Thursday, December 25, 2014

Dikurung salju


Sebelum era kemodernan, ruang tamu di rumah Jepun diletak tungku pemanas ini. Pada musim panas, lantai tungku ini ditutup. Pada musim sejuk, penutup itu dibuka dan dipasangkan api. Periuk makanan atau cerek air digantung pada tungku ini untuk menyediakan makanan sekali gus memanaskan ruang tamu itu.

Petikan haiku halaman 182 dalam Sukma Basho Dalam Haiku (ITBM).
Dikurung salju
sandar diri semula
di tiang ini.


Tiang dalam haiku ini bermaksud tiang di ruang tamu itu (ruang yang sentiasa panas).
Sekarang musim salju, rata-rata tanah Jepun dilanda salju lebat. Rakyat mereka diarah berjaga-jaga dan tidak keluar dari rumah kalau tidak perlu seperti ternyata dalam haiku ini "dikurung salju."
[imej ikhsan kabukibitojp]



*****

Saturday, December 20, 2014

Diskusi Novel Pagi Semerah Daun Momiji




Dr. Zubir Idris turut diundang sebagai pengkritik pada pembentangan.
Para moderator dan para pembentang

Pada tarikh 19.12.2014, novel Pagi Semerah Daun Momiji dibawa ke atas pentas sebagai tajuk Diskusi Novel. Pembentangan Diskusi Novel ini dianjurkan oleh para pelajar daripada Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, pengelolaan Cikgu Che Abdullah Che ya.

Saya diberi kejutan ini pada pagi tarikh pembentangan itu dengan gambar-gambar yang disiarkan ini. Saya berbesar hati apabila novel saya dipilih sebagai Diskusi Novel. Setakat ini (apabila saya mencatat sekarang), saya telah terima salinan daripada dua orang pembentang kertas kerja sesi Diskusi novel ini. Saya ingin berjumpa mereka satu hari kelak untuk mengenal dengan teliti jalan fikiran mereka, jika diberi peluang dan ruang waktu.

Walau bagaimanapun untuk memberi asas dalam penganalisisan kertas kerja, para pembentang perlu membuat rujukan darihal politik, sosial, ekonomi, kemasyarakatan dan budaya dalam ruang waktu novel ini digarapkan. Usaha penganalisisan ini sangat penting untuk memahami keadaan perang yang melanda dunia pada era itu.
Syabas kepada para moderator dan para pembentang, juga Cikgu Che Abdullah yang telah berjaya menganjurkan sesi Diskusi Novel ini.

*****

Sunday, December 07, 2014

Kembali sediakala


 Ini cucu-cucu kepada anak perempuan saya yang kedua. Mereka tinggal sementara bersama saya bermula pada akhir April 2014 (24-4-2014). Ini kerana anak saya tiada pembantu ketika melahirkan anaknya yang ketiga.
Kerja penulisan saya terpaksa saya tinggalkan buat sementara ketika mereka berada bersama saya. Apabila cucu-cucu ini mula masuk ke taman asuhan dari pagi hingga ke petang, dalam waktu ini dapat juga saya menumpukan sedikit masa untuk menulis. Selainnya waktu saya hanya untuk menjaga cucu-cucu ini dan membantu ibunya.


Semalam (6.12.2014) mereka selamat kembali ke pangkuan ayah mereka yang bertugas di Singapura dan kembali sediakala dengan kehidupan mereka sebagai satu keluarga.

Gambar yang akhir ini waktu kami berpisah di lapangan terbang Naha. Saya masih merindukan mereka. Teringat-ingat segala peristiwa selama 7.5 bulan bersama mereka.

*****