Saya melebihkan penjagaan kesihatan pada bulan Ramadan (ejaan mengikut Kamus Dewan). Sebenarnya sebulan sebelum tiba bulan Ramadan, persiapan menyediakan jasmani telah bermula.
Rutinnya saya lakukan setiap tahun.
Bermula dengan pemeriksaan gigi dan gusi. Saya tidak mahu sedang-sedang puasa siang hari, merasa sakit gigi atau gusi berdarah, walaupun alhamdulillah tidak pernah mengalami kedua-dua penyakit ini. Pun begitu, usaha penjagaan gigi dan gusi tetap saya lakukan.
Untuk senang berdiri dan duduk bersimpuh berulang kali melakukan solat di bulan Ramadan, lutut dan sendi bahagian kaki harus dikuatkan. Untuk ini saya membawa diri ke Dewan Jimnastik. Di sana pelbagai alat disediakan untuk melatih badan. Saya lebihkan hari berlatih pada hari-hari mendekati bulan puasa. Saya gunakan alat berjalan dan berlari juga berbasikal dalam menguatkan sendi-sendi kaki. Untuk menguatkan pinggang yang lemah sebab masa saya lebih banyak duduk menulis, saya naik alat kekuda. Alat ini menambah kebaikan pada bahagian punggung dan belakang.
Untuk mengimbangkan suhu badan dengan suhu panas/sejuk di luar, saya berendam dalam kolam air panas. Berendam dalam air panas juga membaikan masalah buasir [Kamus Dewan: penyakit yg disebabkan urat darah pd usus membengkak, puru sembilik, hemoroid]. Hidung yang selalu bersin saya bersihkan dengan asap sauna. Setiap minggu saya jalankan sesi berendam dan sauna dengan tujuan kesihatan ini.
Tiba bulan Ramadan pula, saya praktis tidur awal. Selepas berbuka, bersolat dan menantikan solat isyak yang awal di Jepun. Usai saja solat Isyak, saya tidur. Makanya tidur awal, mata ini celik awal juga untuk persiapan bersahur dan lain-lain. Amat menyenangkan mengatur segalanya jika cukup masa tidur.
Makanan tambahan setiap hari, khas pada bulan Ramadan ialah air tairu atau yoghurt. Air tairu ini untuk melawas usus dan kebersihan sepanjang saluran usus makanan.
Hari ini Nuzul Al-Quran, berbetulan jatuh pada tarikh masihi yang sama [6 Ogos] ketika junjungan Nabi kita terdengar perkataan "Iqra" dalam Gua Hira.
Sudah dua minggu, umat islam menjalani ibadah Ramadan, saya harap pembaca (saya kenal ramai di sini), akan terus menjaga kesihatan agar dapat memenuhi tugas fardhu puasa tanpa kesulitan.
==========
Monday, August 06, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment