Dalam minggu ini saya sudah selesaikan tempahan tiket untuk penerbangan ke Malaysia dan Singapore. Beberapa perkara pertama kali akan saya alami dalam perjalanan kali ini.
Biasanya saya menggunakan China Airlines dari bandar Naha dan bertukar di Taiwan untuk menaiki China Airlines juga ke sana. Perjalanan kembali juga dengan pesawat yang sama.
Walau bagaimanapun buat pertama kali saya akan terus ke KL dari Naha dan menggunakan MAS. Tak pernah saya guna MAS. Untuk pertukaran penerbangan saya ke bandara Kansai dan ini pertama kali saya singgah bandara Kansai.
Saya akan menghadiri persidangan PPA15 buat 3 hari dan belum lagi fikirkan hotel buat penginapan waktu itu.
Kali ini banyak jadual yang berkaitan sastera dan buku. Usai PPA15, saya ke Singapore untuk SAKAT dan selepasnya MASTERA.
Jadual ini berturut-turut hari.
Sebaik sahaja acara-acara ini selesai, Singapura akan meraikan pembukaan Bulan Bahasa Singapura 2015 pula. Saya dimaklumkan aktiviti Bulan Bahasa tahun ini penuh dan meriah.
Salah satu acara untuk Bulan Bahasa 2015 ialah pelancaran novel saya yang terbaharu TERBELAH BINTANG SUBARU, ITBM (sila lihat skrin kanan). Pelancaran akan dianjurkan oleh Perpustakaan Kebangsaan Singapura bertempat di Perpustakaan Besar di Singapore.
Tempahan tiket saya hanya untuk 2 bulan tapi saya pendekkan lagi. Bermakna saya di sana untuk 6 minggu sahaja.
Saya tidak sempat menyambut pembukaan Singapore Writer's Festival 2015 dan majlis Anugerah Persuratan 2015. Walau bagaimanapun, dengan izin Allah, saya harap dapat hadir untuk majlis gemilang ini.
Untuk pembaca blog saya, dengan hormatnya saya ucapkan Selamat meneruskan ibadah puasa. Semoga segala amalan kita akan mendapat ganjaran yang melimpah dari Illahi. Amin.
Sekian.
*****