Friday, December 23, 2011

BENTOU-Berita Minggu



Terbitan Berita Minggu, Singapura (Ahad 20 November 2011)

CAMPURAN IKAN, ISI KETAM DAN SAYUR-SAYURAN: "Bentou" menjadi kegemaran kanak-kanak di Jepun kerana hidangannya ringkas. (Photo from Ayumi Asada)

MI UDON GORENG: Bagi anda yang pernah makan mi udon, mungkin hidangan "bentou" mi udon goreng di atas sedikit berbeza. Ia dilengkapi dengan telur "mata lembu" dan dijadikan makan bekal ke tempat kerja atau ke sekolah. (Photo from Ayumi Asada)

CAMPURAN IKAN, DAGING AYAM DAN SAYUR: Beginilah keadaannya hidangan "Bentou" di atas yang menyeidakan bahan-bahan bekal yang berkhasiat. (Photo from Ayumi Asada)

Dalam keadaan serba-serbi mahal sekarang ini, lebih menjimatkan jika kita membekalkan makanan untuk suami yang keluar bekerja ataupun anak-anak yang ke sekolah. Makanan yang dimasak di rumah lebih bersih dan lebih berkhasiat kerana kita sendiri boleh menentukan bahan-bahan yang digunakan. Minggu ini, kami siarkan rencana mengenai "bentou" yang dalam bahasa Jepun bermaksund makanan yang dibekalkan dalam bekas bertutup. Ia kiriman seorang wanita Melayu asal Singapura yang bernikah dengan warga Jepun dan telah 29 tahun tinggal di Okinawa, Jepun. Walaupun menyediakan "bentou" bukan merupakan budaya Melayu, tip yang diketengahkan Cik Leyla Shuri ini boleh dijadikan panduan apabila anda menyediakan bekal makanan untuk keluarga.
BAWA "BENTOU" LEBIH SIHAT DAN JIMAT

         Suri rumah di Jepun bangga jika dapat sediakan bekal makanan untuk suami ke tempat kerja dan anak-anak ke sekolah.

Kebolehan menyediakan bentou yang berkhasiat dan beraneka macam dan warna adalah sesuatu yang dibanggakan oleh suri-suri rumah di Jepun. Menyediakan bentou telah diterapkan ke dalam budaya Jepun sejak awal sejarah negara itu. Amalan ini masih dipraktikkan dalam rutin harian orang Jepun sekarang.

Ada beberapa perkara yang harus diperhatikan bagi menyediakan makanan untuk bekalan.
  1. Menu perlu difikirkan lebih awal. Setelah membuat pilihan menu, langkah seterusnya ialah persiapan ringkas untuk memudahkan proses memasak. Persiapan ringkas seperti membasuh dan memotong sayur, mengeluarkan daging dari peti sejuk perlu dilakukan pada malam sebelumnya untuk tidak mengambil masa memasak pada awal pagi.
  2. Menyediakan bekas. Terdapat pelbagai jenis di pasaran. Jika membekalkan nasi goreng, mi spageti atau mi goreng, seelok-eloknya diisikan ke dalam bekas segi empat tepat atau empat segi bujur. Kotak khas untuk membalut sandwic adalah ideal untuk roti sandwic.
  3. Bahagikan tiga ruang dalam bekas-setengah untuk nasi, suku untuk daging, ikan atau telur dan  baki suku bahagian untuk sayur.
  4. Makanan harus dimasak dengan sempurna. Elakkan mengisi telur separuh masak. Makanan yang tidak dimasak dengan sempurna menjadi tempat bakteria membiak dan ini mengakibatkan keracunan dalam makanan. Jika menggunakan lauk-pauk yang dari baki hidangan, ia perlu dipanaskan dengan sempurna untuk dijadikan bekal.
  5. Buang air yang berlebihan pada sayur seperti salad atau lauk yang berkuah. Ini amat penting sebab air atau kuah yang berlebihan boleh merosakkan rasa lauk yang diisikan di bahagian lain dalam bekas itu. Langkah yang lebih baik adalah mengasingkan makanan yang berkuah ke dalam bekas lain.
  6. Buang minyak yang berlebihan. Minyak yang berlebihan jika dibiarkan akan menjadi tepu. Jika minyak pada bahan-bahan goreng seperti ayam goreng tidak ditos, dagingnya akan menjadi liat. Minyak yang berlebihan itu juga boleh merosakkan rasa pada lauk-lauk lain.
  7. Pastikan makanan bekal itu betul-betul sejuk sebelum ditutup bekasnya. Jika bekal makanan itu ditutup dalam keadaan masih panas, ia akan memerangkap wap. Wap ini pula menjadi air yang bertakung pada penutup bekal itu. Selain akan merosakkan rasa makanan yang ada, penutup bekal yang berwap menjadi sukar untuk dibuka sebab tekanan kuat daripada wap yang terperangkap di dalamnya.
  8. Jangan biarkan ruang kosong. Jika terdapat ruang-ruang kosong, tempat itu perlu dipenuhkan dengan tomato mini atau lain-lain makanan yang sesuai. Makanan bekal itu akan dibawa ke tempat kerja atau sekolah. Pergerakan atau goncangan dalam perjalanan boleh menyebabkan makanan dalam bekas itu berpindah tempat jika ada ruang-ruang kosong. Ini mengakibatkan makanan bercampur aduk. Untuk mengelakkan kejadian ini, ruang-ruang kosong perlu penuhkan.
  9. Di Jepun, bekas makanan dibalut dengan kain. Simpulan pada kain itu boleh dijadikan pemegang. Kain itu kemudian dijadikan alas dan berfungsi sebagai menahan sisa makanan daripada berselerakan. Perlu juga disediakan sudu atau garfu.
Cadangan untuk lauk-pauk.
  1. Bahan rebusan atau panggangan lebih berkhasiat dari yang digoreng. Mi spageti yang digoreng lebih elok daripada mi spageti yang bersos.
  2. Telur adalah bahan yang paling mudah untuk dijadikan bahan bekal. Telur boleh digoreng atau direbus. Daging cencang boleh digoreng bersama nasi atau mi. Daging cencang juga boleh dijadikan bebola dan burger atau digoreng bersama sayur untuk khasiat protein.
  3. Sayur bayam sangat tinggi dengan khasiat kalsium/besi dan vitamin. Sayur ini elok digoreng atau direbus. Kulit tauhu adalah bahan berkhasiat. Ia boleh digoreng bersama sayur atau dilapiskan dengan daging dan ikan. Tomato mini mengandungi vitamin C di samping berfungsi sebagai menutup ruang kosong. Warnanya yang merah menyala itu juga menambahkan seri pada makanan. Bijirin hitam lazimnya digunakan di Jepun sebagai bahan taburan ke atas nasi untuk menambah warna pada makanan. Bekal yang mengandungi roti menjadi sempurna jika ditambahkan sayur dan telur atau bahan tidak berair. Makanan yang sudah masak dan dibekukan amat mudah disiapkan.

Nota: Penulis, asal Singapura, kini tinggal di Okinawa, Jepun.

============================================

2 comments:

  1. Salam Leyla...

    I missed Hokka Hokka Bentou a lot. Menunya ringkas tetapi berkhasiat. Price also reasonable too.

    ReplyDelete
  2. salam bawang goreng,
    heroine seorang gadis Jepun dalam novel Pulut Sakura Serunding Kasih bekerja di hokka hokkan bentou.

    ReplyDelete