Wednesday, June 29, 2011
Tanjong Pagar Station
Mengabadikan stesen Tanjong Pagar yang menamatkan khidmatnya pada 30 Jun, 2011. Dalam kenangan sejak umur 4 tahun, saya masih tidak lupa setiap kali berulang-aik dari Singapura ke Stasen Tampin.
Sejak stesen ini mula berfungsi tidak banyak perubahah pada bangunannya. Pagar lipat yang memisahkan ruang platform dengan ruang menanti masih sama. Bangunan kolonial ini masih kekal mengarcakan patung-patung di bahagian hadapan.
Perbezaan yang ketara terdapat pada tandasnya. Dulu tidak disediakan air basuh dalam tandasnya. Bila dikenangkan semula, saya cuba menahan sehabis-habisan hanya untuk mengelakkan pergi ke tandas itu. Tapi sekarang, tandasnya berbayar. Ada juga satu ketika saya mengadu kepada penjaga tandas yang berbangsa Hindu.
"Sudah bayar pun ini jamban bau jugak, lu buat apa sini? Kita bayar apa?"
Dia jawab, "Lu mau masuk, lu masuk. Tidak kalu, lu jangan masuk. Lu punya duit tidak besar apa pun!"
Bila saya mengadu kepada pegawai KTM, jawabnya, "Itu bukan kawasan kito kak. Itu orang lain jago!"
Naik darah saya, "Kan dalam bangunan ini juga? Bangunan ini kan KTM punya!"
Satu lagi yang dimodenkan adalah kaunter menempah tiket. Sekarang dah ada komputer dan berhawa dingin. Senang hati tengok pegawai-pegawai bertugas dengan selesa.
Setiap kali balik bercuti, saya menggunaka khidmat tren KTM sebab rasa lebih selamat ketika mengembara bersendirian. Tren pagi berlepas Stesen Tanjong Pagar pada 8 pagi dan melucur terus ke stesen Johor Bharu. Nampaknya dalam video ini JB Sentral telah dibuka untuk tren KTM. Tahun-tahun sebelum ini saya meninjau stesen JB lama yang selekeh dan buruk dari tingkap kaca sahaja.
Saya tidak selesa menggunakan bas untuk perjalanan jauh. Hendak-hendak lagi mengenangkan perangai pemandu bas perjalanan jauh di Malaysia. Kerap saya guna tren malam dari KL balik ke Singapura. Mengambil air wuduk dalam tandas yang berbau dan sempit. Biasanya saya simbah air sekeliling tandas dan seterusnya mengerjakan solat fajar duduk di atas tilam bunker.
Saya ingat pada satu ketika masuk ke pejabat KTM Stesen Tanjong Pagar dan menanyakan barang yang saya lupa (tertinggal dalam tren). Pegawainya bertutur dengan loghat orang negeri, dengan segala kepekatan bahasa negori. Saya apa lagi, berbual rancaklah mengikut loghat itu. Mana lagi di Singapura kalau ingin mendengar orang berbual dalam bahasa neghori kalau tidak di stesen ini.
KeMelayuan stesen ini amat menonjol. Mengelamun sedih diri ini mengenangkan ia akan hilang menjadi halaman dalam buku sejaran.
Selamat Tinggal Stesen Tanjong Pagar.
*****
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
salam kenal akk...baru ari bi baca blog akk..tertarik nak komen....mmmmuntuk pertama kalinya saya ke Singapore semata-mata ingin menikmati perjalanan ke Singapore menaiki keretapi pada 24/6/2011 sebelum ianya ditutup...sedih dan sayu rasa,walaupun itulah kali pertama saya ke Singapore menaiki keretapi.....
ReplyDelete