Sunday, January 05, 2014

Heisei 26 (2014)



Hampir seminggu sudah bermula tahun Heisei 26 dan inilah baru dapat ruang masa untuk mencatatkannya di sini. Heisei 26 ialah tahun takwim Jepun. Kiraan ini bermula dari pemerintahan Maharaja sekarang. Ini bermakna maharaja sekarang sudah bertakhta selama 26 tahun.
Pada asalnya, kalender Jepun mengikut kiraan bulan macam orang Islam juga mengikut hijri atau takwim lunar. Bebetulan takwim China juga mengikut kiraan bulan. Untuk tidak disamakan dengan China, bermula pada tahun 1863, pemerintah Jepun mengambil kiraan matahari mengikut takwim antarabangsa yang digunakan sekarang. Walaupun begitu, Jepun masih mengekalkan takwim pengiraan tahun pada ketakhtaan pemerintahan maharaja yang sedang berkuasa buat waktu itu.
Tahun-tahun dalam takwim Jepun ialah Tahun Meiji, Tahun Taisho, Tahun Showa dan terkini Tahun Heisei.
Dalam surat pendaftaran Jepun, tahun bapa mentua saya lahir pada 14 Januari Meiji 35. Tahun lahir suami saya pula kalau mengikut takwim Jepun ialah 6 Januari Showa 26 *baru teringat esok, tapi mengikut kiraan takwim ini, agak susah untuk mengira umurnya*.

Sebenarnya saya ingin katakan di sini bahawa Jepun masih mengikut kiraan takwim kalender sendiri dalam hal-hal hariannya, sama ada dalam perkara rasmi atau tidak rasmi.
Saya memikirkan keseluruhan negara-negara Islam di dunia sudah kurang mengira tahun hijri lagi dalam perkara rasmi. Catatan takwim dan jadual harian menggunakan tarikh masihi, walhal orang Islam sudah ada takwim yang cukup lengkap. Ini bermakna orang Islam tidak kuat memegang kebudayaan Islam dan merelakan kehidupan mereka berputar dengan takwim masihi.

Gambar di atas itu saya gubah untuk hiasan ruang tamu di rumah bapa mentua. Kami suami isteri sebagai penjaga bapa mentua terpaksa melayan tamu-tamu, anak-anak, cucu dan cicit orang tua itu.
Keletihan berulang-alik ke rumah bapa mentua (walaupun jarak pintu kami hanya 5 langkah) melayan kerenah tamu-tamu yang menziarah bapa mentua, diakhiri dengan demam selesema.


Dalam gambar itu ialah bapa mentua saya yang tidak lama lagi (14 Januari 2014) umurnya akan mencecah 101 tahun.

Kiraan tahun takwim Jepun: http://www.meijigakuin.ac.jp/~watson/ref/mtsh.html

*****

No comments:

Post a Comment