Friday, March 06, 2015

Suicide Cliff


This is the Suicie Cliff. That's the Emperor and Empress bowing to respect thousands of Okinawa people who died jumping off this cliff. If you visit this island, you still can go to the edge of this cliff in Itoman Memorial Park.
I mentioned this cliff in my novel PAGI SEMERAH DAUN MOMIJI, on page 541.
(sorry, only in Malay language, but working on the English translation now).


" As later happened in Okinawa, Imperial troops encouraged and instigated group suicides, warning of the horrible fate that awaited anyone captured by the invaders."
Suicide Cliff 
 http://www.japantimes.co.jp/news/2014/07/05/national/history/battle-saipan-brutal-invasion-claimed-55000-lives/#.VPkBaS6cEoF

*****

Tuesday, March 03, 2015

Okinawa Tour


Saya tidak mendapat sebarang keuntungan dari mengiklankan jadual pelancongan ini. Jika berminat dan ada pertanyaan, sila berhubung terus ke alamat emel yang dicatat dalam iklan ini.

Tiga hari itu ditanggung halal segalanya dan ini belum pernah dilakukan oleh mana-mana syarikat pelancongan.
Cuma pelancong itu sendiri haruslah pandai menjadualkan waktu penerbangan pergi dan balik.
Selepas mengikut syarikat pelancongan ini, boleh saja tinggal di hotel budget atau bed and breakfast atau dormitary (jika ingin tempat penginapan begini) untuk menyambung lagi lawatannya.

Oh ye, ini musim bunga lili kembang sepulau.


*****

Monday, February 16, 2015

Marionette


Gah, Berita Harian, Singapore menyiarkan cerpen saya yang saya letak tajuk mudah "Marionette" hari ini [16 Feb. 2015]

Tajuknya sengaja saya mudahkan untuk menarik mata pembaca. Lagi pun perkataan "marionette" juga telah di-Melayu-kan (menurut Kamus Dewan), jadi tak perlulah saya jelaskan istilah itu.

Cerpen ini membawa latar belakang bandar besar Shibuya, Tokyo. Walau bagaimanapun saya masukkan unsur tempatan pada penghujung cerita untuk mengimbangkan senario penceritaan.

Penghargaan tinggi saya kepada Sastera, Gah, Berita Harian kerana memberi keyakinan dalam penulisan saya hingga melayakkan karya saya diterbitkan.

*****

Saturday, February 07, 2015

Bunyi cengkerik


[Photo courtsey of rolingwestexblogjp]

Petikan dari buku Sukma Basho dalam Haiku (ITBM), hlm 78
Shizukasa ya, iwa ni shimi iru, semi no koe
Di dalam hening, resap ke dalam batu, bunyi cengkerik
Kigo (kata musim): cengkerik

Haiku ini dicatat dalam buku harian Basho ketika dia mengembara ke negeri utara bersama seorang pelatih muda.
Ketika tiba di tempat ini yang dipenuhi batu-bata, walaupun keadaan hening dan dia tidak terlihat cengkerik tapi jeritan cengkerik kedengaran dari dalam batu-bata itu.
Dalam haiku ini, Basho ingin menonjolkan keadaan yang amat berbeza antara hening dan jeritan cengkerik itu. Walaupun pembaca tidak dapat mendengar namun dalam gambaran haiku ini, pembaca mampu melihat keadaan hening di sekeliling tempat itu yang diganggu oleh jeritan cengkerik.

*****

Saturday, January 31, 2015

Misteri Sakura Higan


Sakura mula mekar di depan rumah saya. Saya pelik dengan sakura ini. Buah ceri yang saya makan itu, benihnya saya campak sambil lewa sahaja. Saya rasa buah ceri itu diimpot dari Amerika Syarikat. Tak mungkin jenis ceri itu berbunga di Okinawa, fikir saya.
Dari sebatang dahan yang kurus, pohonnya terus membesar dan setelah lebih 15 tahun ia berbunga, malah sungguh lebat. Cuma yang peliknya, ceri itu mengikut jenis ceri higan, jenis yang hanya terdapat di Okinawa. Bukan seperti sakura jenis lain yang gugur sehelai-sehelai kelopaknya, higan sakura gugur berkuntuman.
Bukankah benih yang saya tabur 15 tahun lalu diimpot dari luar negara?
Mengapa menjadi ceri higan?
Atau pun semua jenis benih ceri bertukar menjadi ceri higan apabila disemai di bumi Okinawa?
Misteri jadinya...
Projek tulisan yang saya hadap setiap hari sekarang telah berlangsung semenjak 2 tahun. Ini buku-buku rujukan projek itu. Selain dari buku-buku ini, saya guna kamus kulit tebal, kamus digital, kamus online (lain dari digital).
Apabila mata saya pedih, sesekali saya jenguk pohon sakura yang lebat itu dan terfikir lagi misterinya.
Kuntuman bunga sakura hanya bertahan 10 hari sahaja. Apabila kuntuman ini gugur, ajaibnya misteri ini juga hilang dari fikiran saya sehinggalah musim sakura mekar lagi dan misteri ini akan muncul semula.
*****

Sunday, January 18, 2015

Hamaguri



Petikan dari buku haiku Sukma Basho Dalam Haiku, hlm 161.

