Entah kenapa apabila masuk bulan Ramadan, tekak saya inginkan lauk-lauk Melayu. Biasalah lauk-lauk Melayu seperti asam pedas, sambal tumis, gulai lemak. Setelah merasa setiap satu, saya rasa sudah cukup dan masak lauk bukan Melayu seperti yang biasa dalam rumah kami. Lauk bukan Melayu tidak semestinya lauk Jepun sahaja.
Sebenarnya Ramadan ialah bulan yang memberi saya banyak peluang menulis. Masakan atau lauk-lauk istimewa yang saya tidak buat hari-hari, tidak masuk dalam jadual. Kami makan amat sederhana.
Saya mengambil kesempatan hari Ramadan pertama ini untuk mengucapkan kepada pembaca blog ini, yang dalam feeder, yang dalam favourite, google friend dll selamat menjalani ibadah Ramadan, semoga ibadah kita mendapat ganjaran Allah.
*****
Monday, June 30, 2014
Tuesday, June 24, 2014
ROH CECAIR ITU [DALAM TANKA]
Sebenarnya tajuk tanka yang tersiar dalam bahagian GAH, Berita Harian, Singapura ialah Roh Cecair Itu [Dalam Tanka]. Terima kasih kepada Berita Harian yang telah memilih tanka ini untuk disiarkan, walaupun tajuknya terputus. Agak terkejut juga apabila terbaca hanya [Dalam Tanka] sebagai tajuk puisi ini.
Ilham menulis tanka ini datang mencurah ketika cucu saya yang ke-empat lena atas riba. Terdetik dalam fikiran bahawa ada darah Melayu dan India mengalir dalam badan susur galur cucu ini.
Cucu itu atau zuriat kita adalah harta pusaka yang kami tinggalkan. Doa mereka, kelanjutan darah mereka menjadi sejarah leluhur kepada sesuatu keluarga. Keluarga itu bercabang-cabang dan seperti kita yang berasal dari sesebuah keluarga, makanya cabang susur galur kita juga bercabang menjadi pokok yang mencatat sejarah masa hadapan.
Saya membentukkan puisi ini dalam format tanka 3 rangkap. Penutupnya saya pilih puisi bebas untuk memberi kekuatan perkataan ILAHI pada akhir kata rangkapnya.
DALAM TANKA
[1]
Benih menyatu
menjalar salur akar
titik cecair
Kelanjutan zuriat
membina susur galur.
[2]
Bumi berbaja
setitik cecairnya
serbat mentari
Panjat doa tertinggi
moga jaya berjasa.
[3]
Dari abjad A ke Z
teruskan Alif ke Ya
ufuk hidupan
Uban mengumpul ilmu
bongkok dimakan waktu.
Roh yang bermula
dari setitik cecair
berzaman-zaman
memutar bumi
Ilahi.
Untuk mengenal syarat-syarat menulis puisi berbentuk tanka, sila tulis mesej di sini Percikan Pelangi
Jika berhasrat mendapatkan buku ini, sila tulis mesej di kotak komen pada catatan ini.
*****
Saturday, June 14, 2014
14.6.14
[kek macya (serbuk teh hijau) untuk hari ini]
Cantik tarikh hari ini. Yang lebih cantik lagi ialah nombor tarikh yang cantik ini menjadi hari ulang tahun kelahiran saya. Saya dilahirkan pada tahun yang sama Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan.
Ketika itu Malaysia dan Singapura masih satu negara. Ketika itu laluan ke kedua-dua negara tidak perlukan paspot. Ketika itu saya tinggal di Melaka. Ketika itu saya terpisah dari ibu dan bapa yang bertugas di Singapura. Ketika itu arwah nenek yang menjaga kami, seorang janda yang miskin, memberi kami makan nasi dengan jeruk binjai sahaja. Ah, jauh betul perjalanan hidup saya.
Sekarang saya sudah menjadi nenek pula. Tahun ini saya dianugerahkan Ilahi (alhamdulillah) dengan cucu ke-empat.
Tiba-tiba tahun ini baru saya perasan saya digelar penulis. Ah, jauh betul perjalan hidup saya.
Selamat untuk semua, semoga bahagia dan sihat seterusnya.
*****
Sunday, June 08, 2014
Kekuatan persaingan
[image courtesy of prtimes.jp]
Setiap pagi saya nantikan siaran drama ini. Semangat saya berkobar-kobar setiap kali wataknya dicabar dari menulis. Wataknya seorang orang gadis kampung, bernama Hanako. Hanako menulis tetapi merasa dirinya tidak setanding dengan penulis lain yang tinggal di bandar. Beberapa kali semangat untuk memperjuangkan bakat penulisannya gugar disebabkan penulis lain menghalang Hanako bersaing dalam dunia persuratan. Walau bagaimanapun, setiap kali dirinya digugar, Hanako bina semula semangat menulis dan setiap kali tulisannya diterbitkan, dia mendapat pujian daripada para pembaca.
Sebenarnya watak Hanako ini ialah seorang penulis di Jepun yang juga menterjemahkan buku-buku "Ann of Green Gable".
Saya menumpang keterujaan Hanako. Pada 6 Jun 2014, saya telah mengambil keputusan dan memulakan terjemahan ke bahasa Inggeris novel Pagi Semerah Daun Momiji.
Novel ini tebal (lebih dari 600 hlm), proses terjemahannya akan mengambil masa agak lama. Insya-Allah, saya sematkan kekuatan semangat Hanako untuk meneruskan tugas ini.
*****
Subscribe to:
Posts (Atom)