Semalam 13 Ogos 2017, cerpen ini disiarkan oleh Berita Harian Singapura.
Setahun saya tidak menulis cerpen. Akhir sekali (kalau tak salah) Ogos 2016.
Dalam rangka setahun ini kenapa saya tidak keluarkan cerpen?
Saya puji sangat penulis yang mampu menulis beberapa catatan dalam satu masa sekaligus. Maksud saya sedang menulis novel tapi dapat pula pusing sudut lain dan menulis cerpen. Saya tidak dapat buat begini. Satu projek untuk satu masa.
Dalam setahun saya tidak keluarkan cerpen sebab saya tumpukan pada penulisan terjemahan novel PAGI SEMERAH DAUN MOMIJI dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Usai dihantar ke penerbitnya, saya mula pula novel baharu. Kali ini saya cuba novel Inggeris pula. Saya belum boleh maklum penerbitnya.
Saya sengaja kaburkan imej di atas sebab saya sedang kumpulkan semua cerpen.
Oh, saya ingin kongsi satu perkembangan negatif sebagai penulis. Apabila cerpen pertama tersiar di akhbar Berita Harian Singapura, ramai yang menulis tahniah atau LIKE. Boleh dikatakan berderet-deret dan sampai keesokan hari pun masih ada yang memberi tahniah.
Kalau tak salah semalam cerpen saya yg ke 7 atau 8 (agak-agak saja) disiarkan, yang pelik tiada seorang pun penulis yang saya kenal, yang rapat dengan saya di Singapura maupun di Malaysia sudi memberi komen. Saya ambil ini sebagai kenaikkan saya ke taraf yang sudah glemer sebagai penulis.
Kalau artis atau penghibur, glemer mereka meriah serba serbi tapi lain rupanya sebagai penulis. Semakin prolifik seorang penulis, semakin dia disenyapkan. Tiada LIKE atau tahniah berderet-deret lagi.
Saya rasa masa mula2 karya tersiar, ramai yang mengucap tahniah sebab ingin memberi dorongan. Tapi kenapa dorongan itu terhenti apabila penulis itu sudah menjadi terkenal dengan tambahan karyanya?
Pelik bukan?
Saya perlu perhatikan perkembangan ini dan mengambil contoh dari penulis lain.
Semakin mereka terkenal, semakin bertambah karya mereka, tiada perlu memberi dorongan lagi atau mengucapkan tahniah lagi atau memberi LIKE berderet2.
Ada bagusnya kita belajar dari pengalaman.
Apa-apa pun penghargaan saya kepada para editor, penyunting sastera di meja Berita Harian Singapura kerana memberi saya peluang dan ruang untuk berkembang sendiri.
Terima kasih.
*****