Wednesday, December 07, 2011
Aral Gendala
Selepas Seminar di Dewan (DBP), keesokan harinya, saya harus berpindah ke Seremban. Pun begitu, masih ada masa lapang pada paginya untuk bertemu dengan seorang blogger yang telah saya kenal selama 10 tahun. Cikgu Nora Fuad (novelis) membawa saya ke KL Sentral, tempat yang paling mudah untuk kami bertemu. Di situ, kami rancak berborak sambil makan di salah sebuah restoran yang tidak berapa ramai pengunjungnya.
Lazimnya dalam perancangan cuti saya yang selaunya dua bulan, saya jadualkan perjumpaan dengan beberapa orang sahabat untuk perkara rasmi dan tidak rasmi. Kenapa dua bulan? Mungkin ada yang bertanya. Tiket untuk ke Singapura hanya boleh didapatkan dengan 2 pakej sahaja di Okinawa. Sebuah pejabat pelancongan HIS menawarkan mass-booking untuk 10 hari atau 2 bulan. Tidak mungkin saya mengambil pakej 10 hari, kendatipun murah tawarannya (ini hanya untuk booking dari Okinawa sahaja, bukan dari luar Okinawa). Jadi terpaksalah saya mengambil tawaran pakej untuk 2 bulan.
Setiap kali percutian saya bermula, janji dan pertemuan dijadualkan awal-awal lagi. Pun begitu, setiap kali ada sahaja aral melintang. Teman blog yang saya kenali selama 10 tahun itu, Vimmi Yasmin, amat faham dengan keadaan saya. Selama 10 tahun ini, dia tidak menunjukkan rasa kecil hati atau dikecewakan oleh jadual saya yang tidak menentu ketika di Malaysia.
Saya kata tidak menentu sebab saya mengembara bersendirian. Saya tidak berani pergi ke lokasi-lokasi jauh sendiri. Lagi pun, saya tidak kenal peta Malaysia, bukan peta sahaja. Untuk mendapatkan tren, juga bukan mudah bagi saya yang terkial-kial berjalan sendiri. Kebiasaannya,saya dihulurkan dari teman ke teman, dari rumah ke rumah, dari kereta ke kereta. Itulah saya.
Kali ini ramai yang saya kecewakan oleh sebab masa yang terhad, perjalanan yang meletihkan, tenaga yang berkurangan selama 3 minggu berkelana berterusan dan badan yang kurang sihat.
Insya-Allah, anggaplah segala pertemuan dan perpisahan itu kuasa Allah untuk menentukan. Kita hanya perancang. Sebaik mana perancangan kita, belum tentu pertemuan boleh dijanjikan.
Mohon maaf kepada Puan Ainon Mohd., Chairman PTS kerana tidak berani ke kawasan Gombak sendiri. Saya juga telah berjanji kepada Puan Norimah Hj. Ahmad (pemilik syarikat Urut) pergi bersama ke Pulau Langkawi, apakan daya demam dan batuk saya berpanjangan, saya terpaksa membubarkan janji itu.
******
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment