Wednesday, July 17, 2013

Penilaian




E-mel daripada Hiroki Nomoto-sensei,
Program Bahasa Malaysia, Universiti Bahasa Asing Tokyo (TUFS)]

[Tuan Darma Mohammad dan Puan Leyla Shuri yang baik hati,

Kami telah menerima kiriman daripada Tuan dan Puan.  Kami amat gembira kerana ada orang Melayu berminat dalam sastera tradisional Jepun sehinggakan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu haiku-haiku Basho yang sukar difahami orang Jepun sendiri, malah menerbitkan karya haiku dan tanka dalam bahasa Melayu.  Kami ucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan dua buku daripada Tuan dan Puan.  Dua buah buku tersebut akan kami serahkan ke perpustakaan universiti nanti supaya dapat dimanfaatkan oleh seramai pembaca yang mungkin, khususnya para pelajar bahasa Melayu di jabatan kami.  Jika ada peluang pada masa akan datang, sila datang kunjungi kami di TUFS.

Sekian, terima kasih.

Yang bernar,

Hiroki Nomoto
Program Bahasa Malaysia, Universiti Bahasa Asing Tokyo (TUFS)]
*****

Perhatikan penulis e-mel ini tidak menggunakan Professor atau sensei atau apa-apa pangkatnya  selaku petugas di Universiti Tokyo. Beliau ialah seorang pengkaji bahasa Melayu, seorang profesor dan guru dalam Jabatan Bahasa Asing di Universiti Tokyo.
Inilah yang saya puji tentang adat orang Jepun yang tidak menunjukkan kedudukan tinggi atau pangkat mereka ketika menyebut nama sendiri atau mengenalkan diri.

Buku SUKMA BASHO DALAM HAIKU saya kendalikan selama 5 tahun. Disebabkan kelemahan dalam mendapatkan istilah-istilah bahasa Melayu saya mohon bantuan daripada En. Darma Mohammad dalam mengatasi masalah ini. Selama 5 tahun, saya mengkaji, meneliti, menelaah membuat rujukan untuk mengumpulkan haiku-haiku dalam karya Matsuo Basho. Dalam sejumlah 1000 lebih haiku Basho, saya hanya memilih haiku yang memberi gambaran alam dan adat budaya masyarakat Jepun.
Selepas 5 tahun, saya serahkan kumpulan terjemahan haiku ini ke ITBM. Kami menantikan penerbitannya selama kurang lebih 3 tahun. Kami juga dimaklumkan empat orang pakar bahasa menyemak buku ini bersama Sasterawan Negara (masa ini beliau belum mendapat anugerah ini) Tuan Baha Zain. Terima kasih kepada semua orang yang terlibat dalam penerbitan buku ini.

Saya tidak tahu respons dari pembeli dan pembaca di Malaysia darihal buku ini. Walau bagaimanapun, saya rasa puas diberi peluang oleh yang Maha Besar menunjukkan kepada sasterawan berbahasa Melayu dan peminat haiku yang Basho bukan hanya terkenal dengan haiku "katak melompat kolam" sahaja. Banyak lagi haiku Basho yang mempersonakan dan menawan jiwa.
Namun saya masih mencari satu kepastian. Saya ingin pastikan tahap tugas saya dalam terjemahan buku ini. Saya tidak dapat maklum balas dari pembaca dan peminat haiku di Malaysia.
Saya tidak putus asa.
Selepas penyerahan buku ini kepada Profesor yang mahir dalam bahasa Melayu di Universiti Tokyo, Jabatan Bahasa Asing, saya menantikan respons beliau dengan sabar.

Akhirnya, seperti dalam e-mel Profesor ini yang mencatatkan " Kami amat gembira kerana ada orang Melayu berminat dalam sastera tradisional Jepun sehinggakan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu haiku-haiku Basho yang sukar difahami orang Jepun sendiri, malah menerbitkan karya haiku dan tanka dalam bahasa Melayu", saya berasa langkah saya menyeberangi jambatan dua budaya yang berbeza, menyatukan dua bahasa yang berlainan polar telah berjaya.
Kesyukuran saya kepada Allah Ta'alla yang memberi kesabaran, keteguhan dan membenihkan semangat tugas ini hingga ia berjaya.

アルハムドリッラー

*****

2 comments:

  1. Salam...tahniah kak, moga akan terhasil lagi karya-karya sebegini yang memberi manfaat kepada pembaca pada masa hadapan :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. insya-Allah, itulah hajat saya membuat tugas-tugas ini, harap mendapat berkah Allah, amin.

      Delete