Tuesday, December 31, 2013

Malam 2014


Minggu terakhir tahun 2013, cuaca di tempat ini mendung berselang seli gerimis musim sejuk. Orang dalam gambar itu sangat bosan, rasa terperangkap dalam rumah. Tugas orang itu banyak di luar rumah, berkebun dan berkemas kawasan di luar rumah.


Sebaik sahaja cuaca cerah semula, orang itu kata "Rera, kalau terjadi apa-apa, engkau telefon 119."
Lantas orang itu panjat tangga naik ke bumbung, membersihkan lorong-lorong air yang tersumbat dengan pasir dan lumut. Jiran saya keluar dan kami sama-sama menonton orang itu bekerja sambil berteriak-teriak amaran kepada orang itu, "abunai yo, abunai yo" (bahaya, bahaya).




Seperti tahun-tahun lepas, kami membersihkan rumah bapa suami sebab anak, cucu dan cicitnya akan datang menziarah. Salah satu tugas yang sangat seronok ialah menyusun bunga hiasan. Sebelum itu kami terpaksa ke pasar sayur mendapatkan bunga-bunga hiasan itu. Terasa bahang perayaan apabila berebut-rebut dalam pasar sayur.


Pada malam menyambut tahun baharu, adat orang Jepun makan mi. Tak kira jenis mi, udon atau soba.
Pada mereka, mi yang panjang itu bagai jambatan yang menyambung tahun lama ke tahun baharu. Pada saya asalkan tidak melanggar akidah dan kepercayaan bahawasanya agama itu Islam dan tuhan yang disembah itu Illahi yang Maha Segalanya, tidaklah salah mengikut berseronok sama.

Itu gambar mi udon bersama rumput laut dengan tenpura sotong dan kacang buncis. Selepas makan malam yang terakhir untuk tahun 2013, dengan meja kotatsu, kami tonton siaran Kouhaku atau Pesta Lagu Merah dan Putih. Siaran hiburan yang bermula dari 7.15 mlm hingga larut 12 mlm ini ialah pertandingan lagu antara perempuan dan lelaki.
Seluruh Jepun ikut menyertai pilihan menentukan kemenangan dengan menekan butang "remote control" pada akhir pertandingan ini.

*****

Monday, December 30, 2013

Bingata TV3




 Nov. 28-29, 2013 was working with TV3 Malaysia crew as translator for a documentary on Bingata. Bingata is the traditional attire of the people of Okinawa, which is somewhat similar to Batik of Malaysia and Indonesia.

28-29 Nov. lalu bertugas bersama krew TV3 Malaysia dalam program dokumentari Bingata Okinawa (Bingata atau batik) sebagai juru alihbahasa.
Siaran dokumentari ini dijadualkan siarannya pada tarikh 30 Dis. 2013, TV3, Isnin, 9mlm
Selamat menonton.

*****

Tuesday, December 24, 2013

Mesyuarat Meja Panjang


Semalam (23 Dis. 2013) cerpen saya berjudul Mesyuarat Meja Panjang disiarkan di akbar Berita Harian, Singapura.
Cerpen ini berkisar dari adegan-adegan peribadi dalam hidup saya di rantau orang. Saya pernah menjadi pembawa pelancong untuk pelawat dari Singapura. Cerpen ini terilham dari masalah pemakanan pelancong beragama Islam di pulau ini.

Watak yang bernama Zaleha itu ialah saya dan saya sangat gerun dengan boss gergasi itu. Alhamdulillah, tugas saya sebagai pembawa pelancong hanya sementara.

*nama-nama dalam cerpen ini hanya khayalan penulis*

Selamat membaca.

*****

Monday, December 16, 2013

北のカナリヤたち


Kita no Kanaria-tachi diterjemahkan sebagai "A chorus of Angels", walaupun tidak menyebut "angels" dalam tajuk ini. Kanaria ialah burung kenari (tidak catat dlm wiki Melayu). Tajuk ini bermaksud "Burung-burung Kenari di Utara".
Ini menjadi masalah penterjemah. 

