Assalamualaikum warahmatullah.
Soalan :
Saya nak bertanya, apakah cara menentukan tarikh 1 Syawal yg sebenarnya menurut sunnah?
Setahu saya, kita perlu melihat anak bulan.
Tapi kenapa di Mekah beraya pada hari Isnin manakala kat Malaysia raya pada hari Selasa?
Yang manakah yg sepatutnya kita ikut?
Jawapan :
Para ulama berbeza pendapat dalam masaalah ini.
Sebahagian mereka menempuh cara yang agak sempit untuk penentuan raya dan mereka hanya menerima cara penetapan itu mesti dilakukan dengan cara melihat sahaja.
Namun sebahagian yang lain meluaskannya dan berpendapat perhitungan falak juga merupakan salah satu cara yang diterima di dlm Islam. Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah membincangkan tajuk ini di dalam fatwa mu'asirah beliau, sila dapatkan buku beliau untuk mendapat keterangan yang lebih lanjut. Di bawah ini saya hanya menyatakan secara ringkas sahaja :
al-Qaradhawi menyatakan, berdasarkan hadith-hadith yang sahih dari Nabi saw menunjukkan terdapat 3 cara untuk menetapkan awal bulan Ramadhan dan Syawal, iaitulah :
1- Melihat anak bulan (رؤية الهلال). Ini berdasarkan hadith Nabi saw :
صوموا لرؤيته ــ أي الهلال ــ وأفطروا لرؤيته فإن أغبى عليكم فأكملوا عِدَّةَ شعبان ثلاثين
Maksudnya : "Berpuasalah kamu semua kerana melihat anak bulan (satu Ramadhan) dan berbukalah (berhari raya) kerana melihat anak bulan (satu Syawal), Apabila terhalang penglihatan-mu oleh awan, maka sempurnakanlah bilangan bulan SYa'ban 30 hari." (Hadith riwayat al-BUkhari dan Muslim)
Diriwayatkan juga dari Ibn 'Umar bahawa Nabi saw menyebut-nyebut tentang bulan Ramadhan lalu berkata :
لا تصوموا حتى تروا الهلالَ، ولا تُفطروا حتى تروه، فإن غَمَّ عليكم فاقدروا له
Maksudnya : "Jangan kamu semua berpuasa sehinggalah kamu melihat al-Hilal (anak bulan Ramadhan), danjangan kamu semua berbuka (berhari raya) sehingga kamu melihatnya (anak bulan Syawal). Jika penglihatan kamu tertutup oleh awan, maka perhitungkanlah bulan itu."
2- Menyempernakan Sya'ban sebanyak 30 hari (bagi penentuan awal Ramadhan), samaada cuaca dalam keadaan cerah mahupun tidak. Apabila mereka melihat anak bulan pada malam 30 SYa'ban, dan seorangpun tidak menampaknya, maka sempurnakanlah Syaban sebanyak 30 hari.
Dengan cara ini, kita juga mesti menentukan permulaan bulan Sya'ban, sehingga kita dapat mengetahui bilakah malam 30, untuk kita lihat anak bulan Ramadhan dan kita sempurnakan sya'ban menjadi 30 jika anak bulan tidak kelihatan.
3- Mengirakan anak bulan dikala berawan (atau seumpamanya), atau mengikut lafaz hadith "Jika penglihatan kamu semua terhalang" (oleh awan atau seumpamanya), di dalam sebahagian riwayat yang sahih, diantaranya dari Malik dari Nafi' daripada Ibn 'Omar yang merupakan al-Silsilah al-Zahabiyah, dan merupakan sanad yang paling sahih di sisi al-Bukhari menyebut :
إذا غم عليكم فاقدروا له
Maksudnya : "Jika penglihatan kamu semua terhalang, maka kirakanlah bulan itu."
Persoalannya : Apakah maksud "Maka perkirakanlah bulan itu" ?
Berbagai pandangan telah dilontarkan oleh para ulama, cuma yang akan kita sebutkan di sini ialah pandangan yang dinyatakan oleh al-Mutharrif bin Abdillah (مطرِّف بن عبد الله ) dari kalangan pembesar ulama Tabi'ien dan Abu al-'Abbas bin Suraij dari kalangan pembesar ulama Syafie, demikian juga Ibn Qutaibah dan selain mereka, menyatakan maknanya ialah :
قدروه بحسب المنازل
Maksudnya : Kirakanlah bulan itu menurut perhitungan tempat letaknya."
Ibn al-'Arabi menaqalkan dari Abu al-'Abbas yang berkata perkataan "Maka perkirakanlah bulan itu" ditujukan kepada orang yang mengetahui ilmu Hisab (pengiraan) anak bulan. Manakala perkataan Nabi saw "Maka sempurnakanlah bilangan" ditujukan kepada masyarakat umum. (sila lihat Fath al-Bari). al-Qaradhawi berkata : "Maka perbezaan al-Khitab (pihak yang dihalakan arahan) kerana berbezanya keadaan adalah suatu yang diterima, ia merupakan asas kepada perubahan fatwa disebabkan perubahan zaman, tempat dan keadaan."
Tambahan pula di zaman sekarang ini, ilmu falak dipelajari di berbagai universiti dan didokong dengan peralatan yang canggih, hingga sudah menjadi ketetapan yang dikenal luas di dunia bahawa kemungkinan salah perhitungan ilmiyah ilmu falak hari ini adalah satu per seratus ribu (1/100 000), maka ia menghasilkan pengetahuan yang amat kuat.
Sebahagian pembesar ulama pada zaman kita sekarang ini juga menerima penetapan anak bulan melalui cara pengiraan atau perhitungan falak yang ilmiah dan qat'ie. Telah menulis dalam perkara ini seorang Muhaddith besar al-'Allamah Ahmad Muhammad Syakir ( أحمد محمد شاكر ) di dalam kitabnya (أوائل الشهور العربية : هل يجوز إثباتها شرعًا بالحساب الفلكي ؟ - Permulaan bulan-bulan Arabiyah : Apakah boleh menetapkannya dengan pengiraan falaki ?)
Antara yang menyeru kepada pendapat yang membolehkan penetapan awal bulan dengan pengiraan falaki ini ialah al-Faqih al-Kabir al-syeikh Mustafa al-Zarqa.
Namun ada sebahagian ulama lain yang tidak menerima cara penetapan awal bulan ini melalui pengiraan falaki. Mereka mengatakan penentuan awal bulan mesti dilakukan dengan melihat sendiri anak bulan tersebut.
Perbezaan ini menjadi sebab, berbezanya hari sambutan hari raya di negara-negara umat Islam hari ini.
wallahu a'lam. Abdul Kadir
http://al-qayyim.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=10177