Hamaguri no --- Pamitan luruh
futami ni wakare --- kepah terbelah dua
iku aki zo --- tanda berpisah.

Basho bermain dengan kata-kata sedih dalam haiku ini. 
Futami ialah nama sebuah tempat di Jepun. Di tempat ini, seorang remaja dibawah latihan Basho terpaksa melencong ke tempat lain dan tinggalkan Basho meneruskan pengembaraannya sendiri. Perkataan Futami juga bermaksud "terbelah/perpisahan/terlepas" selain dari mengambil nama tempatnya, Futami.
Walaupun perpisahan mereka sememangnya terjadi di musim luruh, tapi Basho sengaja masukkan musim luruh ke dalam haiku ini untuk menunjukkan lambang luruh yang menggambarkan "kesedihan, ketuaan, kegelapan, keakhiran".
Basho juga mengambil dua makna apabila dia menggunakankan perkataan "kepah" atau hamaguri. Kepah apabila sudah dipisahkan kulit kerangnya, memang tidak dapat dilekatkan semua seperti sediakala. Ini juga meliputi maksud perpisahanya dengan teman kembara itu.

*****

Wednesday, January 14, 2015

Umurnya 104 tahun


Hari ini 14.1.2015, umur bapa mentua saya menjadi 104 tahun.
Seminggu tiga kali, dia berulang-alik ke rumah orang-orang tua yang berdekatan. Kendaraan disediakan untuk dia pergi dan balik. Di rumah orang-orang tua ini bersebelahan dengan klinik. Doktor klinik sebelah yang merawat mereka di rumah orang tua ini. Di rumah orang-orang tua ini juga bapa mentua saya mandi dan membuat aktiviti seperti bersenam, menyanyi, membuat kraf tangan dan lain-lain riadah ringan.
Jadualnya pada hari dia ke sana bermula dari pagi jam 9.30 hingga ke 3 petang. Setelah makan tengah hari baru dihantar pulang semula.
Di rumah pula, balik saja dari rumah orang-orang tua itu, kami memberinya sebotol air yakult.
Kek yang dia tidak mahu makan, diberikan kepada saya, kecil sahaja. Kek keju tetapi tidak manis langsung, hanya terasa lemak keju sedikit.
104 tahun umurnya.

*****

Monday, January 05, 2015

Senarai 2015


Untuk memulakan tahun 2015 ini, saya senaraikan semua buku-buku saya dan talian atau tempat agar mudah untuk para pembaca yang ingin mendapatkannya. Cara ini juga memudahkan saya.
Apabila ada pertanyaan daripada para pembaca, saya tuliskan sahaja pautan (link) ini.
Saya mengambil peluang ini mengucapkan semoga para pembaca yang dihormati diberi lebih kemudahan dan ruang masa pada tahun 2015 untuk membaca.

Novel Pulut Sakura Serunding Kasih

Novel Pagi Semerah Daun Momiji
Untuk pembaca di Singapura boleh dapatkan novel ini di sini
Muslimedia Bookshop
yang beralamat di
448 Changi Road #01-05 Wisma Indah (satu bangunan di Masjid Kassim-
Kembangan)
tel: +65 6346 6230

Novel Terbelah Bintang Subaru


Percikan Pelangi-Himpunan Haiku Dan Tanka

Sukma Basho Dalam Haiku
Untuk pembaca di Singapura boleh dapatkan novel ini di sini
Muslimedia Bookshop
yang beralamat di
448 Changi Road #01-05 Wisma Indah (satu bangunan di Masjid Kassim-
Kembangan)
tel: +65 6346 6230

Untuk mendapatkan secara online, sila rujuk di bahagian kanan blog ini dan
klik pada imej buku-buku itu.

Selamat Membaca.

Terima kasih.

*****

Thursday, January 01, 2015

2015


Culturally Japan celebrate their New Year on New Year's Day.
In the photo is my father-in-law framed certificate when he was 100 years old received from the City Mayor 2 years ago. Inside the red and white stand [besides the ikebana flower that I arranged] is glutinous rice to symbolize happiness.
My father-in-law send this greetings to all my readers and friends: "Akemashite Omedetou Gozaimasu" which means Have a Happy and Prosperous New Year.
[Location: My father-in-law's house]

Bak kat Dr.Maza yang saya petik dari Dr.Maza.com, "tahun baru hanyalah nama yang kita berikan atas bilangan angka besar..hakikatnya ia merupakan perubahan yang kita alami setiap saat dan ketika...bilah-bilah hari datang pergi..kita hanya bilangan detik dan waktu yang setiap kali denyut nadi berkurangan sehingga tiba saat yang dinamakan kematian..hari ini, semalam, tahun lalu, tahun baru dan tahun depan..sama saja..hakikatnya masa terus berjalan dan tempoh umur kita makin berkurangan.."