Tajuk ini ialah dari salah sebuah novel Jepun. Kalau penulisnya ingin tajuk berbunyi "A chorus of Angels", tentu dia memilih tajuk itu.
Menukar tajuk yang maknanya sangat berbeza dari tajuk asal rasa saya tidak memberi kehormatan kepada penulis itu atau membelakangkan keprofesionalisma penulis itu.
Saya tidak setuju jika ini berlaku kepada novel-novel saya. 

http://www.japantimes.co.jp/culture/2012/11/02/films/kita-no-kanariatachi-a-chorus-of-angels/
(Imej dari wiki Indonesia)

*****

Friday, December 13, 2013

Ryujin Mabuya


Thursday, December 12, 2013

Telefon dinding

Semalam tarikh 11 Disember 2013. Bila direnungkan nombornya yang bersekuans, 11.12.13, macam menarik je, macam cantik je (entah apa trend di Malaysia, saya dapati ramai yang guna ayat begini di Facebook).



Ini ialah telefon dinding yang digunakan orang-orang di Jepun pada tahun 1922 hingga digantikan dengan model-model lain selepas itu.
Saya merujuk kepada model telefon ini dalam garafan novel Pagi Semerah Daun Momiji.

Link: http://park.org/Japan/NTT/DM-/html_ht/HT909010_e.html
"Following Kyoto, the common-battery system was adopted in Tokyo, Osaka and part of Nagoya in the forty-second year of the Meiji Period(1909). By that time, deteriorating line insulation had been overcome by the development of enamel wires, and until 1922, one system after another was replaced by the common-battery system. No.2 common-battery telephone was the first domestic common-battery telephone."
Selamat membaca.



*****

Tuesday, December 10, 2013

Kunci


Buku ini diberi oleh seorang penulis yang mendapatkannya di kedai M.I. Al-ihsan, Jalan Tengku Putra Semerah, Kota Bharu, Kelantan dengan catatan nombor telefon 22797.
Kawan ini mendapatkan buku ini pada tarikh 1 Mei 1979 yang dicetak oleh Utusan Publications & Distributions pada tahun 1978. Masa itu nombor telefon Kumpulan Utusan ialah 920170/923380.

Adakah lagi kedai buku ini di Kota Bharu?

Buku ini diterjemahkan oleh Ainon Muhammad dan dicetak pada tahun 1978.
Saya masukkan buku ini ke dalam Goodreads sebagai satu rekod untuk mencatatkan yang buku ini pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Saya percaya kita perlu mendokumentasikan perkara begini.

Buku ini berkisarkan buku harian yang dicatatkan oleh sepasang suami isteri. Suami isteri ini berkomunikasi melalui catatan dalam buku harian, masing-masing membaca catatan yang lain dengan sulit (walaupun mereka rasa catatan harian mereka dibaca oleh yang lain) untuk menerangkan keinginan dan melepaskan perasaan.

Jangan tanya saya kiranya inginkan buku ini.

*****

Thursday, December 05, 2013

Pam air

Cerita dalam novel Pagi Semerah Daun Momiji banyak mengambil latar dan gambaran di Jepun. Untuk para pembaca di luar Jepun, memang sukar untuk melihat gambaran objek-objek yang ditulis dalam novel berkaitan budaya dan cara kehidupan orang Jepun.
Menulis sesebuah ceritera perlu membawa imaginasi para pembaca bersama. Objek yang ditulis perlu ditunjukkan, bukan sekadar memberi nama kepada objek itu dalam pergerakan adegan dalam novel tersebut.



