Thursday, September 25, 2014

Liputan MediaCorp

Berita MediaCorp

Sila klik pada talian di atas.

Buat pertama kalinya, sebuah bengkel pengenalan kepada Haiku dan Tanka dianjurkan di Singapura.
Ia memaparkan usaha "meMelayukan" puisi tradisional Jepun itu yang berpotensi menjadi bahan menarik untuk mendidik pelajar tentang alam dan meteorologi, selain membantu menyemai cinta kepada bahasa.
Antara sebab adalah disiplin dan kajian yang diperlukan untuk menulisnya.
Haiku adalah puisi singkat tradisional Jepun yang mengandungi 3 baris - yang pertama memaparkan lima suku kata, baris kedua - tujuh suku kata dan ketiga - lima suku kata.
Tanka pula : 5,7,5,7,7 dan memaparkan 5 baris ayat.

*****

Monday, September 15, 2014

Lawatan ke DBP Sept. 2014

 

Setiap kali saya balik ke Singapura, saya tidak lepaskan peluang menjengah syarikat penerbit yang mengusahakan novel-novel saya. Saya rasa ini satu-satunya cara untuk kami menjalinkan hubungan baik dalam dunia persuratan.
Selepas lawatan kami ke ITBM pada pagi Khamis 4 sept. 2014, kami teruskan ke DBP pula. Sudah 2 tahun saya kembali tetapi tidak berpeluang berjumpa editor novel saya Pagi Semerah Daun Momiji. Malang lawatan kali ini juga saya gagal berjumpa beliau.
Walau bagaimanapun, saya ingin berkenalan dengan Puan Zaiton Abu Samah dan kami meneruskan pertemuan itu berbincang segala perkara berkaitan Hak Cipta.

....Soalan-soalan seperti apa harus seorang penulis skrip drama lakukan jika dia ingin gunakan novel saya.
...Apa harus saya lakukan jika novel saya digunakan untuk seri drama TV, walaupun saya rasa novel saya amat sukar bagi penerbit drama untuk asimilasikan dalam aspek tempatan.
...Apakah yang penulis perlu lakukan untuk mengembangkan penulisannya tanpa melanggar syarat-syarat dalam Surat Perjanjian Penerbitan.

Kami diberi penjelasan yang cukup teliti oleh seorang pegawai yang pakar dalam Hak Cipta Persuratan. Pengharaan saya kepada Puan Zaiton Abu Samah dan En. Hafizi Ahamd.

*****

Tuesday, September 09, 2014

Urusan buku ITBM, KL


Selepas acara PPN7 [Pertemuan Penyair Nusantara 7] yang berlangsung selama 3 hari berturut-turut selesai, saya berehat 2 hari.
3 Sept 2014 bersama penyair wanita Singapura, Puan Kamaria Buang, kami menaiki bas ke utara, menuju Kuala Lumpur. Urusan saya ke KL ialah mengambil buku-buku saya untuk pelancaran di Perpustakaan Awam, Singapura pada 20 Sept. 2014.
4 Sept. 2014, saya ke ITBM. Perjumpaan ini sudah saya rancangkan. Kami disambut oleh Puan Zalila Isa dan En. Rozlan. Selepas beberapa urusan selesai, Dr. Lim Swee Tin menjelma dan kami berbual pelbagai perkara persuratan.

Dr. Lim serahkan buku kumpulan puisi Bulan Di Antara Lalang kepada saya yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.
"Puan Leyla, minta terjemahankan buku ini ke dalam bahasa Jepun," kata beliau.
"Apabila buku terjemahan puan Sukma Basho Dalam Haiku terbit, esoknya saya beli. Saya perhatikan puisi-puisi saya dalam buku ini banyak persamaannya dalam tema unsur alam, sama seperti haiku-haiku Basho," sambung beliau.
Kami teruskan perbualan berkaitan haiku sebab Dr. Lim dengan semangat bersemarak ingin mendalami haiku setelah mengenali haiku dalam buku Sukma Basho Dalam Haiku [ITBM].


Saya tidak bawa apa-apa buah tangan dari Jepun. Setidak-tidaknya saya rasa kek buatan tempatan juga sudah mencukupi sebagai tetamu dalam pertemuan pertama dengan pegawai ITBM kali ini.
Selepas menjamah kek dan teh yang dihidangkan, pertemuan itu selesai dan saya ke lobi. Di lobi pula kami terserempak dengan Ketua Pengarah ITBM. Pertemuan dengan Ketua Pengarah itu juga pertama kali bagi saya.


Saya minta maaf kepada Ketua Pengarah kerana tidak hadir di Pesta Buku Tokyo masa bulan puasa tahun ini atas kewajipan keluarga. Insya-Allah, pada tahun-tahun akan datang, jika ada peluang, akan saya bersama.


Setelah buku-buku saya siap dibungkus, kami pun memanjangkan langkah ke DBP pula.

*****

Monday, September 01, 2014

PPN7


Saya kembali ke negara tanah tumpah darah kali ini untuk pelancaran buku saya. Ada 3 judul yang saya ingin lancarkan, namum memikirkan anak perempuan saya yang ke-2 sedang menumpang di rumah saya sebab baru melahirkan anak ke-3, saya memutuskan untuk membatalkan kepulangan saya.
Walau bagaimanapun ini tidak mungkin sebab bagi pihak Perpustakaan Awam Singapura yang sudah menjadualkannya untuk acara Majlis Bulan Bahasa, saya terpaksa juga teruskan perjalanan ini.
Saya memilih hari pulang yang tarikhnya berbetulan (atau kebetulan?) jatuh pada acara PPN7 juga. PPN7 atau Pertemuan Penyair Nusantara 7.
Sangat gembira saya mendapat peluang yang tidak saya rancang ini untuk bersama-sama membincangkan sekalian masalah berkaitan perpuisian di kawasan Nusantara ini. Para sastera daripada 5 negara iaitu Selatan Thai, Brunei, Indonesia, Malaysia dan para pemuisi daripada negara tuan rumah, Singapura berkumpul dan memerah otak untuk memajukan sastera di kawasan Nusantara ini.
Dalam perbincang sisi, seorang sasterawan muda bertanya, "bagaimana ya penulis wanita mengatur jadual mereka untuk menulis?"
Saya kata asalkan jangan dijadikan tekanan, ambil santai-santai sahaja.
Kata pemuda itu, dia melihat ramai penulis veteran yang mengambil bini ke 2, mungkin untuk menghilangkan kesunyian sebab katanya menulis itu agak sunyi tugasnya.
Saya setujukan sahaja pendapat penulis muda itu, "Ya, mungkin teramat sepi, makanya penulis tua atau veteran perlu ada hiburan sisi untuk menghilangkan tekanan tugas menulis."
Saya akhirkan, "adohai, kalau begini "trend" penulis lelaki tua, agak kasihan juga kepada isteri-isteri mereka."
Pemuda itu tersenyum dan berkata, "tempat penginapan kami di dalam "red-light", makanya kami melihat ramai juga orang-orang tua yang mengunjungi tempat kami".
Saya menghabiskan perbualan itu, "Ah, lelaki tua kalau kesepian, tak kiralah penulis atau tidak, perlu hiburan sisi, bukan?"
"Betul kak." [tersenyum lagi, dia berlalu].

**cerita di atas tidak berkait dengan orang-orang dalam gambar.

Akhirnya masing-masing sendiri juga.

All movies have a start. 
The beginning.
After some while,
it will sure stop.
That's what it is.
The End.
That's the period.

You are the end.
You are the Period.

*****