Hakikatnya sememangnya masa berjalan dan oleh sebab masa itu berjalan, umur kita juga semakin berkurangan, walau bagaimanapun dalam pada itu saya akan terus segarkan minda dan anggota badan, agar segala pergerakannya memberi manfaat kepada keluarga, teman-teman dan para pembaca, insya-Allah.

Semoga teman-teman dan para pembaca, jauh dan dekat, lebih bahagia dan productif pada tahun 2015 ini.

*****

Thursday, December 25, 2014

Dikurung salju


Sebelum era kemodernan, ruang tamu di rumah Jepun diletak tungku pemanas ini. Pada musim panas, lantai tungku ini ditutup. Pada musim sejuk, penutup itu dibuka dan dipasangkan api. Periuk makanan atau cerek air digantung pada tungku ini untuk menyediakan makanan sekali gus memanaskan ruang tamu itu.

Petikan haiku halaman 182 dalam Sukma Basho Dalam Haiku (ITBM).
Dikurung salju
sandar diri semula
di tiang ini.


Tiang dalam haiku ini bermaksud tiang di ruang tamu itu (ruang yang sentiasa panas).
Sekarang musim salju, rata-rata tanah Jepun dilanda salju lebat. Rakyat mereka diarah berjaga-jaga dan tidak keluar dari rumah kalau tidak perlu seperti ternyata dalam haiku ini "dikurung salju."
[imej ikhsan kabukibitojp]



*****

Saturday, December 20, 2014

Diskusi Novel Pagi Semerah Daun Momiji




Dr. Zubir Idris turut diundang sebagai pengkritik pada pembentangan.
Para moderator dan para pembentang

Pada tarikh 19.12.2014, novel Pagi Semerah Daun Momiji dibawa ke atas pentas sebagai tajuk Diskusi Novel. Pembentangan Diskusi Novel ini dianjurkan oleh para pelajar daripada Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, pengelolaan Cikgu Che Abdullah Che ya.

Saya diberi kejutan ini pada pagi tarikh pembentangan itu dengan gambar-gambar yang disiarkan ini. Saya berbesar hati apabila novel saya dipilih sebagai Diskusi Novel. Setakat ini (apabila saya mencatat sekarang), saya telah terima salinan daripada dua orang pembentang kertas kerja sesi Diskusi novel ini. Saya ingin berjumpa mereka satu hari kelak untuk mengenal dengan teliti jalan fikiran mereka, jika diberi peluang dan ruang waktu.

Walau bagaimanapun untuk memberi asas dalam penganalisisan kertas kerja, para pembentang perlu membuat rujukan darihal politik, sosial, ekonomi, kemasyarakatan dan budaya dalam ruang waktu novel ini digarapkan. Usaha penganalisisan ini sangat penting untuk memahami keadaan perang yang melanda dunia pada era itu.
Syabas kepada para moderator dan para pembentang, juga Cikgu Che Abdullah yang telah berjaya menganjurkan sesi Diskusi Novel ini.

*****

Sunday, December 07, 2014

Kembali sediakala


 Ini cucu-cucu kepada anak perempuan saya yang kedua. Mereka tinggal sementara bersama saya bermula pada akhir April 2014 (24-4-2014). Ini kerana anak saya tiada pembantu ketika melahirkan anaknya yang ketiga.
Kerja penulisan saya terpaksa saya tinggalkan buat sementara ketika mereka berada bersama saya. Apabila cucu-cucu ini mula masuk ke taman asuhan dari pagi hingga ke petang, dalam waktu ini dapat juga saya menumpukan sedikit masa untuk menulis. Selainnya waktu saya hanya untuk menjaga cucu-cucu ini dan membantu ibunya.


Semalam (6.12.2014) mereka selamat kembali ke pangkuan ayah mereka yang bertugas di Singapura dan kembali sediakala dengan kehidupan mereka sebagai satu keluarga.

Gambar yang akhir ini waktu kami berpisah di lapangan terbang Naha. Saya masih merindukan mereka. Teringat-ingat segala peristiwa selama 7.5 bulan bersama mereka.

*****

Monday, November 17, 2014

Terbelah Bintang Subaru




Novel fiksyen sejarah TERBELAH BINTANG SUBARU [atau boleh buka pautan ini untuk sinopsisnya http://ecommerce.itnm.com.my/ms/books/isbn/9789674305826].

Tidak seperti novel-novel saya yang sebelum ini, novel ini tidak ada watak orang Melayu. Tidak ada watak orang Melayu bukan bermakna tidak ada watak orang Islam.

Novel ini diterbitkan oleh syarikat ITBM Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Novel ini dikendalikan oleh bos En. Roslan Mohd Nor, penyunting utama Puan Zalila Isa, juru reka kulit buku En. Naza Hamed dan lain-lain yang telah mengusahakannya di balik tabir. Ia mula diserahkan kepada para pembaca pada tarikh 15 Nov. 2014.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada para pegawai ITBM yang menggalas proses penerbitan novel ini hingga ia berjaya dicapai oleh para pembaca akhirnya.

Sujud syukur.