Pam air ini saya gunakan dalam novel Pagi Semerah Daun Momiji. Penulis perlu membuat kajian kepada objek yang digunakan agar ia tidak lari dari era atau zaman yang tertakluk pada catatan dalam novel tersebut.
Pam air dalam imej ini digunakan oleh orang Jepun (tak kira di kampung atau bandar) sebelum saluran air menggunakan paip digunakan. Hampir setiap rumah ada perigi. Sebelum pam air ini dicipta, perigi hanya menggunakan tali dan timba (bekas mengisi air).
Sekarang perigi ini masih berbaki. Perigi lama ini dikekalkan untuk menyiram taman/kebun atau untuk hari kecemasan bilamana bekalan air terpotong. Cumanya pam sekarang memakai generator yang menggunakan tenaga elektrik untuk menyedut air dari dalam perigi. 

Image courtesy Puan Marlina Ibrahim [urutoranohihi.blogspot.com]

*****

Sunday, November 24, 2013

Maklum balas daripada pembaca novel "Pagi Semerah Daun Momiji"



Saya rasa segala maklum balas atau kritikan daripada para pembaca perihal novel ini sangat bernilai bagi diri saya untuk mempertingkatkan lagi taraf penulisan. Saya kutip yang ditulis dalam Facebook atau laman-laman peribadi bersama nama-nama penulisnya (saya tidak buat pemberitahu kepada penulis komentar itu).
Saya mulakan dengan catatkan komentar pertama hingga yang terkini dalam sudut ini.


4. Darma Mohammad (23 Nov. 2013) Facebook: "Perincian latar dan suasana memberi kesan yang baik dalam penulisan novel ini. Wassalam."

*****

3. Datuk Yussof Ahmad (23 Nov. 2013) Facebook: " Leyla Shuri menceritakan kesan ledakan bom atom di Hiroshima seolah olah dia betul berada disitu semada (semasa) ledakan itu berlaku. Chapter 5 Pagi Semerah Daun Momiji."

*****
2. Datuk Yussof Ahmad (22 Nov. 2013) Facebook: "Membaca nobel Pagi Semerah Daun Momiji karya Leyla Shuri membawa kita kemasyarakat Jepun di zaman Perang Dunia Kedua. Sedap ceritanya. Hanya banyak sangat perkataan Melayu yang saya tidak pernah dengar. Memanglah itu kelemahan saya sendiri. Pernahkah tuan dengar/baca perkataan seperti (di muka surat pertama sahaja)
menebarkan, pelipis, beting, metah, merembes dan menancap?
Apa pun saya masih memahami jalan cerita yang menarik nobel ini.
Saya perhatikan penulis suka benar menggunakan perkataan "usai" berulang ulang kali!"


Komen saya: Perkataan "usai" yang pertama saya guna dalam novel ini terdapat di halaman 20, bukan pada bab pertama. Perkataan "usai" digunakan berganti-ganti dengan perkataan "lepas" dalam novel ini untuk kelainan dalam pembentukan dan susunan ayat.


 *****

1. Yohanna Abdullah (29 Okt. 2013) Facebook: " Pertama sekali saya baca buku ini saya tertanya-tanya bila akan terjadi aksi. Bila is terjadi is merupakan bom atom yang meletup di Hiroshima dan ini merancakkan jalan cerita ke akhir buku ini yang tidak lepas dari bab cinta di antara dua budaya yang dikupas secara terperinci lagi puitis. Syabas Leyla Shuri."

*****


Wednesday, November 20, 2013

Kimigayo



 Ini ialah nyanyian lagu kebangsaan Jepun, Kimigayo atau maksudnya "seperti kamu". Kimi ialah panggilan untuk kanak-kanak, pelatih atau orang yang lebih muda daripada pemanggilnya.
Dalam lagu kebangsaan ini, Kimigayo mungkin dimaksudkan pada gunung, kerikil atau lumut dalam lirik lagu ini.

Lagu ini bukan mantera. Ia tiada unsur-unsur keagamaan rakyat Jepun. Ia juga bukan membangga-banggakan Maharaja Jepun. Bila ditelitikan liriknya lagi, ia menyebut tentang gunung, kerikil dan lumut. Ada berbagai maksud tersirat dalam makna lirik lagu ini dan setiap orang boleh mentafsirnya sendiri.


