Monday, March 14, 2016

Jii Chan 104 tahun-meninggal


Gambar diambil pada hari ulang tahun Jii chan 14 Jan. 2016. Hari itu umur Jii Chan 104 tahun. Bersama gambar ini ialah cicitnya pada anak sulung saya. Pada waktu ini cicit yang paling baharu ialah cucu saya yang berumur 1 thn 11 bulan.
Sabtu, 12 Mar. 2016, Jii Chan meninggal dunia dalam jam 8 pagi.
Seperti biasa jam 7 pagi itu, Jii Chan diberi sarapan separuh pisang dan segelas susu khas untuk warga tua. Disebabkan pemergiannya secara terkejut, Jii Chan dibawa ke hospital untuk peperiksaan post-mortem.
Jii Chan dilahirkan pada 14 Jan 1912. Jii Chan mengalami 2 perang dunia, mengikuti perubahan ekonomi dunia daripada penggunaan arang hingga ke dunia internet dan wifi.
Dalam era kedudukan kerajaan Jepun, Jii Chan dapat merasai pemerintahan 3 orang Maharaja iaitu Taisho (1912-1926), Showa (1926-1989), dah terakhir ini Heisei (1989-).
Jii Chan mengalami stroke 3 kali. 2 kali yang awal Jii Chan dapat mengatasi penyakitnya dengan rehabilitasi. Walau bagaimanapun serangan yang ke-3 meninggalkan Jii Chan dengan tangan kiri yang tidak berfungsi. Pada mulanya Jii Chan diletakkan dalam bilik yang paling terang tapi bilik ini jauh dari tandas. Apabila kakinnya semakin lemah, kami pindahkan ke bilik yang paling dekat dengan tandas. Jii Chan dibawa ke Pusat Warga tua 3 kali seminggu. Di Pusat ini, Jii Chan dimandikan, diperiksa doktor, makan dan beriadah dgn warga tua lain. Dalam bulan puasa tahun lepas, Jii Chan enggan ke Pusat itu sebab tidak terdaya lagi untuk melakukan pergerakan dan persiapan diri ke sana.
Kami mohon pembantu dari Pusat itu datang sehari 2 kali untuk memberi bantuan pembersihan untuknya. Lama kelamaan, makanan Jii Chan seperti bayi, susu untuk orang tua, lembut, bubur dll.
Jii Chan menghembus nafas terakhir sebab jantungnya sudah lemah.
Sempat saya mencium tangannya, sempat kami bertukar senyuman sebelum Jii Chan pergi.
Terima Kasih Jii Chan, engkaulah bapa kepada suamiku, engkaulah yang membesarkan suamiku, walaupun tidak mencukupi belanja, engkau suruh suamiku menyambung pelajaran hingga ke menara gading.
Terima kasih Jii Chan, sayang. Semoga Allah menyayangimu dan mengampunkan dosa-dosamu di dunia ini, amin.
*****