Tuesday, December 31, 2013

Malam 2014


Minggu terakhir tahun 2013, cuaca di tempat ini mendung berselang seli gerimis musim sejuk. Orang dalam gambar itu sangat bosan, rasa terperangkap dalam rumah. Tugas orang itu banyak di luar rumah, berkebun dan berkemas kawasan di luar rumah.


Sebaik sahaja cuaca cerah semula, orang itu kata "Rera, kalau terjadi apa-apa, engkau telefon 119."
Lantas orang itu panjat tangga naik ke bumbung, membersihkan lorong-lorong air yang tersumbat dengan pasir dan lumut. Jiran saya keluar dan kami sama-sama menonton orang itu bekerja sambil berteriak-teriak amaran kepada orang itu, "abunai yo, abunai yo" (bahaya, bahaya).




Seperti tahun-tahun lepas, kami membersihkan rumah bapa suami sebab anak, cucu dan cicitnya akan datang menziarah. Salah satu tugas yang sangat seronok ialah menyusun bunga hiasan. Sebelum itu kami terpaksa ke pasar sayur mendapatkan bunga-bunga hiasan itu. Terasa bahang perayaan apabila berebut-rebut dalam pasar sayur.


Pada malam menyambut tahun baharu, adat orang Jepun makan mi. Tak kira jenis mi, udon atau soba.
Pada mereka, mi yang panjang itu bagai jambatan yang menyambung tahun lama ke tahun baharu. Pada saya asalkan tidak melanggar akidah dan kepercayaan bahawasanya agama itu Islam dan tuhan yang disembah itu Illahi yang Maha Segalanya, tidaklah salah mengikut berseronok sama.

Itu gambar mi udon bersama rumput laut dengan tenpura sotong dan kacang buncis. Selepas makan malam yang terakhir untuk tahun 2013, dengan meja kotatsu, kami tonton siaran Kouhaku atau Pesta Lagu Merah dan Putih. Siaran hiburan yang bermula dari 7.15 mlm hingga larut 12 mlm ini ialah pertandingan lagu antara perempuan dan lelaki.
Seluruh Jepun ikut menyertai pilihan menentukan kemenangan dengan menekan butang "remote control" pada akhir pertandingan ini.

*****

2 comments:

  1. Malam semalam makan mee celup kedai org Thailand di sini..teringat pulak mi udon Kak Leyla ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Puan Roserose,
      Macam mana rasa mi celup siam?

      Semoga lebih berjaya pada tahun2 seterusnya.

      Delete