*****

Monday, November 10, 2014

Ulang cetak atau pupus?


Saya pernah dengar cerita daripada penulis yang mengadu bahawa buku-buku karya sendiri sudah kehabisan stok dan tidak diulang celak lagi. Masalahnya penulis sendiri tiasa simpanan buku-buku yang sudah kehabisan stok itu. Bayangkan betapa ruginya penulis yang tiada menyimpan karya sendiri.

Bagaimana untuk buku itu dijadikan rujukan?
Bagaimana untuk diwariskan pembacaannya untuk generasi depan dalam keluarga penulis itu?
Bagaimana untuk mendokumentasikan karya-karya sendiri?

Saya tidak mahukan perkara begini terjadi pada diri saya. Makanya September [2014] tempoh hari atas urusan lain, saya mengingati diri untuk membeli stok buku-buku saya daripada penerbit.

Menurut penerbit novel Pulut Sakura Serunding Kasih, buku ini tinggal kurang lebih 100 nashkah dalam simpanan stok di kedai mereka.

Jika habis kesemua novel ini, adakah ia akan diulang cetak atau dipupuskan?
Saya tunggu keputusan daripada syarikat penerbitnya.

*****

Tuesday, October 28, 2014

Sasterawan?

[Foto ikhsan Berita Harian, Singapura]

Sedikit mengenai diri saya disiarkan oleh Berita Harian, Singapura pada tarikh 27 Okt. 2014.

 http://beritaharian.sg/gah/bahasa-sastera/sasterawan-melayu-berjiwa-jepun

Saya sudah digelar sebagai sasterawan. Apa rasa saya?
Sama saja. Tak ada benda yang berubah dalam kehidupan saya.

Eh, tak juga apabila saya fikirkan betul-betul. Cara saya bertutur sudah lain. Perkataan yang saya gunakan tidak kasar. Ada orang kata bahasa baku. Tidak juga. Bahasa biasa saja tapi tidak kasar lagi, baik dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.
Maksud saya, tidaklah lagi "your headlah atau go to hell you!" itu yang saya maksudkan tidak kasar lagi.
Tapi dari asal memang saya tidak guna bahasa kasar, jadi tidak hairanlah saya tidak guna bahasa kasar.

Saya akan paling muka jika tajuk percakapan adalah barang jenama atau baju mahal atau tudung sutera. Tetapi kalau berbincang tentang buku, leher saya tegak mendengar.

Jika melancong teman-teman keluar masuk butik atau kedai make-up, saya mencari kedai buku.

Dalam tas tangan saya sentiasa ada buku. Apabila menanti saya keluarkan buku itu dan tidak hiraukan sekeliling lagi.

Tiada perhiasan cantik dan mahal dalam rumah saya, yang ada cuma buku-buku berselerak atau disimpan pada semua ruang selagi mampu saya selitkan.

Saya ramai kawan-kawan tetapi tiada siapa menjadi kawan rapat. Saya senang-senang tinggalkan kawan-kawan dan tumpukan emosi saya kepada kerja tulisan atau pembacaan.

Saya tidak berapa suka keluar rumah lama-lama. Keluar rumah jika tidak ada kaitan dengan buku atau penulisan, saya akan cepat bosan dan ingin balik ke rumah segera.

Saya bosan berkawan dengan orang yang tidak membaca. Tiada apa untuk dibincangkan.

Mungkin ini ciri-ciri sasterawan. Saya tidak tahu.

*****

Friday, October 17, 2014

Ulasan Novel Pagi Semerah Daun Momiji di Berita Harian Singapura


Pagi pada tarikh 13 Oktober 2014, iaitu hari cuti umum di Jepun dan Okinawa baru sedang dilanyak-lanyak oleh ribut taufan No. 19 [diberi panggilan Voonfoon], saya dikejutkan dengan berita daripada salah seorang pembaca di Facebook yang memuatnaikkan imej di atas.
Berita Harian Singapura mencatatkan ulasan novel saya Pagi Semerah Daun Momiji yang ditulis oleh Encik Anuar Othman, salah seorang penulis mapan Singapura.

Awal pagi itu saya mengelilingi rumah saya dan terdapat hampir kesemua daun-daun ulam yang saya tanam kelihatan seperti terbakar, kering dan hitam. Walhal yang melanda Okinawa selama dua hari sebelumnya ialah ribut taufan dalam bentuk angin yang melintas dan berpusing dengan kelajuan 47 k/saat atau 260 kpj. Ribut itu membakar seperti api.
Terfikir saya pada pagi ini tajuk buku saya juga membicara unsur yang membakar ini Pagi Semerah Daun Momiji yang merah dan membakar.

Apa-apa pun saya reda saja ketetapan Maha Ilahi sambil berasa amat bertuah harta dan nyawa diselamatkan-Nya dalam malapetaka ini.

