Friday, October 10, 2008

Persamaan Pantun dan Haiku



Sudah hampir setahun Sdr Darma Mohammad berkecimpung dalam penulisan haiku dengan prolifik. Haiku-haiku karangan beliau masih dalam proses pengumpulan.
Catatan analisis ini ialah hasil dari kajian beliau menuju ke jalan kemantapan dunia haiku.
***********
Pantun klasik Melayu yang sentiasa segar (evergreen) ialah :

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

[Pujangga tanpa nama]

[1]
Pada pandangan umum sesebuah pantun mempunyai dua unsur penting ialaitu Pembanyang dan Maksud.
Dua baris pertama (blok A) disebut pembayang, manakala dua baris akhir (blok B) adalah maksud.
Pantun itu mengandungi 4 baris (bagi pantun 4 kerat) dan setiap barisnya terdiri daripada 8 - 12 sukukata.
Bunyi hujungnya berbentuk a-b-a-b.

[2]
Apabila mendalami pantun klasik yang diakui bermutu tinggi; dua baris (Blok A) dengan dua baris (Blok B)
mempunyai kaitan naratif. Pembaca jarang memerhatikan hal ini, kerana pada pandangan umum,
dua baris pertama (Blok A) itu semata-mata pembayang dan tidak bermakna apa-apa.
Begitu juga dengan baris 1 dan baris 2 (Blok A) itu sebenarnya ada kaitan atau urutan naratif, bukan semata-mata
sekadar ada sahaja.
Dengan itu dalam sesebuah pantun klasik yang bermutu tinggi setiap baris itu ada kaitan semuanya.
B1, B2,B3 dan B4 mempunyai naratif; iaitu ada kesatuan cerita dan maksud.

[3]
Perhatikan pantun klasik di atas :

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;

Naratifnya :
Pada musim menuai, masyarakat desa sama-sama menuai padi di sawah. Padi huma (ketika itu), perdunya tinggi.
Bila mereka mengetam, keadaan buah/tangkai padi itu berada di aras dada atau bawah sedikit. Mereka menuai padi
yang sudah masak (ada bahagian yang belum masak), nanti kalau tidak dituai,pokok padi itu akan (rebah) atau
tumbang ke bumi,dan ini menyukarkan mereka menuai nanti.
Di antara mereka yang menuai itu terdapat seorang teruna dan seorang dara yang sedang dalam percintaan.

Intai kami kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Sang dara atau sang teruna (salah seorangnya) meminta temannya mengintai / melihat / menatap wajahnya
di balik pohon-pohon padi itu untuk melepas rindu masing-masing. Mungkin ini dilakukan secara rahsia,
ditakuti perbuatannya dilihat orang. Mungkin masa itu mereka berada (menuai) tidak jauh dari satu sama lain.
Oleh kerana pokok padi itu agak tinggi, wajah mereka antara nampak dengan tidak. Kesempatan ini (waktu menuai)
hendaklah dimanfaatkan oleh sepasang kekasih ini, agar antara mereka tidak merasa rindu yang bersangatan
pada keesokan harinya.

JIka naratif itu diterima, maka keempat-empat baris (B1,B2,B3,B4) pantun itu mempunyai satu kesatuan yang padu.
Ini menunjukkan pantun klasik ini teramat tinggi mutunya.

[4]
Pengalaman membaca puisi klasik Jepun iaitu haiku (oleh Basho) cukup menarik. Haiku puisi 3 baris dengan sukukata 5-7-5 itu
mempunyai kesatuan dari segi naratifnya. Haiku yang baik mesti mengandungi unsur alam (pantun pun begitu juga).
Dalam haiku ada kata musim (tidak diwajibkan dalam pantun), tetapi pembayang yang baik harus menggunakan
daripada unsur alam. Haiku mengandungi perasaan atau kesan emosi di dalamnya, demikian juga pantun yang baik.

[5]
Pantun klasik Melayu lahir dalam masyarakat Melayu, manakala haiku dalam masyarakat Jepun. Pengucapan seniman
yang tulen tidak dapat pisahkan daripada alam persekitaran penciptanya dengan luahan pemikiran, perasaan dan pandangan hidup
penulisnya.

**********************
Terima kasih Sdr Darma mengizinkan catatan ini disiarkan.
Selamat menunaikan ibadah haji bersama isteri, semoga mendapat haji mabrur.
Wassalam

4 comments:

  1. Selamat Hari Raya
    bermaafan kita bersama
    bertemu Halela di kota raya
    terus ke Kancung bersama Darma.

    Di rumah Kak Mon kita dijamu
    dengan pengat dan buah-buahan
    panjang umur pasti bertemu
    moga disertai oleh diPinggiran.

    Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin. Sampaikan salam saya kepada Darma.

    ReplyDelete
  2. salam.... bahasa menunjuk bangsa.. hehehehe... selamat menunaikan ibadah haji juga kepada sdr darma....

    ReplyDelete
  3. Salam lebaran buat kak Lela sekeluarga,

    Hal yang ditulis Pak Darma itu telah lama bermain2 di kepala saya cuma tidak terluahkan. Alhamdulillah, akhirnya, berjaya dicatatkan oleh beliau.

    Saya juga mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji buat Pak Darma dan isteri. Semoga mendapat haji yang mabrur.

    ReplyDelete