Pada halaman 150 dalam novel Pagi Semerah Daun Momiji, saya tuliskan terjemahan lirik lagu ini, yang asalnya berbunyi begini (hlm 149).

"Kimigayo wa
chiyo ni yachiyo ni
sazare ishi no
iwao to narite
koke no musu made"

Lirik lagu kebangsaan ini dipetik dari sebuah tanka (sejenis puisi Jepun) yang pengarangnya tidak dikenali. Asalnya negara Jepun tidak punya lagu kebangsaan.
Bagaimana lagu ini dilahirkan?
Sejarah lahirnya lagu ini telah saya catatkan dalam novel PSDM.

Selamat membaca.

*****

Sunday, November 17, 2013

さぽじら sapodilla

Orang Jepun di Okinawa (mungkin orang Jepun di pulau besar tak tahu pohon ini) memanggil pohon ciku, sapojira. Tapi saya tak tahu orang mana yang mengelar dengan panggilan sapodilla.


Saya dapatkan pohon ciku ini dua minggu lepas ketika ada pameran produk perindustrian dan tempatan Okinawa. Penjualnya sepasang suami isteri dari Taiwan. Kata penjual itu sapojira, sapojira. Saya kenal ini pohon ciku dan setelah membelek tag pada pohon itu, rasa pasti pohon ini ialah pohon buah ciku.

Insya-Allah pohon ini akan membuahkan banyak hasil, amin.

*****

Tuesday, November 12, 2013

結婚祝い

 Dalam kenduri walimatulurus orang Islam kita tidak dikehendakkan memberi hadiah dalam bentuk wang. Walau bagaimanapun saya teringat satu sirah Nabi Junjungan kita berkahwin hanya dengan menjamu air dan buah kurma kepada tetamunya. Salah seorang daripada tetamu pada hari itu membawa makanan dan bahannya dimasak untuk semua tetamu yang datang. Saya sudah tidak ingat nama tetamu perempuan yang membawa makanan itu.

Dalam budaya orang Jepun, memberi hadiah walimatul ialah bertujuan untuk menyediakan pasangan pengantin itu. Hadiah dalam bentuk wang atau perkakas diberi agar dapat membantu kehidupan baharu dalam alam perkahwinan pasangan itu.

Lazimnya hadiah dalam bentuk wang dimasukkan dalam sampul yang berhias seperti dalam gambar ini. Walau bagaimanapun hiasan bagi sampul untuk "kenkon iwai" (tulisan kanji dalam tajuk) amat berbeza, ini termaktub dalam peradaban budaya Jepun. Sampul yang berhias cantik seperti ini hanya untuk hadiah wang yang berjumlah mahal. Hadiah wang yang tidak mahal menggunakan sampul lain yang tidak berhias atau kurang hiasannya.

Jadi berhati-hatilah jika memilih sampul hadiah untuk walimatulurus orang Jepun.

*****

Thursday, October 31, 2013

Fon bimbit





Saya, yang tinggal di Jepun, negara yang termaju di dunia, saya (sekali lagi) tidak punya fon bimbit. Ada orang bila tahu saya tidak punya fon bimbit, terkejut.
Saya juga rasa pelik bahawasanya saya tinggal di negara termaju tapi tidak punya fon bimbit.
Banyak tugas-tugas rasmi sekarang memerlukan nombor fon bimbit. Ambil saja catatan di bawah ini ketika saya perlu menukar setting dalam google.


 "You must verify your mobile phone number by entering a code sent in a text message (SMS), before you can claim a custom URL."

Saya tidak punya "mobile phone" dan tidak dapat teruskan tugas ini. Bukan ini saja, banyak lagi sebelum ini tugas saya terhalang kerana tidak mempunyai fon bimbit.

