Monday, February 16, 2015

Marionette


Gah, Berita Harian, Singapore menyiarkan cerpen saya yang saya letak tajuk mudah "Marionette" hari ini [16 Feb. 2015]

Tajuknya sengaja saya mudahkan untuk menarik mata pembaca. Lagi pun perkataan "marionette" juga telah di-Melayu-kan (menurut Kamus Dewan), jadi tak perlulah saya jelaskan istilah itu.

Cerpen ini membawa latar belakang bandar besar Shibuya, Tokyo. Walau bagaimanapun saya masukkan unsur tempatan pada penghujung cerita untuk mengimbangkan senario penceritaan.

Penghargaan tinggi saya kepada Sastera, Gah, Berita Harian kerana memberi keyakinan dalam penulisan saya hingga melayakkan karya saya diterbitkan.

*****

Saturday, February 07, 2015

Bunyi cengkerik


[Photo courtsey of rolingwestexblogjp]

Petikan dari buku Sukma Basho dalam Haiku (ITBM), hlm 78
Shizukasa ya, iwa ni shimi iru, semi no koe
Di dalam hening, resap ke dalam batu, bunyi cengkerik
Kigo (kata musim): cengkerik

Haiku ini dicatat dalam buku harian Basho ketika dia mengembara ke negeri utara bersama seorang pelatih muda.
Ketika tiba di tempat ini yang dipenuhi batu-bata, walaupun keadaan hening dan dia tidak terlihat cengkerik tapi jeritan cengkerik kedengaran dari dalam batu-bata itu.
Dalam haiku ini, Basho ingin menonjolkan keadaan yang amat berbeza antara hening dan jeritan cengkerik itu. Walaupun pembaca tidak dapat mendengar namun dalam gambaran haiku ini, pembaca mampu melihat keadaan hening di sekeliling tempat itu yang diganggu oleh jeritan cengkerik.

*****