Sememangnya buku-buku yang keluar dari cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka amat sukar diperolehi pembaca oleh sebab masalah protokol dalaman yang melanda nasib syarikat penerbit ini. Saya juga maklum ada beberapa orang dalam senarai sahabat yang telah mendapatkan novel ini. Namun novel ini tidak diperkatakan dalam mana-mana laman atau disebut/dikritik/dikomen di Facebook, google, Goodreads.  Yang lazimnya yang saya terbaca, "Novel ini Best!" pun tidak ada atau "Novel ini tak Best!" pun tidak ada!
Apahalnya saya tidak tahu.

Akhirnya, syukur saya tidak tergambar apabila novel ini diulas oleh penulis mapan daripada Singapura, En. Anuar Othman dan diterbitkan catatannya di bahagian Sastera Gah, Berita Harian.
Cukuplah itu bagi saya.

*****

Monday, October 06, 2014

Pelancaran Pertama


Saya fikir elok juga jika saya mengambil kesempatan dalam Bulan Bahasa Singapura untuk melancarkan buku-buku saya. Bulan Bahasa bermula September hingga Oktober selama 2 bulan. Lalu seawal Mei saya sudah bergerak ke arah niat ini. Namun setelah berinteraksi dan jadual sudah ditetapkan, saya terpaksa mengundur diri memandangkan saya harus memberi bantuan kepada anak saya yang menumpang di rumah saya buat sementara waktu sehingga anak yang baru lahir sudah setahun umurnya. Pengunduran ini tidak diterima dan mengikut jadual yang telah ditetapkan, saya harus teruskan juga.
Pelancaran rasmi begini ialah yang pertama bagi saya. Adalah saya buat kecil-kecil bersama staf syarikat terbitan dan sekumpulan kawan-kawan sebelum ini. Seminggu sebelum hari pelancaran buku saya, saya menghadiri pelancaran sekumpulan penyair yang memanggil kumpulan mereka Bebas Melata. Saya datang sebenarnya untuk melihat sendiri pengisian dan acara-acara bagi melangsungkan sesuatu pelancaran. Sebelum pelancaran kumpulan Bebas Melata, saya hadir sesi 3 orang penulis tersohor di Singapura iaitu Mohd Latiff Mohd, Isa Kamari dan Suratman Markasan. Selepas sesi Bicara Karya itu, kami dijamu dengan kudapan petang, dan seterusnya acara kumpulan Bebas Melata juga bersambung dari situ. Maka para tetamu yang datang untuk kedua-dua acara bertambah dan memeriahkan lagi urusan petang itu.
Dalam hati saya berkata, "Tak mungkin begini ramai tetamu yang datang pada hari pelancaran buku saya."
Pegawai perpustakaan yang menguruskan pelancaran ini menyatakan yang saya perlu menyiapkan kudapan atau makanan ringan untuk 30 orang. Saya fikir, "Baik, kalau 30 orang, biar saya tempah 60 karipap dari penjual haram yang datang dari Batam. Seorang 2 karipap dan sekotak air. Cukuplah. Bukan parti makan-makan, ini parti mengenalkan buku baharu, bukan?" Itu saya yang fikir sendiri.

Lagi 3 hari ke pelancaran, datang lagi, "Puan, karipap saja tak cukup!" Panik saya. Alhamdulillah, salah seorang sahabat sepejuangan sempat membantu.
Lagi 2 hari ke pelancaran, pegawai perpustakaan tanya lagi, "Puan, ada tetamu kehormat yang ingin diundang?" TAK TAHU SIAPA PUN!
"Baik Puan, jangan panik, biar saya uruskan," kata pegawai itu.
Sehari sebelum pelancaran, satu soalan lagi, "Puan, apa pengisiannya?"
Pengisian? Pengisian apa lagi?
"Maaf Tuan, saya serahkan segalanya kepada Tuan yang bijak pandai."
Masa ini hampir menitis air mata saya.

Tempat: Perpustakaan Awam, Victoria Street
Masa Pelancaran 4:00 - 5:15 ptg
Bengkel Haiku    5:30 - 7:30 mlm





 Inilah salah seorang yang membantu untuk pengisian pelancaran ini. Saya baru kenal beliau (takut menyebut namanya di sini sebelum diberi izin). Beliau mendeklamasi sajak dengan gitar dan serunai itu.

















 Ini Puan Kamaria Buang, orang kuat yang membantu dan memberi nasihat. Bersamanya itu pegawai perpustakaan yang sering berbincang tentang pelancaran ini.
 Inilah orang yang banyak membantu pada masa-masa saya panik, pegawai perpustakaan awam Singapura yang melangsungkan acara pelancaran ini.
 Jangan terkejut. Ini penulis terkenal di Malaysia yang menjadi bidan terjun dan beliau antara yang awal memulakan acara pelancaran saya. Saya amat terkejut, terbeliak mata, terkebil-kebil mendengar beliau mendeklamasi tanka dari buku Percikan Pelangi, salah sebuah buku yang dilancarkan.
Sungguh terharu.
 Tetamu kehormat diperkenalkan. Beliau dari Berita Harian, Singapura.
 Masa untuk saya memberi sedikit ulasan darihal buku-buku yang dilancarkan.

