Buku-buku ini saya beli dengan harga $1/naskah untuk buku Melayu dan $2/naskah untuk buku Inggeris dan kanak-kanak.
Perpustakaan Awam Singapura melelongkan buku-buku ini setahun sekali. Saya bernasib baik kali ini saya sendiri berada di Singapura apabila penjualan ini berlangsung. Masa pembukaan jam 9 pagi tapi tamaknya saya, jam 9.15 pagi saya sudah berada di pintu tempat penjualan di Expo Hall. Tapi agak terkejut apabila melihat sudah ramai yang sibuk memilih-memilih buku.
Saya buat senarai keutamaan. Pertama dalam senarai ialah buku sasterawan negara atau penulis yang telah menerima anugerah persuratan. Banyak juga saya dapat tangkap buku-buku yang dalam senarai keutamaan.
Jam 12 tengah hari, saya terasa letih dan lapar. Keadaan ini memaksa saya berhenti dan saya mengheret balik beg roda yang sudah saya sediakan.
Memandangkan had berat hanya 23 kilo, saya terpaksa tinggalkan banyak buku-buku ini di rumah anak saya untuk dibawa balik pada lain masa.
Saya rasa sangat kaya diberi rezeki begini. Kekayaan bukan sahaja dalam bentuk wang. Kekayaan pada saya ialah apabila memetik lada-lada merah dari pohonnya di rumah saya, apabila disambut oleh kawan yang ikhlas dalam perjalanan yang saya tidak pernah lakukan, apabila dapat memeluk cucu-cucu saya. Itu kekayaan bagi saya.
*****
No comments:
Post a Comment