Thursday, March 06, 2008

Mingguan Wasilah-Darma Mohammad

Ucapan penghargaan kepada sdr Darma Mohammad yang mempromosikan "Book Review" ini di Mingguan Wasilah.

"HAIKU" yang menyegarkan
MINGGUAN WASILAH / 2-8 Mac 2008 / Sastera / oleh DARMA MOHAMMAD


Peminat sastera Melayu sekian lama tertunggu-tunggu penerbitan antologi Haiku sepenuhnya yang ditulis oleh penulis Melayu di dalam bahasa Melayu. Sebelum ini pembaca pernah membaca haiku dalam bentuk antologi seperti buku "Sepanjang Jalan" kumpulan haiku oleh penulis Brunei Mas Malinja.

Haiku berakar dari sejarah puisi Jepun yang lama. Dengan bentuk yang khusus 3 baris dengan sukukata 5-7-5 itu, membuatkan haiku ini sangat unik. Ini bererti baris 1 mempunyai 5 sukukata, baris 2 mempunyai 7 sukukata dan baris 3 mempunyai 5 sukukata. Menulisnya memerlukan kemahiran yang tersendiri dengan menggunakan imej-imej alam yang menarik.

Buku yang dimaksudkan di sini ialah "Antologi Haiku 2006" yang diterbitkan oleh Abdullah Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai TabirAlam pada tahun 2007. TabirAlam sendiri menulis haiku di dalam buku ini.


Antologi ini disusun oleh Lelahiro (Hajah Halela bt Haji Abdul Razak, yang bermastautin di Okinawa, Jepun) yang turut menyumbangkan haiku. Seorang lagi penulis haiku yang memberi sumbangan ialah Dipinggiran (nama bagi Rusmimi Musa) yang menetap di Putrajaya.

Membaca haiku menimbulkan semacam keindahan melalui bahasanya yang padat, jumlah kata yang terkawal dan cerita atau persoalan kehidupan sehari-hari. Haiku pastinya banyak meneroka pengalaman dan perasaan penulisnya yang berbagai ragam. Ada semacam sihir yang menyimpulkan idea haiku di dalam baris akhirnya.

Lihat bagai mana Lelahiro menulis:

"pulau bergegar / mata taufan menghirup / tenaga alam".

Atau Dipinggiran menulis:
"di persimpangan / gelap mencari jalan / sengat si jengking".

Begini pula pula tulis TabirAlam:
"hujan tengkujuh / gunung yang kian lembut / tidak berjumpa".

Ada rakaman peristiwa yang terkesan di hati penulis-penulisnya. Lelahiro agak terkesan dengan suasana yang dialaminya di pulau Okinawa yang selalu terdedah dengan ribut taufan.
Manakala Dipinggiran berdepan dengan dilema kehidupan yang cukup mencengkam sehingga terpaksa mengalami keperitan hidup.
TabirAlam pula musim tengkujuh mendatangkan gejala lain yang mengharukan.

Haiku menuntut ketajaman akal pembaca. Melalui tiga baris yang padat itulah haiku menyampaikan pengalaman atau perasaan penulisnya. Biasanya unsur alam menjadi unsur yang dominan di dalam penulisan haiku.

Suka duka kehidupan dapat diterapkan di dalam baris-baris haiku.

Peristiwa berkaitan dengan agama cukup digemari oleh tiga penulis di dalam antologi ini.
Di sini dikemukakan tiga contoh daripada tiga penulis haiku yang terdapat di dalam antologi ini.

Tulis Lelahiro: "di masjid usang / cengkerik pun getar / solat sendiri".

Dipinggiran menulis:
"gelap meraba / denyut zikir dan wirid / semut meniti".

Manakala TabirAlam mengungkapkan,
"Qiamullai / khalwat mencari waktu / tujuh anggota".

Terdapat lagi untaian haiku yang berunsur agama di dalam antologi ini. Peristiwa yang dialami atau direnung oleh penulis diolah dengan bahasa yang indah. Pembaca akan terpikat kerana kepadatannya.
Tidak ada masa untuk penulis haiku untuk bertele-tele dengan penceritaannya, atau memanjang-memanjangkan kata kerana haiku amat terikat dengan skema sukukata yang ketat.

Bagaimana pun mengikut Hajah Halela, "Terdapat lebih kelonggaran dalam persembahan haiku moden dari segi kebebasan pengiraan sukukatanya. Ini bermakna terlebih atau terkurang satu atau dua sukukata tidak menjadi kesalahan dalam persembahan haiku moden".

Untaian haiku di dalam antologi ini adalah hasil karya sepanjang tahun 2005 dan 2006 yang tersiar melalui laman web Komuniti Haiku di http://www.esastera.com/.

Dimaklumkan bahawa penerbitan antologi ini adalah ilham daripada Lelahiro yang merupakan ahli Persatuan Haiku Ishimine, Okinawa, Jepun tempat beliau menetap sekarang ini.
Malah Halela merupakan pengarang haiku dalam tiga bahasa iaitu bahasa Jepun, Inggeris dan pastilah bahasa Melayu.
Di Jepun, Halela merupakan pengarang haiku (dalam bahasa Jepun) yang disegani. Tidak hairanlah ramai penulis haiku (di Malaysia) yang menjadikan beliau sebagai guru haiku.

Pengucapan haiku di dalam antologi kaya dengan imej alam (malah ini semacam kemestian dalam menulis haiku), permainan bunyi dan metafora yang menyegarkan.

Haiku memerlukan metafora yang mampu mengindahkan bahasa. Idea, persoalan atau pemikiran di dalam haiku bertolak daripada kehidupan zahir dan batin. Penulis-penulis haiku di dalam antologi ini mempunyai daya persepsi yang tajam dan penguasaan bahasa yang kuat.

Adalah dicadangkan penggemar puisi yang belum terdedah dengan haiku, membaca antologi ini dengan serius. Sejumlah 150 buah haiku di dalam antologi mampu menyentuh perasaan pembaca yang berjiwa halus. Setiap halaman dihiasi dengan gambar atau pun dengan lakaran yang berseni. Semua itu memikat hati.

Haiku patut dirakyatkan juga di dalam masyarakat kita melalui penulisan dan pembacaan.

Bak kata Hajah Halela, "Haiku wa jinsei atau Haiku itu kehidupan."

Syabas kepada lelahiro, Dipinggiran dan TabirAlam yang berjaya menghasilkan untaian haiku yang menawan hati.

4 comments:

  1. salam lagi klela
    saya kemari sebab lagu dibawah itu, tetiba dah xpired lak tak bole dengo.. uwaaaa :'(

    ReplyDelete
  2. salam nina,
    k lela dah ganti dengan video lagi, harap ini tak expired.

    ReplyDelete
  3. alamak...type lagi=lain
    expired=expire.

    ReplyDelete
  4. memang syabas Kak Lela.

    ReplyDelete