Saya dilantik sebagai ahli penel temuduga untuk Jabatan Sumber Manusia Negeri Okinawa.
Mereka akan menaja seorang peserta ke Malaysia untuk menjalani kursus Masters selama dua tahun dalam program Pelancongan.
Setelah tamat kursus ini, peserta tersebut diharapkan dapat memperkenalkan pulau ini sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik untuk rakyat Malaysia.
Duit rakyat akan dicurahkan kepada peserta ini sebanyak
hyakuman setahun (lebih kurang RM3,200 /bulan) dan kursusnya berlangsung selama 2 tahun.
Peserta ini pernah belajar di sebuah kolej di Petaling Jaya selama 4 tahun. Pembelajarannya selama empat tahun di KL itu menggunakan
hanya BI.
Saya bertanya kepada peserta ini kenapa memilih belajar lagi di Malaysia.
Katanya senang!
Semua pelajaran dijalankan dalam BI. Lagi pun kawan-kawannya bercakap dalam BI. Tak perlu membuang masa lagi belajar BM.
Saya minta beliau menyebut perkataan Melayu yang beliau masih ingat. Beliau menyebut nasi ayam, makan, air, ikan.
Adakah selama empat tahun, itu sahaja perkataan yang beliau tahu?
Bandingkan dengan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Jepun selama empat tahun.
Mereka membawa balik ke Malaysia kemahiran Bahasa Jepun!
Saya tanya apa yang bagus sangat di Malaysia.
Peserta kata dia suka orang Malaysia yang
laid-back, yang tak
fussy.
Saya tanya lagi apa yang dimaksudkan dengan tak
fussy.
Peserta itu menjelaskan bahawa orang Malaysia tak kisahkan apa-apa. Tak kisahkan masa, tak kisahkan bahasa. Itu senang, katanya.
Peserta itu menyatakan kalau dia belajar di negara Thai, dia harus belajar bahasa Thai. Sama juga negara-negara lain tapi untuk negara Malaysia, tak perlu belajar BM!
Saya terdiam. Mengeluh dalam batin.
Jengkel betul. Benci bukan kepada peserta itu. Jengkel kepada sikap
orang Malaysia.
Orang Malaysia rugi betul.
Mana hilangnya maruah orang Malaysia sehingga begini tanggapan anak-anak muda dari negara lain.
Universiti Ryukyu di pulau ini mengadakan kelas bahasa Thai, kelas bahasa Indonesia, kelas bahasa Cina, kelas bahasa Sepanyol, kelas bahasa Perancis tapi tak ada kelas bahasa Melayu.
Agaknya pihak Malaysia sendiri memandang BM tidak penting.
Mana salahnya kita?
Saya di Okinawa. Hidup saya di Malayisa hanya beberapa tahun sahaja. Saya tidak bertutur dalam bahasa Melayu lagi di sini dan
saya terasa sangat kehilangan sesuatu yang sungguh berharga. Sebab itu saya mengambil kesempatan menulis dalam Bahasa Melayu di blog ini untuk terus menghidupkannya di pulau ini.
Tidak ada apa yang saya boleh banggakan darihal bahasa Melayu lagi. Apa yang ada pada bahasa Melayu, jika pelajar yang pergi ke Malaysia pun tidak perlu belajar BM?
Kata-kata "Tidak hilang Melayu (Baca:BM) di dunia", sudah tidak relevan.
Bahasa Melayu sudah pun separuh hilang.
Mungkin orang Melayu sendiri tidak sedar hal ini.
Mereka tidak sedar.
Mereka betul-betul tidak sedar (kecuali beberapa orang sahaja!).
*********