Saturday, April 28, 2018

Internet dan ikan terbang


Zaman belum ada internet, buku sangat perlu untuk segala maklumat, penerangan dan ilmu. Bandingkan sekarang, dengan kemudahan internet semua masalah untuk mendapatkan maklumat boleh diselesaikan di hujung jari sahaja.
Ini buku-buku yang saya simpan sejak zaman belum ada internet dari tahun 70-an. Buku-buku perubatan, ramuan herba dan kesihatan. Sekarang buku-buku ini tidak perlu lagi. Haruskan saya simpan atau buang?
Masalahnya rumah orang Jepun bertemakan minimalis. Minimalis bermakna konsep "lagi sikit, lagi elok", konsep buang segala yang tidak perlu, konsep tiada barang simpanan. Barang simpanan memerlukan ruang, dan ruang adalah sesuatu yang bernilai. Rumah sempit, tiada ruang, bermakna tidak nilai pada rumah itu.
Saya perlu ajar diri menjadi seorang minimalis. Buang segala yang tidak perlu, jangan simpan.




*Imej dari Google*

Minggu ini selama 10 hari, di Jepun orang meraikan cuti-cuti Mingguan Emas atau Golden Week. Dalam masa yang sama juga mereka menyambut Hari Kanak-Kanak. Pada Hari Kanak-Kanak ini, mereka menaikkan tiang. Pada tiang ini mereka gantung 3 bentuk bendera ikan, besar, kecil dan sedang. Apabila ditiup angin, bendera2 ikan ini seperti menongkah arus, berenang ke hilir. Kononnya didoakan anak-anak mereka mendapat kekuatan ikan-ikan ini memenangi masalah kehidupan seperti ikan-ikan ini berenang melanggar arus untuk ke hilir (bukan hulu). Mereka gunakan bendera ikan salmon sebab ikan salmon berenang ke hilir untuk bertelur, mungkin kawasan hilir lebih selamat. Janganlah tanya kenapa lagi sebab itukan Tuhan sudah settingkan dalam kepala ikan-ikan itu.
Di Okinawa, tiada ikan-ikan salmon, jadi orang Okinawa terbangkan bendera ikan tuna.
Saya terfikir, kalau orang Melayu ingin terbangkan bendera ikan, elok juga ambil ikan patin. Ikan patin atau ikan keli. Ikan-ikan ini lebih kena pada budaya orang Melayu.
Itu saja.

*****

Saturday, April 14, 2018

Kait


Hari ini buku kait ini datang dari Bristol, Gloucester, England. Tempah online dari Amazon. Harga asalnya GBP20 tapi dijual murah kurang GBP4. Sudah lama tertinggal kegemaran ini. 30 tahun dulu pernah kait baju kardigan dan sweater. Rasanya kalau tidak balik semula mengait, mungkin akan terlupa cara-cara memegang kayu pengait. Lagi pun mengait sangat mendamaikan hati saya. Waktu celah-celah tulisan yang memerah fikiran, mengait sangat melegakan kepala. Itulah saya mula mengait semula.


Ini pohon terung pipit. Pohon ini tubuh liar di sisi jalan besar. Ia sedang berbunga. Saya kata apabila sudah berbuah nanti, akan datang petik buah-buahnya. Tapi diberitahu hanya burung-burung saja makan buah terung pipit ini. Tidaklah, buah terung ini boleh buat ulam makan dengan nasi, saya pula nyatakan. Orang itu ketawa besar seperti saya berkata perkara pelik.
Saya teringat seorang kawan di Singapore mengadu yang pembantu di rumahnya kata kangkung hanya digunakan untuk makanan babi di kampungnya. Orang Singapura makan kangkung tapi untuk orang dia, sayur itu diberi kepada babi.
Adakah perbezaan ini menunjukkan kelainan taraf hidup pada kedua-dua bangsa ini?
Saya tidak pasti.


*****

Thursday, April 12, 2018

Penjualan novel

Hari ini saya terima surat pemberitahu darihal pembayaran royalti daripada penerbit novel saya. Novel itu terbitnya 7 tahun lalu. Pada saya pengukur sebuah novel itu yang masih menunjukkan ia diminati pembaca adalah selepas 10 tahun. Jika sesudah 10 tahun, ia masih dicari pembaca bermakna novel itu berjaya menakah ruang sastera yang banyak penghalangnya waktu ini.

Saya ingin menceritakan sebuat anekdot yang terjadi hari ini.
Selepas sauna di kolam panas hari ini, di depan cermin besar, seorang perempuan Jepun, saya rasa dalam lingkungan 75 tahun bercerita tentang kepayahan kehidupannya. Sudahlah payah, dia terpaksa menjaga cucu-cucunya yang dalam peringkat sekolah rendah. Katanya pinggang sakit, kaki letih apabila banyak bergerak. Saya tanya adakah dia berkerja. Jawabnya dia berkerja sebagai heruppa (helper). Helper adalah pembantu (kerja) rumah.
Sakit2 begini seharusnya kamu yang perlu heruppa, kata saya.
Dia minta saya teka umurnya. Terus terang tanpa berfikir lagi, saya kata 75.
Alamak, kamu teka tepat. Tak tahu nak suka atau tidak, tak tahu memuji atau tidak selepas mendengar jawapannya itu.
Patutnya kamu teka 65.
Adei, sebenarnya saya lihat dia dalam 80 tahun tapi bagi muka beri 75. Itupun markah kasihan.
Marah pula dia.
Ada orang kata beruk kah, monyet kah, itu tekaan kita. Kita berhak ke atas tekaan kita.
Itu saja anedot kali ini.

*****