Wednesday, November 25, 2015

Anugerah Persuratan 2015

Setelah dilancarkan pada 10 Okt. 2013, novel kedua saya Pagi Semerah Daun Momiji menerima Anugerah Persuratan 2015, Singapura dalam kategori Novel.


Anugerah Persuratan 2015
21 November 2015
Hotel Grand Hyatt


Menurut laporan daripada salah seorang penilai Anugerah Persuratan, semenjak 2005 kategori novel tidak mendapat tempat dalam penilaian.


Berikut adalah senarai novel-novel yang dinilai untuk AP2015:-
1] Antara Cinta dan Kekasih oleh Halim bin Hassan.
2] Cahaya Kasih oleh Peter Augustine Goh.
3] Inche'Jamil Menantu Mithali oleh Norisah bte. A. Bakar.
4] Indahnya Hidayah-Mu oleh Hafiza bte Talib.
5] Meniti Impian oleh Halim Hassan.
6] Pagi Semerah Daun Momiji oleh Leyla Shuri.

Saya akhiri dengan sekalung penghargaan untuk Datin Hajijah Jais (editor), Puan Asiah Daud dan semua staf yang terlibat dalam pembikinan novel saya di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Apalah buku kalau tiada yang membaca. Saya menebarkan sayap terima kasih kepada para pembaca jauh dan dekat yang sudi mendapatkan buku ini dan yang pentingnya yang telah membaca novel ini.

Ilham, kejayaan dan rezeki itu datang dari Ilahi yang Maha Pemberi dengan kekuatan usaha dan doa kepada-Nya.
Alhamdulillah.

*****

Pembinaan Pagi Semerah Daun Momiji


Kerja-kerja membina novel ini pada pertengahan tahun 2009 hingga keseluruhannya ditutup pada akhir tahun 2010. Daripada reka-bentuk jalan cerita hingga ke pertukangan satu ayat demi satu ayat ke dalam halamannya seperti memasang setiap batu bata untuk mendirikan tembok rumah, terus saya mewarnai dengan hiasan cat untuk mencantikkannya.
Pada 12 Jan. 2011, saya menghantarkan menuskripnya kepada sebuah syarikat yang terkenal dengan buku popular dan novel remaja. Manuskrip ditolak oleh syarikat ini pada 31 March 2011 dengan alasan ia tidak menepati ciri-ciri novel popular dan remaja.
Kemudian pada 5 Mei 2011, skrip ini jatuh ke tangan ketua editor Dewan Bahasa dan Pustaka.
8 Julai 2011, Jabatan Perolehan membawa skrip ke meja penilaian.
Novel ini mendapat kelulusan Jabatan Editorial pada 11 Ogos dan diserahkan ke Jabatan Penerbitan pada 22 Ogos 2011.
Pilihan kaver buku jatuh pada hari lahir saya tarikh 14 Jun. 2013.
Akhirnya saya ke DBP untuk melancarkan buku ini bersama staf editorial pada 10 Okt. 2013.
Proses penyerahan menuskrip hingga ke pelancaran novel ini makan selama 2 tahun 5 bulan. Ini tidak termasuk waktu saya berjaga siang dan malam untuk menukang setiap halamannya yang mengambil setahun 6 bulan.
Setelah 10 Okt 2013... (sila lihat status seterusnya).

*****

Tuesday, November 17, 2015

Diskusi Novel TERBELAH BINTANG SUBARU


Pelajar-pelajar jurusan sastera di UKM bersama Cikgu Abdullah Cheh menjadualkan acara Diskusi Novel pada 19 Nov. 2015 jam 10-12 tengah hari.
Terlanjur saya berada di Singapura, insya-Allah, saya juga hadir memeriahkan acara ini.
Pada sesiapa yang ingin dapatkan novel ini, silalah datang sebab wakil dari penerbitnya, ITBM akan membawa stok novel ini untuk dijual.
Sekian.

*****

Thursday, November 05, 2015

Golden Point Award 2015

[click link above to view more photos]



Pada 3 Nov. 2015, saya menghadiri majlis penyampaian hadiah bagi Anugerah Pena Emas 2015.
Cerpen saya bertajuk "Kosong Di Atas Garis" mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini.
Deretan panel penilai untuk bahagian cerpen ialah SN Anwar Ridhwan, En. Raman Daud dan Dr. Sa'edah Buang.
Ini buat julung-julung kalinya saya menerima anugerah sastera. Tempat majlis ini diadakan sangat bersejarah dalam pembangunan Singapura iaitu di rumah parlimen pertama di Singapura. Rumah ini sudah dijadikan pusat seni yang mengguna nama The Arts House. Rumah ini tempat Sir David Marshall, Lee Kwan Yew dan lain-lain para politik menandatangani surat-surat era pra dan pos Merdeka di Singapore.
Dan rumah ini juga menjadi sejarah bagi saya. Berdebar-debar jantung saya dalam waktu majlis sedang berlangsung.
Saya tanya Cik Puan Siti Aisyah yang mendapat tempat ke-tiga dalam bahagian cerpen juga, "Tak nervous kah, Siti?"
Dia balas, "Dua tahun lepas saya telah hadir majlis ini juga. Masa itu saya mendapat saguhati dalam bahagian cerpen. Tak nervous lagi."
Masa makan, kami beramah tamah dengan tetamu kehormat Setiausaha Parliament dalam Kementerian Budaya, Masyarakat dan Belia, En. Baey Yam Keng (dalam gambar).
Saya tidak kenal orangnya dan tidak sempat membaca profil beliau.
Saya fikir dia salah seorang sasterawan tempatan.
Saya berbasa-basi, "So, how many novels have you published?"
Saya perhatikan beliau terkejut sejenak, lalu beliau membalas, "I've written a few articles for my school before but I'm a member of the Parliament now and going into my third term."
Ara maaa...saya minta maaf berkali-kali dan nyatakan bahawa saya tidak tinggal di Singapura (tapi profil dia ada tertulis di kad program, alasan tak munasabah!)
Aduhai!!!


*****