Friday, December 02, 2011
Alor Setar
Perjalanan kami balik dari Kembara Sastera dan Budaya ini sekali lagi melanggar jadual.
"Hari balik nanti, saya ingin tempah tiket KTM malam balik ke KL," saya kata kepada Puan Amelia Hashim (seorang penulis novel dan skrip drama yang tinggal di Jitra, Kedah).
Puan Amelia rasa cadangan itu elok dibatalkan kerana tidak yakin dengan jadual perjalanan kami. Hah, memang tepat sudah rasa firasat hati Puan Amelia. Sesampai saja ke Alor Setar semula, jarum jam menunjukkan 8 malam. Memang tidak sempat meneruskan perjalanan dengan KTM yang berlepas dari stesen Alor Setar jam 7.35 malam.
Saya bermalam di rumah Puan Amelia Hashim.
Keesokkan hari saya dibawa bersarapan dan terus dibawa ke rumah Cikpuan Jasmindar Aziz, seorang guru mengajar bahasa Inggeris yang sudah saya kenal di alam blog mungkin selama 7-8 tahun.
Cuti sekolah hujung tahun sudah bermula pada hari itu juga dan cikpuan Jasmindar berbesar hati ingin membawa saya melihat perkampungan dan sawah padi Bukit Jerai dan kawasan sekitarnya.
Sebenarnya inilah pertama kali saya melihat kawasan utara Malaysia.
Kami melunsur sebatang jalan dari utara ke selatan mengikuti pesisiran laut. Nama-nama jalan yang yang kami lalui Jalan Yan, Ruat, Tanjung Jaga dan Singkir.
Dalam perjalana kami mencari gerai untuk makan tengah hari, saya terlihat gerai-gerai kecil di sisi laluan. Saya minta berhenti sebentar.
Rupanya gerai-gerai ini menjual nira, minuman dari manisan pokok nipah, yang dihasilkan dari pelepah muda pokok-pokok ini (kalau tak salah saya).
Nira
Malangnya saya tidak dapat menghabiskan minuman ini yang dihidangkan dalam gelas tinggi. Rasanya ada sedikit masam dan manisnya pula melebihi tahap saya.
"Minta maaflah, Jasmindar, saya tidak boleh habiskan air ini!"
Jasmindar membawa kami ke sebuah gerai yang menghidangkan ikan semilang. Naim gulai semilang, saya terbaca pada iklan yang terbentang di hadapan kedai itu yang bertempat di Sungai Pial di Tanjung Dawai. Bersama kari ikan semilang, mereka hidangkan juga sejenis pucuk daun sebagai ulam. Bila ditanya jenis daun itu yang tidak pernah saya lihat lagi, dikatakan sebagai daun tenggek burung. Daunnya kelat untuk dicecah dengan belacan. Bekas hidangan besar dan puas juga kami habiskan lauk-lauk itu.
Akhirnya, saya menghabiskan ikan-ikan yang berbaki. Memang saya kurangkan nasi, jadi masih ada ruang lagi untuk saya mengisi lauk-lauk.
Selepas makan, kami ke menjenguk sebuah jeti di Sungai Pial. Sebelum ke jeti ini, kami berjalan kedai-kedai yang berderetan menjual pelbagai ikan yang telah dikeringkan.
Petang itu saya berehat-rehat bersama keluarga cikpuan Jasmindar sebelum dihantar ke stesen Alor Setar untuk perjalanan dengan KTM ke KL Sentral.
Terima kasih Cikgu Jasmindar dan Puan Amelia Hashim, sudi menemani dan menunjukkan keindahan kawasan damai di sekitar rumah mereka.
*******
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment