan ianya bukanlah bersifat "permanent", tidaklah salah untuk seseorang itu membuat tatoo itu untuk anaknya

Membuatkan atau membenarkan anaknya membuat tatoo walaupun bersifat sementara haruslah dielakkan kerana ianya akan membiasakan diri anaknya suka atau berbangga dengan pembuatan tatoo di tubuhnya. Ini mempunyai kesan negative pada jangka masa yang panjang. Maka, walaupun ianya berbentyuk sementara, tidaklah wajar kite membuatkannya untuk anak-anak kite.


12) Meminta maaf hanyalah dilakukan pada setiap pagi raya.

Seseorang yang telah melakukan kesalahan haruslah dengan segera memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan dan tidaklah harus hanya menantikan pada Hari Raya untuk saling bermaaf-maafan.


13) Antara amalan yang dituntut pada pagi Hari Raya adalah menziarahi perkuburan.

Rasulullah saw memang menggalakkan umatnya menziarah perkuburan kerana ianya boleh mengingatkan seseorang kepada kematian. Menziarahi perkuburan boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dan bukanlah menjadi suatu amalan sunat untuk dikhususkan hanya pada setiap pagi Raya. Antara amalan sunnah pada pagi Hari Raya adalah menunaikan solat Hari Raya secara berjemaah dan kemudian saling ziarah-menziarahi sanak-saudara dan sahabat-handai dan bukan menziarahi perkuburan.


14) Menunaikan solat hanya pada kedua Hari Raya di dalam setahun

Adalah satu amalan sunnah yang sangat dianjurkan bagi setiap umat Islam, Muslimin dan muslimat untuk bersama menunaikan solat kedua hari raya pada setiap tahun. Namun, selain daripada kedua solat tersebut, sebagai seorang yang beriman, kita juga diwajibkan untuk menunaikan solat lima waktu setiap hari, pada waktu-waktu yang ditentukan. Selain daripada itu, kaum muslimin dikehendaki menunaikan solat jumaat berjemaah di masjid pada setiap minggu.


15) Bersalaman di antara ipar-duai sewaktu berziarah pada Hari Raya.

Walaupun berziarah pada hari raya adalah antara amalan yang sangat dituntut, namun demikian, perlu dijaga juga hukum-ahkam di dalam berziarah tersebut. Sebagai contoh, sewaktu sibuk berziarah, tuntutan solat tidaklah harus di abaikan dan juga mereka-mereka yang bukan mahram (seperti diantara ipar-duai atau sahabat-handai) tidaklah harus bersalaman.


16) Hanya menitik beratkan amalan-amalan ritual seperti solat, puasa menutup aurat tetapi tidak mengambil berat menganai akhlak, hubungan kemasyarakatan dan sebagainya.

Di dalam Islam, seseorang itu bukanlah hanya dituntut menjalin hubungan yang baik bersama tuhannya, akan tetapi ianya juga dituntut menjalin hubungan yang baik sesame insan, tidak kira yang bergama islam ataupun tidak. Inilah yang dikatakan sebagai hablumminallah dan hablumminannas. Selain daripada amalan ritual seperti solat, puasa, menutup aurat dan sebagainya, umat Islam haruslah juga memastikan bahawa dia berakhlak mulia, berbudi pekerti yang luhur, saling hormat-menghormati, suka tolong menolong serta bermanfaat kepada masyarakat.


Wallahu 'alam

USTAZ AZMI ABDUL SAMAD
azmiabdsamad@gmail.com