Walau bagaimanapun, saya tidak pernah berasa tugas-tugas penulisan saya tersekat kerana tidak mempunyai fon bimbit. Segala hubungan yang saya lakukan lewat internet. Jika terdesak untuk menggunakan telefon juga sebagai keperluan dalam tugas-tugas, saya gunakan telefon skype.

Gambar telefon di atas itu seperti alat yang ada di rumah saya, fax dan fon bersama. Sudah 18 tahun kami gunakan. Zaman sebelum internet, saya menggunakan fax sebagai alat penghubung. Selepas e-mel dan internet menjadi kelaziman, fax itu tidak berfungsi lagi. Adik saya sudah menukar fon di rumahnya 3 kali tapi rumah saya masih gunakan alat yang sama.

Mungkin harinya akan tiba juga bila saya terpaksa dapatkan fon bimbit tapi selagi masih boleh bertahan tanpa alat ini, itu satu cabaran bagi saya.


Photo courtesy of Seshamo.com

*****

Sunday, October 27, 2013

Sinopsis Novel "Pagi Semerah Daun Momiji".


Novel ini mengisahkan pergolakan kehidupan di Jepun yang mengalami letupan bom atom di Hiroshima. 

Datin Hajijah Jais (Editor dan Penyunting Novel-DBP): 
"Novel ini mampu meninggalkan kesan yang lebih positif terhadap tanggapan negatif seseorang yang berkaitan penjajahan kuasa besar di rantau ini. Saya lebih suka melihatnya dari segi dua latar tempat yang berbeza, dua latar suasana yang juga berbeza dalam satu latar masa yang sama. Suka juga melihat fitrah kehidupan manusia: mengapa manusia jadi jahat? Dalam jahat masih ada manusia yang baik dan berhati mulia. Teruskan menulis tentang cinta dua negara ini, Puan Leyla. Ia bukan cinta murahan tetapi lebih kepada pertembungan dua budaya yang berbeza...juga pengisian ruang kasih sayang selepas perkahwinan. Pengalaman peribadi puan amat berguna dan mampu menjadikan garapan cerita lebih berkesan. Ikhlas." 

Bagaimanakah akhirnya kehidupan seorang askar Jepun, Masatoshi yang ditinggalkan di Kelantan setelah tentera Jepun berundur.

Selama keluaran novel ini saya sengaja tidak mencatatkan sinopsis novel ini. Sebenarnya saya menantikan reviu buku ini daripada pembaca. Saya akan kumpulkan semua reviu  dalam Page Buku Facebook "Pagi Semerah Daun Momiji".
Pada Page ini juga saya akan buat petikan-petikan dari buku ini (seperti terjemahan lagu negara Jepun), ulasan haiku-haiku dan maksud glosari yang saya gunakan dalam novel ini.

Selamat membaca.


*****

Sunday, October 20, 2013

Pelancaran kecil

Pada 20 September 2013, saya menerima mesej peribadi dalam kotak Facebook daripada Puan Asiah bt Daud yang menyatakan bahawa novel ini sedang dicetak dan apabila sudah terbit, saya akan dimaklumkan lagi. Menarik nafas lega selepas mendapat berita ini sebab saya berhajat ingin balik ke Okinawa lebih awal dari yang dirancangkan.
Saya tunda tarikh pulang ke Okinawa untuk menyambut keluaran buku ini. Hari yang dinanti-nantikan tiba apabila saya menerima mesej sekali lagi daripada Puan Asiah yang menjemput saya datang ke pejabat beliau di tingkat 10, bangunan DBP.
Dalam hati saya tertanya-tanya, mungkinkah novel saya sudah diterbitkan. Satu panggilan daripada Puan Asiah mengesahkan soalan ini. Betul novel saya sudah terbit!


