Tuesday, June 24, 2014

ROH CECAIR ITU [DALAM TANKA]


Sebenarnya tajuk tanka yang tersiar dalam bahagian GAH, Berita Harian, Singapura ialah Roh Cecair Itu [Dalam Tanka]. Terima kasih kepada Berita Harian yang telah memilih tanka ini untuk disiarkan, walaupun tajuknya terputus. Agak terkejut juga apabila terbaca hanya [Dalam Tanka] sebagai tajuk puisi ini.

Ilham menulis tanka ini datang mencurah ketika cucu saya yang ke-empat lena atas riba. Terdetik dalam fikiran bahawa ada darah Melayu dan India mengalir dalam badan susur galur cucu ini.
Cucu itu atau zuriat kita adalah harta pusaka yang kami tinggalkan. Doa mereka, kelanjutan darah mereka menjadi sejarah leluhur kepada sesuatu keluarga. Keluarga itu bercabang-cabang dan seperti kita yang berasal dari sesebuah keluarga, makanya cabang susur galur kita juga bercabang menjadi pokok yang mencatat sejarah masa hadapan.

Saya membentukkan puisi ini dalam format tanka 3 rangkap. Penutupnya saya pilih puisi bebas untuk memberi kekuatan perkataan ILAHI pada akhir kata rangkapnya.

DALAM TANKA

[1]
Benih menyatu
menjalar salur akar
titik cecair
Kelanjutan zuriat
membina susur galur.

[2]
Bumi berbaja
setitik cecairnya
serbat mentari
Panjat doa tertinggi
moga jaya berjasa.

[3]
Dari abjad A ke Z
teruskan Alif ke Ya
ufuk hidupan
Uban mengumpul ilmu
bongkok dimakan waktu.

Roh yang bermula
dari setitik cecair
berzaman-zaman
memutar bumi
Ilahi.

Untuk mengenal syarat-syarat menulis puisi berbentuk tanka, sila tulis mesej di sini Percikan Pelangi
Jika berhasrat mendapatkan buku ini, sila tulis mesej di kotak komen pada catatan ini.

*****

No comments:

Post a Comment