Monday, October 06, 2014

Pelancaran Pertama


Saya fikir elok juga jika saya mengambil kesempatan dalam Bulan Bahasa Singapura untuk melancarkan buku-buku saya. Bulan Bahasa bermula September hingga Oktober selama 2 bulan. Lalu seawal Mei saya sudah bergerak ke arah niat ini. Namun setelah berinteraksi dan jadual sudah ditetapkan, saya terpaksa mengundur diri memandangkan saya harus memberi bantuan kepada anak saya yang menumpang di rumah saya buat sementara waktu sehingga anak yang baru lahir sudah setahun umurnya. Pengunduran ini tidak diterima dan mengikut jadual yang telah ditetapkan, saya harus teruskan juga.
Pelancaran rasmi begini ialah yang pertama bagi saya. Adalah saya buat kecil-kecil bersama staf syarikat terbitan dan sekumpulan kawan-kawan sebelum ini. Seminggu sebelum hari pelancaran buku saya, saya menghadiri pelancaran sekumpulan penyair yang memanggil kumpulan mereka Bebas Melata. Saya datang sebenarnya untuk melihat sendiri pengisian dan acara-acara bagi melangsungkan sesuatu pelancaran. Sebelum pelancaran kumpulan Bebas Melata, saya hadir sesi 3 orang penulis tersohor di Singapura iaitu Mohd Latiff Mohd, Isa Kamari dan Suratman Markasan. Selepas sesi Bicara Karya itu, kami dijamu dengan kudapan petang, dan seterusnya acara kumpulan Bebas Melata juga bersambung dari situ. Maka para tetamu yang datang untuk kedua-dua acara bertambah dan memeriahkan lagi urusan petang itu.
Dalam hati saya berkata, "Tak mungkin begini ramai tetamu yang datang pada hari pelancaran buku saya."
Pegawai perpustakaan yang menguruskan pelancaran ini menyatakan yang saya perlu menyiapkan kudapan atau makanan ringan untuk 30 orang. Saya fikir, "Baik, kalau 30 orang, biar saya tempah 60 karipap dari penjual haram yang datang dari Batam. Seorang 2 karipap dan sekotak air. Cukuplah. Bukan parti makan-makan, ini parti mengenalkan buku baharu, bukan?" Itu saya yang fikir sendiri.

Lagi 3 hari ke pelancaran, datang lagi, "Puan, karipap saja tak cukup!" Panik saya. Alhamdulillah, salah seorang sahabat sepejuangan sempat membantu.
Lagi 2 hari ke pelancaran, pegawai perpustakaan tanya lagi, "Puan, ada tetamu kehormat yang ingin diundang?" TAK TAHU SIAPA PUN!
"Baik Puan, jangan panik, biar saya uruskan," kata pegawai itu.
Sehari sebelum pelancaran, satu soalan lagi, "Puan, apa pengisiannya?"
Pengisian? Pengisian apa lagi?
"Maaf Tuan, saya serahkan segalanya kepada Tuan yang bijak pandai."
Masa ini hampir menitis air mata saya.

Tempat: Perpustakaan Awam, Victoria Street
Masa Pelancaran 4:00 - 5:15 ptg
Bengkel Haiku    5:30 - 7:30 mlm





 Inilah salah seorang yang membantu untuk pengisian pelancaran ini. Saya baru kenal beliau (takut menyebut namanya di sini sebelum diberi izin). Beliau mendeklamasi sajak dengan gitar dan serunai itu.

















 Ini Puan Kamaria Buang, orang kuat yang membantu dan memberi nasihat. Bersamanya itu pegawai perpustakaan yang sering berbincang tentang pelancaran ini.
 Inilah orang yang banyak membantu pada masa-masa saya panik, pegawai perpustakaan awam Singapura yang melangsungkan acara pelancaran ini.
 Jangan terkejut. Ini penulis terkenal di Malaysia yang menjadi bidan terjun dan beliau antara yang awal memulakan acara pelancaran saya. Saya amat terkejut, terbeliak mata, terkebil-kebil mendengar beliau mendeklamasi tanka dari buku Percikan Pelangi, salah sebuah buku yang dilancarkan.
Sungguh terharu.
 Tetamu kehormat diperkenalkan. Beliau dari Berita Harian, Singapura.
 Masa untuk saya memberi sedikit ulasan darihal buku-buku yang dilancarkan.

1] Sukma Basho Dalam Haiku
2] Percikan Pelangi
3] Novel-Pagi Semerah Daun Momiji
 Saya tidak siapkan sebarang teks atau nota sebab saya tahu saya akan menggelabah. Biarlah saya tengok langit saja, tak perlu tengok tetamu di hadapan.















Dua buah tajuk buku yang sedang dilancarkan ialah hasil kerjasama dengan Darma Mohammad. Jadi saya fikir adalah lebih afdal Darma Mohammad diundang juga sebab ia melibatkan dirinya dalam pelancaran ini.

 Memberi cenderahati kepada tetamu kehormat.

Ini adik saya, Halija. Punyalah terkejut saya apabila dia naik ke meja ucapan. Aik, bilakala adik saya datang?
Tapi kejutan-kejutan ini amatlah membahagiakan saya.