Staf Bahagian Buku Sastera


Pada 9 Oktober saya membuat perjalanan ke utara dari Pulau Singa bersama seorang kawan. Saya memesan dua buah kek untuk dihantar ke pejabat itu. Sebuah kek untuk kaki tangan pejabat penyunting/editor dan sebuah kek lagi untuk tetamu yang datang berjumpa saya untuk meng-autograf buku itu. Membawa buah tangan itu ialah adap orang Islam ketika membuat kunjungan ke tempat orang lain. Saya kira sebuah kek paling sesuai sebab ia boleh dipotong-potong mengikut jumlah orang yang hadir dan semua dapat merasakannya. Ini juga adap dan tertib orang Jepun ketika mengunjung ke rumah sahabat handai atau saudara-mara. 

Bersama Ketua Jabatan Bahagian Buku Sastera-Puan Asiah bt Daud
Sedang meng-autograf

Bersama Cikgu Che Abdullah Che Ya

Bersama suami isteri En. Wan Rafar

Bersama Cikgu Midah Junid

Bersama Datuk Yussoff Ahmad

 Bersama Puan Ruziah Mansor

 Sajian untuk tetamu

Bersama Puan Vimmi

Gambar-gambar di sini memaparkan sahabat-sahabat yang datang mendapatkan novel baharu ini pada hari pelancaran kecil ini.

Terima kasih kepada semua yang sudi datang dari jauh untuk mendapatkan novel ini.

*****

Sunday, October 13, 2013

Pagi Semerah Daun Momiji


Tajuk Novel: Pagi Semerah Daun Momiji@Leyla Shuri (2013)

Diterbit oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beli Online:  http://www.dawama.com/Pagi-Semerah-Daun-Momiji/q?pid=3144&doit=order

Editor dan Penyunting: Datin Hajijah Jais.

Dicetak oleh Utusan Printcorp Sdn Bhd.
Halaman: 613

Glosari: Bahasa Jepun ke bahasa Melayu 2 halaman.


Ringkasan Penerbit/Blurb: 

Watak utama dalam novel ini ialah Midori, seorang remaja Jepun yang masih bersekolah menengah atas.
Persekolahannya serta rakan-rakan yang lain, termasuk Yuriko dan Akiko, terganggu akibat perang. Begitu juga dengan adik Midori, Taiyo. 
Abang Yuriko yang bernama Kawamoto Masatoshi pula dikerah menjadi askar.

Ibu dan bapa Midori, iaitu Sayaka dan Yukichi Fukuhara, meninggal dunia akibat bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima. Begitu juga dengan ibu Yuriko. Midori dan adiknya terpaksa meneruskan kehidupan mereka. Dengan sedikit wan peninggalan ayahnya, Midori membuka kilang menjahit pakaian bersama-sama Yuriko.

Di Malaya, Masatoshi Kawamoto dan kumpulannya mendarat di Kelantan. Sejak Jepun merampas pemerintahan dari British melalui perang, Jepun telah berkuasa dan berlaku zalim terhadap penduduk Malaya. Walaupun pemerintahan Jepun tidak lama, tetapi kesannya amat besar. Hideyuki merupakan lambang pemerintahan Jepun yang rakus dan zalim. Peristiwa yang berlaku di rumah Pak Wahab mengakibatkan Hideyuki berdendam dengan Masatoshi. Masatoshi ditinggalkan di Malaya apabila Jepun kalah.

Sejak itu, Masatoshi tinggal dengan keluarga Pak Mat Isa.
Pak Mat Isa mempunyai seorang anak gadis yang bernama Mariah.

Bagaimanakah berakhirnya ...dua benua yang pernah diperintah dan memerintah ini?

*****


Saturday, October 05, 2013

Sudah terbit Pagi Semerah Daun Momiji


Semalam semasa berada dalam sebuah saloon di Tampines, saya menerima panggilan daripada Puan Asiah bte Daud dari DBP. Kata beliau novel ini sudah terbit dan menjemput saya datang ke KL.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua para penyunting Tuan DBP terutama Datin Hajijah Jais dan Puan Asiah Daud.