1] Sukma Basho Dalam Haiku
2] Percikan Pelangi
3] Novel-Pagi Semerah Daun Momiji
 Saya tidak siapkan sebarang teks atau nota sebab saya tahu saya akan menggelabah. Biarlah saya tengok langit saja, tak perlu tengok tetamu di hadapan.















Dua buah tajuk buku yang sedang dilancarkan ialah hasil kerjasama dengan Darma Mohammad. Jadi saya fikir adalah lebih afdal Darma Mohammad diundang juga sebab ia melibatkan dirinya dalam pelancaran ini.

 Memberi cenderahati kepada tetamu kehormat.

Ini adik saya, Halija. Punyalah terkejut saya apabila dia naik ke meja ucapan. Aik, bilakala adik saya datang?
Tapi kejutan-kejutan ini amatlah membahagiakan saya.

 Peluk-peluk arab selepas adik saya mendeklamasikan haiku yang dipetik spontan dari buku Percikan Pelangi.

Akhir kalam, bergambar dengan tetamu yang rata-rata juga penulis.
Sebagai penutup, saya mengambil peluang untuk mencatatkan jutaan penghargaan saya kepada yang telah membantu saya secara spontan atau tidak spontan.
Kepada En. Herman Rothman, saya akui tahap kesabaran tuan amat tinggi.
Kepada Puan Kamaria Buang, terima kasih tidak terhingga atas segala nasihat dan cadangan untuk menjayakan pelancaran ini.
Kepada Puan Faridah Taib, sudi mengisi meja makan dengan pelbagai kudapan, amat saya hargai.
Kepada Puan Nisah Haron yang melompat untuk mengisi acara hari ini, tabik saya kepada puan.
Kepada En. Ciung Winara Singapura (nama pena), deklamasi dan tiupan seruling itu memberi saya masa untuk mengatur ucapan, terima kasih.
Kepada Tetamu Kehormat (tak tulis namanya) yang dari Berita Harian Singapura, sudi menjadi tetamu kehormat untuk pelancaran hari ini, setinggi gunung Fuji saya hargai.
Dan kepada adik-adik saya, serta anak saya bersama cucu saya yang datang, sayang kamu semua.
Mungkin ada nama yang saya tidak teringat tapi kamu tahu saya pun tahu, sama-sama menghargai bantuan dan kerjasama yang diberikan kepada saya untuk hari ini.

Sebelum pelancaran ini hari-hari saya baca tekanan darah yang mencatat b.acaan antara 147 hingga 157.
Boleh percayakah tekanan darah setinggi ini hari-hari sebelum pelancaran?
Selepas pelancaran tekanan darah saya balik semula 127.
Alhamdulillah, saya masih hidup.


*****

Thursday, September 25, 2014

Liputan MediaCorp

Berita MediaCorp

Sila klik pada talian di atas.

Buat pertama kalinya, sebuah bengkel pengenalan kepada Haiku dan Tanka dianjurkan di Singapura.
Ia memaparkan usaha "meMelayukan" puisi tradisional Jepun itu yang berpotensi menjadi bahan menarik untuk mendidik pelajar tentang alam dan meteorologi, selain membantu menyemai cinta kepada bahasa.
Antara sebab adalah disiplin dan kajian yang diperlukan untuk menulisnya.
Haiku adalah puisi singkat tradisional Jepun yang mengandungi 3 baris - yang pertama memaparkan lima suku kata, baris kedua - tujuh suku kata dan ketiga - lima suku kata.
Tanka pula : 5,7,5,7,7 dan memaparkan 5 baris ayat.

*****

Monday, September 15, 2014

Lawatan ke DBP Sept. 2014

 

Setiap kali saya balik ke Singapura, saya tidak lepaskan peluang menjengah syarikat penerbit yang mengusahakan novel-novel saya. Saya rasa ini satu-satunya cara untuk kami menjalinkan hubungan baik dalam dunia persuratan.
Selepas lawatan kami ke ITBM pada pagi Khamis 4 sept. 2014, kami teruskan ke DBP pula. Sudah 2 tahun saya kembali tetapi tidak berpeluang berjumpa editor novel saya Pagi Semerah Daun Momiji. Malang lawatan kali ini juga saya gagal berjumpa beliau.
Walau bagaimanapun, saya ingin berkenalan dengan Puan Zaiton Abu Samah dan kami meneruskan pertemuan itu berbincang segala perkara berkaitan Hak Cipta.

....Soalan-soalan seperti apa harus seorang penulis skrip drama lakukan jika dia ingin gunakan novel saya.
...Apa harus saya lakukan jika novel saya digunakan untuk seri drama TV, walaupun saya rasa novel saya amat sukar bagi penerbit drama untuk asimilasikan dalam aspek tempatan.
...Apakah yang penulis perlu lakukan untuk mengembangkan penulisannya tanpa melanggar syarat-syarat dalam Surat Perjanjian Penerbitan.

Kami diberi penjelasan yang cukup teliti oleh seorang pegawai yang pakar dalam Hak Cipta Persuratan. Pengharaan saya kepada Puan Zaiton Abu Samah dan En. Hafizi Ahamd.

