Tuesday, October 26, 2010

Varnis

Belalang Mentadak-18thn

Pagi tadi hidung ambo dikejutkan dengan bau pelik. Bukanlah pagi sangat. Dah masuk jam 9.30 pagi. Masih terlentang dan terkebil-kebil, baru ambo teringat Otto kata semalam dia nak varnis lantai ruang tamu dan dapur. Rumah ini sudah 13 tahun. Varnis lantai papan semakin bercalar dan bertompok-tompok. Sebenarnya hari Ahad nanti ada tetamu penting datang ke rumah kami buat pertama kali. Tapi biarlah ambo cerita tentang varnis sementara menunggu kejadian selanjutnya...

Semenjak ambo menulis draf, rumah ini terabai. Lain-lain tulisan tidaklah begitu menghariahkan tapi menulis draf terasa seperti menghantukan. Pokoknya rumah ambo terabai.

Sebenarnya hati ini terasa tertekan memikirkan sampah yang bertahun-tahun ambo simpan. Pakaian anak-anak masa mereka bayi masih ada dalam almari. Otto suruh buang, ambo kata benda itu tak ganggu kita, jadi kita jangan ganggu dia.
Boleh?

Buku-buku lama, buku klasik, buku agama semua saya simpan. Untuk Otto buku tidak perlu kita simpan, bila dah baca berikan orang lain atau buang. Ambo kata mana boleh buang ilmu. Ilmu kita bawa sampai mati.
Boleh?

Pakaian lama-lama semasa badan ambo seperti belalang mentadak masih ada lagi. Berbungkus bulat-bulat. Itu pun simpan. Otto kata buat kain buruk.
Mana boleh buat kain buruk, kainnya tak buruk pun!
Boleh?

Entahlah, tolonglah.
Macam mana nak buang!!!???

*******

Tuesday, October 19, 2010

Kaya?

Alaun melahirkan anak dinaikkan lagi. Setiap kali melahirkan, diberi sebanyak yen 420,000. Masa saya dulu, 26 tahun lepas, kami dapat alaun bersalin Yen 230,000.
Duit ini dari mana? Dari cukai pendapatan. Siapa yang mengeluarkan cukai pendapatan ini? Pekerja swasta dan awam. Cukai dinaikkan untuk membayar lebih. Kasihan orang-orang muda di Jepun.

Kadar orang Jepun bunuh diri naik lagi tahun ini (+-33,000 nyawa). Yang peliknya, pada pertama kali didapati orang-orang muda antara umur 20'an dan 30'an yang ramai bunuh diri (+-8,000 nyawa). Kasihan orang-orang muda di Jepun.

********

Thursday, October 14, 2010

Kui

"Mano poi eh kui padi dopan ghumah?"

Setakat ini, belum ada orang berani menjawab soalan ini apabila saya masukkan di dalam Facebook.

Mungkin ini kerana:

1] Ada pembaca beranggapan ayat ini bukan dalam Bahasa Melayu.

2] Ada pembaca tidak faham Bahasa Noghori.

3] Ada pembaca faham Bahasa Noghori tapi tak tahu apa itu "kui".

4] Ada pembaca memang faham Bahasa Noghori dan tahu pula makna "kui" tapi memang tak tahu jawapan pada soalan ini.

Satu lagi tentang usul-usul perkataan.

"Beca" berasal dari Bahasa Inggeris yang dicampur-adukkan dari perkataan "rickshaw".
Tapi "rickshaw" bukan juga berasal dari bahasa Inggeris.

"Rickshaw" keluar dari lidah cair yang mengalir dari perkataan asal "ricksya".

"Ricksya" pula dipendekkan dari perkataan "jinrikisya!"
 
"Jinrikisya" atau 人力車 (bahasa Jepun) yang bermaksud 人 orang, 力 tenaga, 車 kereta. Cantumkan menjadi orang-tenaga-kereta.

Huraiannya menjadi kereta yang mengguna tenaga orang...beca!

"Mano poi eh kui padi dopan ghumah?"

*******

Sunday, October 10, 2010

10-10-10

Mengabadikan hari ini.

1] Terjaga awal sebelum waktu fajar. Tangan menekan butang loceng dan menunggu, tapi terlelap. Alih-alih bila tersedar waktu sudah masuk setengah jam selepas suruq...mood menjadi liar.

2] Ada sesuatu yang dinantikan tapi belum ada jawapan...mood membara.

3] Ada masalah yang harus diselesaikan tapi menunggu masa dengan sabar...mood bosan.

4] Hati ingin berseronok dengan teman2 tapi kaki tidak mahu melangkah lebih dari pintu depan...mood sedih.

5] Semangat ingin menghabiskan projek terkini tapi jari menulis sudah bengkak, tak dapat pegang pensel...mood menyerit.

Lima cukuplah, tak perlu penuhkan senarai sampai 10.

Mengabadikan hari 10-10-10!

******

Thursday, October 07, 2010

Langit Luruh

Ada pepatah Jepun yang bermaksud "hati perempuan bagaikan langit luruh".
Luruh adalah musim perantaraan.
Baru habis musim panas yang berluwapan dan memijak ke pintu musim sejuk.
Musim luruh awannya berkumpulan seperti ikan berlari-lari dalam laut, berderet-deret dan panjang di lata langit.
Ini lain dengan awan musim panas, di mana awannya berkepul-kepul naik meninggi, bertingkat-tingkat.
Bayu musim luruh sungguh nyaman.
Senang dilenakan dan boleh mengkhayalkan.
Hati perempuan sama seperti awan, bayu dan langit musim luruh.
Tidak menentu.
Sekejap ke belakang, sekejap ke depan.
Adakala tenang, adakala ribut, berkilat, berpanah.
Selalunya awannya menari-nari tapi tidak lama.
Bila hujan, dibuatnya lama berhari-hari.
Memang musim luruh sama seperti hati perempuan.
Sesiapa yang belum kenal musim luruh tak perlu risau.
Duduk saja serumah dengan seorang perempuan, sudah cukup mengalami luruh semusim!

Bertadabburlah dan hayatilah ciptaan-Nya di alam ini.


Kumpulan sadin
berkejaran di langit
egonya tinggi.

*****