Saya hanya dapat berdiri di atas sejadah dan membuat solat syukur.

アルハムドリッラー

*****

Tuesday, October 01, 2013

Haiku Melayu


Isu September 2013, wawancara saya diterbitkan oleh Dewan Sastera yang berbicara tentang haiku.

Saya ingin mendapatkan beberapa naskhah isu ini, lalu sementara berada di Singapura buat waktu ini, saya melintas jambak Johor. Di bandar Johor Bahru, saya mencarinya di Kotaraya, namun seorang penjaga kedai buku menyatakan penempahan majalah ini sudah lama dihentikan.
Kecewa, saya teruskan pencarian ke JB City Square. Di situ saya masuk dua buah gedung buku namun masih gagal mendapatkan majalah ini.

Akhirnya saya dapat juga baca dari seorang sahabat yang mengirimkan melalui mel dengan cara scanning. Ini saya kepilkan scanning itu.

Harap jelas kepada peminat haiku yang tidak berkesempatan mendapatkan isu September ini.





*****

Friday, August 30, 2013

神の決めること

Hari ini penghulu hari, Jumaat akhir pada syawal tahun ini. Negara-negara yang ramai penduduk umat Islam sedang kacau-bilau tapi negara yang penduduknya keseluruhan bukan penganut Islam, kelihatan aman dan makmur.
Cuba kita telaah ayat ini: 6-An-nam
"Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami (Tuhan) binasakan sebelum mereka, padahal (itu telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (kekuasaan dan kemewahan yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain?
Apa yang berlaku pada negara-negara Islam sekarang ialah tugas Tuhan kita, ramai yang mengeluh dalam laman sosial.
Kita doakan yang terbaik kepada umat-umat yang mengalami kecemasan perang. Doa kita, itu sahaja yang ada pada diri kita.
Dalam diam, kita lihat dan telaah.
Di belakang segalanya yang terjadi di alam ini (langit dan bumi) ialah Tugas Tuhan kita.

(天と地)宇宙で起こるすべては神の決めること。

*****

Monday, August 19, 2013

紅芋

紅芋: beni imo atau keledek ungu sejenis keledek yang berasal dari pulau Okinawa. Keledek ini tidak dibenarkan dihantar ke lain-lain kawasan luar dari Okinawa sebab ia bahan terpelihara di Jepun. Keledek ini tidak dibenarkan ditanam luar dari kawasan pulau Okinawa. Pengekspot keledek ini perlu mendapat kelulusan dari Kementerian Petani Jepun untuk mengekspot keledek ini ke pasaran antarabangsa.
 Ini beni imo (beni bermaksud merah kesumba).
Keledek ini boleh dihidangkan pelbagai cara, roti beni imo.

Beni imo bun

Beni imo ice cream

Kuih beni imo

Pulut beni imo

Pancake beni imo

Beni imo rollcake

Yang penting sekali beni imo mempunyai bahan pengawet, inilah salah satu sebab orang Okinawa nampak muda walaupun berumur 89 tahun!

Thank you google.com for all photos.
*****

Tuesday, July 30, 2013

asa



Asa ialah sejenis rumput laut yang digunakan sebagai makanan di Okinawa. Asa ialah panggilan atau loghat orang Okinawa.
Lazimnya saya gunakan sewaktu bersahur, jika tiada masa menyediakan sayur untuk lauk.
Ia dicampur dengan cuka, air perahan limau dan sedikit kicap cair lalu diminum sahaja.
Gambar-gambar ini saya ambil di bahagian selatan Okinawa, Pulau Oo.