*****

Tuesday, September 09, 2014

Urusan buku ITBM, KL


Selepas acara PPN7 [Pertemuan Penyair Nusantara 7] yang berlangsung selama 3 hari berturut-turut selesai, saya berehat 2 hari.
3 Sept 2014 bersama penyair wanita Singapura, Puan Kamaria Buang, kami menaiki bas ke utara, menuju Kuala Lumpur. Urusan saya ke KL ialah mengambil buku-buku saya untuk pelancaran di Perpustakaan Awam, Singapura pada 20 Sept. 2014.
4 Sept. 2014, saya ke ITBM. Perjumpaan ini sudah saya rancangkan. Kami disambut oleh Puan Zalila Isa dan En. Rozlan. Selepas beberapa urusan selesai, Dr. Lim Swee Tin menjelma dan kami berbual pelbagai perkara persuratan.

Dr. Lim serahkan buku kumpulan puisi Bulan Di Antara Lalang kepada saya yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.
"Puan Leyla, minta terjemahankan buku ini ke dalam bahasa Jepun," kata beliau.
"Apabila buku terjemahan puan Sukma Basho Dalam Haiku terbit, esoknya saya beli. Saya perhatikan puisi-puisi saya dalam buku ini banyak persamaannya dalam tema unsur alam, sama seperti haiku-haiku Basho," sambung beliau.
Kami teruskan perbualan berkaitan haiku sebab Dr. Lim dengan semangat bersemarak ingin mendalami haiku setelah mengenali haiku dalam buku Sukma Basho Dalam Haiku [ITBM].


Saya tidak bawa apa-apa buah tangan dari Jepun. Setidak-tidaknya saya rasa kek buatan tempatan juga sudah mencukupi sebagai tetamu dalam pertemuan pertama dengan pegawai ITBM kali ini.
Selepas menjamah kek dan teh yang dihidangkan, pertemuan itu selesai dan saya ke lobi. Di lobi pula kami terserempak dengan Ketua Pengarah ITBM. Pertemuan dengan Ketua Pengarah itu juga pertama kali bagi saya.


Saya minta maaf kepada Ketua Pengarah kerana tidak hadir di Pesta Buku Tokyo masa bulan puasa tahun ini atas kewajipan keluarga. Insya-Allah, pada tahun-tahun akan datang, jika ada peluang, akan saya bersama.


Setelah buku-buku saya siap dibungkus, kami pun memanjangkan langkah ke DBP pula.

*****

Monday, September 01, 2014

PPN7


Saya kembali ke negara tanah tumpah darah kali ini untuk pelancaran buku saya. Ada 3 judul yang saya ingin lancarkan, namum memikirkan anak perempuan saya yang ke-2 sedang menumpang di rumah saya sebab baru melahirkan anak ke-3, saya memutuskan untuk membatalkan kepulangan saya.
Walau bagaimanapun ini tidak mungkin sebab bagi pihak Perpustakaan Awam Singapura yang sudah menjadualkannya untuk acara Majlis Bulan Bahasa, saya terpaksa juga teruskan perjalanan ini.
Saya memilih hari pulang yang tarikhnya berbetulan (atau kebetulan?) jatuh pada acara PPN7 juga. PPN7 atau Pertemuan Penyair Nusantara 7.
Sangat gembira saya mendapat peluang yang tidak saya rancang ini untuk bersama-sama membincangkan sekalian masalah berkaitan perpuisian di kawasan Nusantara ini. Para sastera daripada 5 negara iaitu Selatan Thai, Brunei, Indonesia, Malaysia dan para pemuisi daripada negara tuan rumah, Singapura berkumpul dan memerah otak untuk memajukan sastera di kawasan Nusantara ini.
Dalam perbincang sisi, seorang sasterawan muda bertanya, "bagaimana ya penulis wanita mengatur jadual mereka untuk menulis?"
Saya kata asalkan jangan dijadikan tekanan, ambil santai-santai sahaja.
Kata pemuda itu, dia melihat ramai penulis veteran yang mengambil bini ke 2, mungkin untuk menghilangkan kesunyian sebab katanya menulis itu agak sunyi tugasnya.
Saya setujukan sahaja pendapat penulis muda itu, "Ya, mungkin teramat sepi, makanya penulis tua atau veteran perlu ada hiburan sisi untuk menghilangkan tekanan tugas menulis."
Saya akhirkan, "adohai, kalau begini "trend" penulis lelaki tua, agak kasihan juga kepada isteri-isteri mereka."
Pemuda itu tersenyum dan berkata, "tempat penginapan kami di dalam "red-light", makanya kami melihat ramai juga orang-orang tua yang mengunjungi tempat kami".
Saya menghabiskan perbualan itu, "Ah, lelaki tua kalau kesepian, tak kiralah penulis atau tidak, perlu hiburan sisi, bukan?"
"Betul kak." [tersenyum lagi, dia berlalu].

**cerita di atas tidak berkait dengan orang-orang dalam gambar.

Akhirnya masing-masing sendiri juga.

