
Hari ini saya keluar rumah sejak tengah hari hingga ke malam, melakukan berbagai tugas peribadi. Sebaik sahaja menghidupkan talian internet, saya menerima berita yang amat memberi kesyukuran bagi diri ini.
Novel Pulut Sakura Serunding Kasih sudah dipromosikan di dalam laman web penerbitnya KarnaDya.
Saya mula menulis manuskrip novel ini sebulan selepas emak meninggal. Waktu emak meninggal, saya baru balik ke Okinawa sesudah dua bulan bersama mak di Singapura. Selanjutnya dalam kesedihan, saya memerap diri di dalam bilik gelap.
"Puan, menulislah. Gunalah pengalaman puan yang luas itu sebagai isi kandungan untuk manuskrip itu. Cubalah menulis prosa. Kalau puan tidak cuba, puan tidak akan tahu!" inilah semangat dan dorongan dari seorang penulis.
Seterusnya penulis ini menjadi penyelia dalam proses melahirkan novel ini.
Sebulan setelah emak meninggal, saya mula menulis agar dapat mendamaikan hati ini semula. Saya curahkan segala perasaan hiba ke dalam tulisan novel ini. Kedukaan ini terbawa-bawa sampai adakalanya, saya menangis bersama watak-watak yang saya garap sehingga saya tidak dapat menyambung penulisan manuskrip buat beberapa hari.
Arwah emak (yang masih hidup di kalbu) "memberi" benih untuk saya mengarang novel ini. Menggarapnya selama sembilan bulan dan seterusnya, penyemakan manuskrip mengambil selama tiga bulan sehingga ia melahirkan bayi sulung ini. Alhamdulillah.
*********************