*****

Wednesday, July 17, 2013

Penilaian




E-mel daripada Hiroki Nomoto-sensei,
Program Bahasa Malaysia, Universiti Bahasa Asing Tokyo (TUFS)]

[Tuan Darma Mohammad dan Puan Leyla Shuri yang baik hati,

Kami telah menerima kiriman daripada Tuan dan Puan.  Kami amat gembira kerana ada orang Melayu berminat dalam sastera tradisional Jepun sehinggakan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu haiku-haiku Basho yang sukar difahami orang Jepun sendiri, malah menerbitkan karya haiku dan tanka dalam bahasa Melayu.  Kami ucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan dua buku daripada Tuan dan Puan.  Dua buah buku tersebut akan kami serahkan ke perpustakaan universiti nanti supaya dapat dimanfaatkan oleh seramai pembaca yang mungkin, khususnya para pelajar bahasa Melayu di jabatan kami.  Jika ada peluang pada masa akan datang, sila datang kunjungi kami di TUFS.

Sekian, terima kasih.

Yang bernar,

Hiroki Nomoto
Program Bahasa Malaysia, Universiti Bahasa Asing Tokyo (TUFS)]
*****

Perhatikan penulis e-mel ini tidak menggunakan Professor atau sensei atau apa-apa pangkatnya  selaku petugas di Universiti Tokyo. Beliau ialah seorang pengkaji bahasa Melayu, seorang profesor dan guru dalam Jabatan Bahasa Asing di Universiti Tokyo.
Inilah yang saya puji tentang adat orang Jepun yang tidak menunjukkan kedudukan tinggi atau pangkat mereka ketika menyebut nama sendiri atau mengenalkan diri.

Buku SUKMA BASHO DALAM HAIKU saya kendalikan selama 5 tahun. Disebabkan kelemahan dalam mendapatkan istilah-istilah bahasa Melayu saya mohon bantuan daripada En. Darma Mohammad dalam mengatasi masalah ini. Selama 5 tahun, saya mengkaji, meneliti, menelaah membuat rujukan untuk mengumpulkan haiku-haiku dalam karya Matsuo Basho. Dalam sejumlah 1000 lebih haiku Basho, saya hanya memilih haiku yang memberi gambaran alam dan adat budaya masyarakat Jepun.
Selepas 5 tahun, saya serahkan kumpulan terjemahan haiku ini ke ITBM. Kami menantikan penerbitannya selama kurang lebih 3 tahun. Kami juga dimaklumkan empat orang pakar bahasa menyemak buku ini bersama Sasterawan Negara (masa ini beliau belum mendapat anugerah ini) Tuan Baha Zain. Terima kasih kepada semua orang yang terlibat dalam penerbitan buku ini.

Saya tidak tahu respons dari pembeli dan pembaca di Malaysia darihal buku ini. Walau bagaimanapun, saya rasa puas diberi peluang oleh yang Maha Besar menunjukkan kepada sasterawan berbahasa Melayu dan peminat haiku yang Basho bukan hanya terkenal dengan haiku "katak melompat kolam" sahaja. Banyak lagi haiku Basho yang mempersonakan dan menawan jiwa.
Namun saya masih mencari satu kepastian. Saya ingin pastikan tahap tugas saya dalam terjemahan buku ini. Saya tidak dapat maklum balas dari pembaca dan peminat haiku di Malaysia.
Saya tidak putus asa.
Selepas penyerahan buku ini kepada Profesor yang mahir dalam bahasa Melayu di Universiti Tokyo, Jabatan Bahasa Asing, saya menantikan respons beliau dengan sabar.

Akhirnya, seperti dalam e-mel Profesor ini yang mencatatkan " Kami amat gembira kerana ada orang Melayu berminat dalam sastera tradisional Jepun sehinggakan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu haiku-haiku Basho yang sukar difahami orang Jepun sendiri, malah menerbitkan karya haiku dan tanka dalam bahasa Melayu", saya berasa langkah saya menyeberangi jambatan dua budaya yang berbeza, menyatukan dua bahasa yang berlainan polar telah berjaya.
Kesyukuran saya kepada Allah Ta'alla yang memberi kesabaran, keteguhan dan membenihkan semangat tugas ini hingga ia berjaya.

アルハムドリッラー

*****