Wednesday, February 20, 2013
Koleksi Puisi BSVN
Buku "Koleksi Puisi" ini menghimpunkan 55 buah puisi yang disumbang oleh 55 orang penggiat seni untuk mempuisikan 55 koleksi tetap BSVN (Balai Seni Visual Negara). Angka 55 buah puisi dipilih adalah berdasarkan kepada sambutan ulang tahun Kemerdekaan yang ke-55 pada tahun 2012.
Saya petik dari kata Pengenalan dalam buku ini, "Seni puisi adalah mediam untuk menceritakan sesuatu, begitu juga halnya dengan seni lukis yakni menyampaikan cerita tetapi dalam bentuk tanpa-kata. Seni lukisan/visual lebih kepada luahan gerak hati (intuitif), manakala seni penulisan puisi pula bergantung kepada gerak kata (komunikatif). Gelombang yang disampaikan pengkarya (pelukis juga penulis) terpecah kepada dua, yakni "APA YANG DIKATA" dan "APA YANG DIMAKSUD."
Saya kagum dengan gabungan dua jambatan, antara dunia seni visual dengan susastera dalam buku koleksi ini yang memberi peluang kepada pelukis untuk "melukis" puisi, manakala penulis diminta untuk "menulis" lukisan.
Buku puisi ini mengumpulkan sejumlah puisi sebagai apresiasi terhadap karya koleksi BSVN yang terdiri daripada barisan penulis mapan dan juga baru, penyair yang matang dan masih tunas muda, para karyawan ini menterjemahkan 55 hasil karya koleksi BSVN ke dalam keindahan ritma irama puisi mengikut ilham dan naluri sendiri. Himpunan puisi daripada penulis yang rencam kerjaya, contohnya hasil karya daripada pengkritik seni, wartawan, cerpenis, novelis, penulis lirik, penyanyi, penggiat teater, pelakon, pengarah filem dan lain-lain dirasakan dapat memberi "keunikan" dan "kesegaran" yang tersendiri dalam buku ini.
Puisi saya dalam teknik tanka pada lukisan yang bertajuk "Di Lain Chakrawala" oleh I Necrasov menceritakan Bintang Tanabata. Puisi ini sebuah cerita rakyat Jepun yang meriwayatkan dua bintang yang berkasih-kasihan. Bintang pria menantikan puteri bintang di kayangan. Kedua-dua bintang ini hanya dapat bertemu setahun sekali dan harinya jatuh pada 7 Julai pada setiap tahun. Namun begitu pada malam yang dijanjikan itu hujan mengabuskan cakarawala. Kedua-dua bintang kekasih ini terpaksa akur dengan takdir pada malam yang dinanti-nantikan itu.
Salah satu puisi yang terkesan bagi saya karya Abdullah Jones (tidak kenal) "Cita-cita bodoh seekor lembu."
Alangkah baiknya jika
aku dilahirkan sebagai
seekor katak
bebas melompat
bebas memekak
nampak kuat
nampa hebat
biar hadirku jadi impak
walau baktiku cuma kerak.
"Antara dua hidangan" karya Rahimidin Zahari (kenal) berunsur satira kehidupan antara dua darjat.
Yang paling berdesing dalam sindirannya ialah karya Saharil Hasrin Sanin (tidak kenal) yang bertajuk Robot. Puisi ini pendek, padat, tidak berbunga-bunga tapi berjaya menyampaikan maksud yang ingin diketengahkan.
i ni robot
tidak reti
berpuisi
lidah abdi
masam besi
takal tali
i ni robot
you ketuk jari
papan kekunci
campur bahagi
tolak kali
semua jadi
very easy
ini sains
matematik
i ni robot
automatik
turut tutur
saring sifri
input output
i mahir
i ni robot
i ni benda
i anut
pegaturcara
you pula
alasan apa
ikut kata
buang bahasa
Tidak lupa saya menyentuh karya Darma Mohammad yang bertajuk Sungai Pergau yang menceritakan "tasbih air (nya) membangun darah dan daging leluhur" orang Kelantan.
Saya tak tahu samada buku ini dijual dan kalau dijual, tempat untuk mendapatkannya.
Maaf saya di Okinawa :-)
*****
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment