Campak kacang kat setan
Orang Islam baru habis lempar batu di Mina 2 hari lepas. Orang Jepun juga baru habis melempar syaitan semalam dan hari itu dinamakan hari Setsubun. Orang Jepun bukan lempar batu tapi kacang. Kacang ini dicampakkan dari dalam rumah ke luar rumah sambil berteriak "Oni wa soto! Fuku wa uchi!" lebih kurang bermakna "Keluarlah syaitan, masuklah rezeki"!
Mame-maki=Campak kacang dibuat supaya penyakit, perkara malang dibuang (macam tolak bala) dan membawa rezeki dan kesihatan pada awal tahun.
Lepas campak kacang, kacang yang tinggal itu dimakan mengikut umur masing. Bermakna kalau umur 155 tahun, kenalah makan kacang sebanyak 155 biji! Ini kononnya akan membawa kesihatan sepanjang tahun.
Di rumah yang ada anak kecil, bapa mereka pakai topeng bermuka syaitan dan anak itu campakkan kacang padanya, kononnya dia itu syaitan.
Di sekolah juga begitu tapi di sekolah rendah saja. Kawan orang melayu ada seorang anak perempuan berumur 3 tahun. Tahun lalu, selepas mame-maki di tadikanya, dia mengigau setiap malam selama sebulan, menjerit yang hantu mengejarnya.
Sebenarnya mame-maki ini bertujuan untuk membezakan antara musim sejuk dan musim bunga.
Lepas setsubun, kiranya musim sejuk dirasmikan tamat dan seterusnya masuk musim bunga pula.
Pada saya, membazir betul kacang itu dicampakkan merata-rata.
No comments:
Post a Comment