All movies have a start. 
The beginning.
After some while,
it will sure stop.
That's what it is.
The End.
That's the period.

You are the end.
You are the Period.

*****

Sunday, August 17, 2014

Negeri nyaman



Petikan Haiku dalam Sukma Basho Dalam Haiku [ITBM] hlm 103, No. 198.
Di sudut ini/semua yang dilihat/nyaman belaka.
kono atari/me ni miyuru mono wa/mina suzushi.
Dalam pengembaraan Basho ke negeri Gifu, dia singgah di rumah kawannya yang kaya, saudagar minyak. Pandangan dari rumah kawan ini memperlihatkan [gunung-ganang dan sungai di lembah] saujana yang nyaman (angin sejuk yang datang di balik gunung).

Kigonya nyaman untuk musim panas. Musim panas di Jepun amat panas melengas dan berbahang. Makanya angin sejuk pada musim panas ini dipanggil sebagai angin nyaman atau suzushi. Pada musim lain, sejuknya tidak rasa nyaman.
Dalam Kamus Dewan nyaman diberi maksud angin senja atau kesejukan pagi. Akan tetapi pada musim panas di Jepun, angin nyama ini dikatakan "suzushi".
[imej travelerfoloiodotcom]


*****

Tuesday, August 12, 2014

Bimasakti


[image courtesy of jplnetcom]


[image courtesy of 4traveljp]

Saya terlihat ramai yang menulis tentang bimasakti dalam puisi dan sajak belakangan ini. Bimasakti yang tercatat dalam Kamus Dewan bermaksud jaluran cahaya malap yg terentang di langit pd waktu malam yg terdiri drpd jutaan bintang, nebula, dsb. Sebenarnya bintang-kemintang ini tidak malap jika dilihat di bahagian utara Jepun. Fenomena ini berlaku pada musim luruh di kutub utara dan pada waktu ini pergerakan bintang-kemintang itu paling dekat dalam pusingannya pada bumi.
Matsuo Basho juga pernah melihat fenomena ini. Batu tulisan dalam imej itu melakarkan haiku Basho yang terilham ketika dia mengembara ke Niigata [saya juga telah sampai di tempat ini] dan melihat dari tanah besar Jepun ke laut. Di situ terdapat pulau Sado.

Dalam buku "Sukma Basho Dalam Haiku" halaman 125, haiku nombor 238 terdapat haiku yang diterjemahkan begini:

Laut gelora
merentas Pulau Sadou
sang Bimasakti.

Kigo dalam haiku ini ialah Amanogawa atau sungai Bimasakti. Mungkin Melayu mengenalinya sebagai garisan bintang. Amanogawa ialah kigo musim autumn atau musim luruh. Ketika Jepun [yang berlokasi di pola utara] melalui pusingan autumn, bumi pada waktu ini bergerak paling dekat pada bintang2 yang menerawang di galaksi.

Ketika ini Basho sedang meneroka kawasan Niigata yang bersebelahan dengan pulau Sado. Dia melihat langit penuh dengan bintang-kemintang dan juga bintang-bintang jatuh [falling stars]. Pada saat itu, imaginasi Basho melihat dia berada di sebuah jambatan dan waktu itu dia sedang menyeberang sungai bintang-kemintang atau sungai bimasakti. Terilhamlah haiku ini.

*****

Friday, August 01, 2014

Kepergian

Hari Raya tahun ini paling mudah untuk keluarga saya. Walaupun anak perempuan ke-dua, berada di rumah saya, dia terpaksa uruskan anak-anak kecilnya yang 3 orang. Hari Raya bukan hari cuti awam di Jepun, makanya anak-anak kecil itu dibawa ke sekolah asuhan.
Kami suami isteri melakukan solat Aidil Fitri di dewan serba-guna di bangunan univ. seperti yang telah kami lakukan tahun-tahun sebelum ini walaupun warga muslim di pulau ini telah mendapat tanah dan telah mendapatkan sebuah kontena yang dijadikan masjid.

Disebabkan kesedihan mengenangkan nasib orang-orang Palestine yang sedang menempuhi malang dalam peperangan, saya tidak dapat bergembira sangat pada Hari Raya ini. Setakat menunaikan solat pagi raya dan makan-makan serba sedikit dengan keluarga sudah menunaikan perayaan ini untuk saya.

Hari ini [1 Ogos 2014 bersamaa 5 Syawal 1435, Jumaat] saya menerima panggilan yang membawa berita bahawa bapa saya, Haji Abdul Razak Maracoir yang sudah lama menetap di Muthupet, India, telah kembali ke rahmahtullah.
Bapa saya jatuh dan mengalami pendarahan di bahagian kepala dan otak.
Sudah sekian lama saya tidak bertemu bapa saya, kami hanya berhubung (setakat mendengar suara masing-masing) melalui telefon sahaja.

Mohon kawan-kawan panjatkan doa (tidak perlu dicatatkan di sini) untuk roh bapa saya yang sedang dalam perjalanan ke alam abadi itu. Semoga bapa saya aman di alam itu, insya-Allah. Amin. Al-fatiha.

*****