Tuesday, June 02, 2015

Kecuaian sejarah Melayu


Terbelah Bintang Subaru: halaman 149,

Nobuhito berkalih ke sudut takonoma, ruang sempit empat segi berukuran satu meter dan panjangnya dua meter. Pada tembok takonoma itu, tergantung skrol kakejiku yang bertulis dalam kaligrafi kanji. Skrol ini bukan yang asli. Setelah Shogun pertama, Tokugawa Ieyasu mangkat, Tosho-gu di kawasan Nikko, Tochigi menjadi tempat persemadian terakhir. Di situ skrol asal dipamerkan bersama yang lain kepunyaan peribadi raja itu.
Tokugawa Nobuhito merenung skrol kaligrafi yang menggunakan teknik pencetakan blok kayu bertulis dengan dakwat sumizuri-e hitam. Skrol itu ditulis pada tahun 1604 oleh moyang yang pertama memerintah takhta Tokugawa yang bergelar Tokugawa Ieyasu. Dalam skrol itu tercatat prinsip untuk menjayakan kehidupan.

“Hidup ini bagai berjalan jauh, sepanjang perjalanan itu memikul beban yang berat, tidak perlu tergesa-gesa. Orang yang menganggap masalah dalam kehidupan seperti perkara biasa akan senantiasa merasa kepuasan dalam kehidupan. Kesabaran ialah sumber ketenteraman abadi; anggaplah kemarahan sebagai musuh. Bahaya akan menimpa seseorang yang hanya mengetahui kejayaan tanpa pernah mengalami kegagalan. Baik menyalahkan diri sendiri daripada menyalahkan orang lain. Lebih baik tidak sampai daripada pergi terlalu jauh.”

Skrol yang ditulis pada tahun 1604 masih disimpan di muzium Nikko, Tochigi sekarang.
Raja-raja yang bertahta di Jepun dan ahli keluarga di-Raja sejak awal zaman lagi perlu mempelajari sastera dan persuratan sebagai salah satu yang wajib.
Mereka amat faham akan kepentingan dokumentasi. Ilmu dokumentasi ini diperolehi dari China. Tamadun China telah mendokumenkan sejarah negara mereka sejak abad 11'an.
Mungkin inilah punca pepatah Melayu yang berbunyi: Carilah ilmu sampai ke negeri China.
Alangkah bagusnya jika ada ilmu persuratan dan dokumentasi dalam sejarah Melayu. Jika ada, tentulah hari ini, kita tidak berbalah adakah Hang Tuah itu wujud betul-betul dalam sejarah atau hanya omong-omongan atau cerita rakyat untuk kanak-kanak sahaja.
~~~~~TAMAT~~~~~

1 comment:

  1. Betul puan, saya setuju dgn kenyataan ini. Walaupun zaman semakin moden, jika tidak dibuat catatan, ia akan hilang begitu sahaja. Mungkin orang tak nampak kepentingannya kerana beranggapan sejarah adalah cerita lapuk tapi bila ia diperlukan sebagai fakta yang sahih tiada satu bukti pun yg dapat menyokongnya. Itulah juga antara tugas terkini yg sy terpaksa hadapi, mencari bhn lama yg mcm mustahil utk jumpa tp terpaksa cari sebagai bukti (ini berkenaan pejabat kamilah)

    ReplyDelete