Berita Harian, Dis. 17, 2010
Berita Harian Dis. 17, 2010Susur galur yang mengalir dalam badan ini bukan Melayu asli. Boleh saja saya mengaku diri ini bukan Melayu. Emak dan bapa saya bertemu di Singapura dalam era penjajahan Inggeris. Seorang dari India dan seorang lagi dari Melaka, mencari rezeki dalam bandar yang serba membangun untuk meneruskan kehidupan.
Emak saya bukan orang sekolah tinggi dan bapa pula tidak fasih berbahasa Melayu. Pertuturan saya dari kecil hanya meniru cara emak saya yang pekat dengan loghat Negeri. Apa diharap kepada bapa saya pula dengan bahasa yang meniru imigran baru pada era itu.
Pada peringkat awal persekolahan, kami diajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama. Kelas kurang sejam dalam 2 kali seminggu. Apa diharap kepada saya, anak separuh Melayu untuk meningkatkan bahasa Melayu.
Selepas menamatkan zaman persekolahan, kerjaya tidak menggalakkan pertuturan Bahasa Melayu.
Mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka Jepun dan selepasnya mengikutnya merantau selama 20 tahun, sejujurnya telah menghilangkan Bahasa Melayu yang daripada asal sudah mengalir lembap dalam diri ini.
Saya tidak sedar bahasa yang saya tuturkan hanya campuran dari berbagai-bagai bahasa. Ini amalan orang-orang di sekeliling saya dan saya hanya meniru sama seperti bapa, imigran dari India, yang meniru juga.
Seorang sahabat menyarankan saya menulis pengalaman hidup di pulau ini dalam blog. Saya mengambil saranan itu dan mula menulis. Pada awalnya catatan saya masih mengikut gaya penulisan pra-Merdeka bersama e-tanda dan segala ejaannya.
Ramai yang membantu untuk memperbaiki kelemahan ini sehingga senaskhah Kamus Dewan juga dihantarkan untuk saya.
Ramai juga yang menghina (mereka orang bijaksana dalam bahasa) kelemahan ini sehingga saya terpaksa berehat dari menulis dan berusaha sendiri untuk mempertingkatkan diri ini.
Berdikit-dikit saya membaca dalam diam tulisan orang-orang bijaksana dalam bahasa. Berdikit-dikit selama 5 tahun, bersendiri.
Dengan bantuan seorang sahabat yang mendorong penulisan novel ini dari awal ia berbenih, saya memanjat gunung itu sampai ke puncak jaya.
Saya bukan mengharapkan nama. Saya hanya ingin membuktikan kepada orang-orang yang pernah menghina saya.
Nah! Saya lulus!
*******