Monday, December 05, 2011

Puan Hajijah Jais


Setiap kali saya balik bercuti, ada satu tempat yang tidak gagal saya ziarah. Tempat ini paksi pada segala keilmuan bahasa, rumah pertemuan setiap sasterawan dan lintasan setiap budayawan.

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya meneliti program-program yan dianjurkan semasa cutian ini. Mata ini terpacak pada sebuah iklan. Akademi Sastera. Semua dipersilakan hadir. Tidak berlengah-lengah lagi saya menghubungi pegawai yang mengendalikan acara ini. Apabila saya tiba pada pagi acara itu, saya terlihat di barisan penyambut tamu, nama saya terpampang jelas di atas senarai para tetama. Saya mendekati meja penyambut tamu.
Salah seorang pegawai bertanya, "Puan Leyla Shuri yang dari Jepun itu kah?"
"Mana dia tahu saya Leyla Shuri dari Jepun?" bisik hati ini.
Ya, memanglah nama saya sudah masuk ke dalam senarai para tetamu tapi yang pelik pegawai-pegawai di situ kenal saya!
Terasa sungguh damai hati ini apabila dikenali sebab pada anggapan saya, jika ada kemalangan menimpa pada saat itu, setidak-tidaknya saya sudah dikenali *senyum*
Saya sangat suka menghadiri apa pun acara yang dianjurkan DBP.
Pertama-tama, segala apa acara dari DBP adalah berhubungkait dengan penyampaian ilmu dan bahasa, bukan sekadar sesi kenal mengenal atau pertukaran buku.
Keduanya pula, tidak pernah saya kelaparan ketika menghadiri acara-acara dari DBP. Sehari suntuk kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan lazat bukan sekali tapi berkali-kali yang termasuk minum pagi, makan tengah hari dan minum petang sebelum bersurai. Sungguh saya kekenyangan.

Dalam acara Akademi Sastera pada hari itu, saya amat teruju dengan pembentangan kertas dari 8 orang peserta yang terbaik dari pelbagai IPT. Namun dalam kenyamanan dan kedinginan dewan itu, matanya terlena buat beberapa kalinya. Badan yang terlalu letih (tidak berehat secukupnya sejak Kembara Sastera dan Budaya seminggu sebelumnya) bersama batuk yang degil, saya berselimut dengan selendang panjang, telinga separuh berfungsi.
Selain dari itu, setiap acara yang dianjurkan DBP, para hadirin menerima berbagai hadiah sebagai iklan dari syarikat penerbit lain. Kali ini para hadirin menerima novel "Bila Nysrah kata tak mahu" karya Aidil Khalid. Tersenyum saya, gembira mendapat novel-novel ini. Sungguh tidak merugikan saya menghadiri program hari itu.


Satu lagi niat lawatan saya ke DBP adalah untuk berkenalan dengan editor Puan Hajijah Jais. Ketika masuk ke dewan acara, saya nekad untuk ke pejabat puan ini pada waktu rehat tengah hari. Alangkah terkejutnya saya, Puan Hajijah Jais selaku pengacara pembentangkan kertas pada pagi itu.

"Oh, ini rupanya orang yang mengedit novel saya!" hati ini berbisik.
Saya menantikan peluang untuk memperkenalkan diri. Waktu rehat minum pagi, saya perhatikan Puan Hajijah turun dari pentas. Bergegas saya berjalan menuju ke arah beliau.

"Assalamualaikum, Puan Hajijah!"
"Waalaikum salam," jawabnya dengan wajah kosong merenung saya.

"Saya Leyla Shuri dari Okinawa, Jepun. Kita sudah beremel-emel beberapa kali!" balas saya, kesian pula melihat beliau seperti orang keliru dan cuba mencari dalam kotak fikirnya identiti saya.

"Oh, Puan Leyla! Kenapa tak bagitahu nak datang!" suaranya ringan setelah mengenali saya.

Setelah habis minum pagi, saya dibawah ke pejabat beliau. Kami berbincang tentang manuskrip saya yang telah tamat disuntingkan pada bulan Ogos 2011.

Saya menyentuh darihal novel yang baru diterbitkan DBP berjudul "Air Mata Raja", tebalnya sebanyak halaman 945.


Selesai sesi penyampaian hadiah, sebaik sahaja habis minum petang, saya bergegas ke Kedai Buku DBP yang tutup pada jam 5:30 petang, walaupun terasa bersalah mengingatkan Puan Hajijah ingin berjumpa saya sekali lagi selepas program hari itu. Masa tutup kedai sudah hampir dan saya merayu agar diberi sedikit masa mengimbas tajuk-tajuk yang ada.


Dalam kesuraman ruang buku itu (tak sabar penjual ingin menutup kedai), saya memilih beberapa majalah keluaran DBP. Menyusur rak-rak buku, saya amat terkejut melihat novel saya bersama judul-judul lain dari syarikat penerbit KarnaDya, dipamerkan juga.

Mohon maaf saya kepada Puan Hajijah Jais, kerana singkatan waktu, tidak dapat kita berjumpa pada petang itu lagi.

*******

No comments:

Post a Comment