Wednesday, January 21, 2009

Tatkala ber"Nafas dari Lembah Atar"

Saya menerima buku ini beberapa hari sahaja selepas ianya di pasaran.
Buku ini bertajuk "Nafas dari Lembah Atar - Pertemuan dengan 30 tokoh-tokoh sejarah" karya penulis/penyusun Darma Mohammad.

Pernah tak apabila membaca sesuatu hadis atau cerita-cerita berunsur agama, kita dipaparkan dengan nama-nama sahabat Rasulullah SAW dan tatkala membaca itu, kita ingin tahu latar-belakang atau peribadi serta puncak-puncak penting kehidupan sahabat-sahabat itu?
Siapakah Salman Al-Farisi r.a, Sa'ad bin Abi Waqqasy r.a, Miqdad bin 'Amr r.a. dan banyak lagi tokoh-tokoh lain yang sering menjelma dalam riwayat Rasulullah SAW.
Buku ini menemukan kita dengan 30 orang tokoh-tokoh sejarah dalam era perkembangan awal Islam.
Setiap pertemuan [setiap Bab] dicatatkan bersama dua rangkai mafhum dari ayat-ayat suci Al-Quran dengan mengimbas kembali sejarah mereka.
Kita juga dihidangkan dengan pemikiran mereka bersama catatan refleksi daripada pengarang dan tafsiran kehidupan mereka.

Salah satu petikan (dari buku ini) mafhum fikiran dari Abu Darda' r.a yang berkata,
" 1) Orang tidak mungkin mencapai tingkat muttaqin, apa bila tidak berilmu. Apa guna ilmu, apabila tidak dibuktikan dalam perbuatan.

2) Kebaikan bukanlah kerana banyak harta dan anak-pinakmu tetapi kebaikan yang sesungguhnya ialah bila semakin besar rasa santunmu, semakin bertambah banyak ilmu, dan kamu berpacu menandingi manusia dalam mengabdi kepada Allah Ta'ala. "

Setiap seorang tokoh-tokoh sejarah ini diiringi dengan secebis Sentuhan Jiwa dari penulisnya, berupa puisi bernafaskan Islam.
Salah satu Sentuhan Jiwa yang amat berkesan pada saya tertulis di halaman 95 bertajuk Menusuk Kalbu.

"Suara itu seakan datang menyelinap ke ruang kamar
membawa sejumlah ayat-ayat Suci/ayat-ayat kebenaran. Ayat-ayat Tauhid.
Ayat-ayat tentang kehidupan, tentang kematian."

Siapa yang tak tertegun mendengar alunan kebenaran
di tengah hening, di tengah sunyi. Menusuk lunak ke benak kalbu menebarkan khabar gembira kepada orang yang beriman dan menitipkan peringatan kepada orang yang lupa tentang kebesaran Tuhan Maha Pencipta.

Alangkah merdunya suara itu
bermain-main di kamar
menabur butir-butir narwastu
di taman sanubari.

Pintu kalbu terbuka untuk mendengar bisikan terunggul dari segala bisikan yang pernah berbisik dari segala pelusuk pulau dari segala lereng gunung, dari segala ufuk laut, dari segala benak belantara, dari segala rambut kabut,
Kerana bisikan terunggul itu tidak lain daripada bisikan... "

Kalau nak tahu bisikan itu, buku ini sudah ada di pasaran.

Pembaca yang berminat kepada puisi bernafas Islam dan mafhum ayat-ayat suci akan mendapat hidangan yang lazat dari kreativiti penulis ini pada setiap catatan Sentuhan Jiwa [30 puisi semuanya].

Di kulit belakang buku ini tertulis "buku ini dipersembahkan kepada pembaca sejarah yang ingin berkelana di dunia perjuangan para sahabat Rasulullah SAW dengan segala keunggulan peribadi dan nilai-nilai batin yang sukar dicabar. Para sahabat itu hidup dalam dunia indah yang dirumus oleh Islam, sekaligus getir bergulat dengan ancaman musuh-mush Islam. Pembaca juga dipelawa menghirup pemikiran dalam bentuk yang lebih berseni, dengan hidangan puisi-puisi yang bernafaskan keislaman mengiringi setiap tokoh sahabat yang dibicarakan. Inilah bentuk dan ciri khusus yang sengaja ditampilkan oleh penulis di dalam pengkisahan sejarah para sahabat tersebut. "

3 comments:

  1. Thanks Kak Lela...saya nak cari buku ni...Insyaallah..

    ReplyDelete
  2. saya pun nak cari buku tersebut...TQ kak

    ReplyDelete
  3. lama tak baca buku macam ni.... kena pi cari juga ni, pengisian rohani :)

    ReplyDelete