 Peluk-peluk arab selepas adik saya mendeklamasikan haiku yang dipetik spontan dari buku Percikan Pelangi.

Akhir kalam, bergambar dengan tetamu yang rata-rata juga penulis.
Sebagai penutup, saya mengambil peluang untuk mencatatkan jutaan penghargaan saya kepada yang telah membantu saya secara spontan atau tidak spontan.
Kepada En. Herman Rothman, saya akui tahap kesabaran tuan amat tinggi.
Kepada Puan Kamaria Buang, terima kasih tidak terhingga atas segala nasihat dan cadangan untuk menjayakan pelancaran ini.
Kepada Puan Faridah Taib, sudi mengisi meja makan dengan pelbagai kudapan, amat saya hargai.
Kepada Puan Nisah Haron yang melompat untuk mengisi acara hari ini, tabik saya kepada puan.
Kepada En. Ciung Winara Singapura (nama pena), deklamasi dan tiupan seruling itu memberi saya masa untuk mengatur ucapan, terima kasih.
Kepada Tetamu Kehormat (tak tulis namanya) yang dari Berita Harian Singapura, sudi menjadi tetamu kehormat untuk pelancaran hari ini, setinggi gunung Fuji saya hargai.
Dan kepada adik-adik saya, serta anak saya bersama cucu saya yang datang, sayang kamu semua.
Mungkin ada nama yang saya tidak teringat tapi kamu tahu saya pun tahu, sama-sama menghargai bantuan dan kerjasama yang diberikan kepada saya untuk hari ini.

Sebelum pelancaran ini hari-hari saya baca tekanan darah yang mencatat b.acaan antara 147 hingga 157.
Boleh percayakah tekanan darah setinggi ini hari-hari sebelum pelancaran?
Selepas pelancaran tekanan darah saya balik semula 127.
Alhamdulillah, saya masih hidup.


*****

Thursday, September 25, 2014

Liputan MediaCorp

Berita MediaCorp

Sila klik pada talian di atas.

Buat pertama kalinya, sebuah bengkel pengenalan kepada Haiku dan Tanka dianjurkan di Singapura.
Ia memaparkan usaha "meMelayukan" puisi tradisional Jepun itu yang berpotensi menjadi bahan menarik untuk mendidik pelajar tentang alam dan meteorologi, selain membantu menyemai cinta kepada bahasa.
Antara sebab adalah disiplin dan kajian yang diperlukan untuk menulisnya.
Haiku adalah puisi singkat tradisional Jepun yang mengandungi 3 baris - yang pertama memaparkan lima suku kata, baris kedua - tujuh suku kata dan ketiga - lima suku kata.
Tanka pula : 5,7,5,7,7 dan memaparkan 5 baris ayat.

*****

Monday, September 15, 2014

Lawatan ke DBP Sept. 2014

 

Setiap kali saya balik ke Singapura, saya tidak lepaskan peluang menjengah syarikat penerbit yang mengusahakan novel-novel saya. Saya rasa ini satu-satunya cara untuk kami menjalinkan hubungan baik dalam dunia persuratan.
Selepas lawatan kami ke ITBM pada pagi Khamis 4 sept. 2014, kami teruskan ke DBP pula. Sudah 2 tahun saya kembali tetapi tidak berpeluang berjumpa editor novel saya Pagi Semerah Daun Momiji. Malang lawatan kali ini juga saya gagal berjumpa beliau.
Walau bagaimanapun, saya ingin berkenalan dengan Puan Zaiton Abu Samah dan kami meneruskan pertemuan itu berbincang segala perkara berkaitan Hak Cipta.

....Soalan-soalan seperti apa harus seorang penulis skrip drama lakukan jika dia ingin gunakan novel saya.
...Apa harus saya lakukan jika novel saya digunakan untuk seri drama TV, walaupun saya rasa novel saya amat sukar bagi penerbit drama untuk asimilasikan dalam aspek tempatan.
...Apakah yang penulis perlu lakukan untuk mengembangkan penulisannya tanpa melanggar syarat-syarat dalam Surat Perjanjian Penerbitan.

Kami diberi penjelasan yang cukup teliti oleh seorang pegawai yang pakar dalam Hak Cipta Persuratan. Pengharaan saya kepada Puan Zaiton Abu Samah dan En. Hafizi Ahamd.

*****

Tuesday, September 09, 2014

Urusan buku ITBM, KL


Selepas acara PPN7 [Pertemuan Penyair Nusantara 7] yang berlangsung selama 3 hari berturut-turut selesai, saya berehat 2 hari.
3 Sept 2014 bersama penyair wanita Singapura, Puan Kamaria Buang, kami menaiki bas ke utara, menuju Kuala Lumpur. Urusan saya ke KL ialah mengambil buku-buku saya untuk pelancaran di Perpustakaan Awam, Singapura pada 20 Sept. 2014.
4 Sept. 2014, saya ke ITBM. Perjumpaan ini sudah saya rancangkan. Kami disambut oleh Puan Zalila Isa dan En. Rozlan. Selepas beberapa urusan selesai, Dr. Lim Swee Tin menjelma dan kami berbual pelbagai perkara persuratan.

Dr. Lim serahkan buku kumpulan puisi Bulan Di Antara Lalang kepada saya yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.
"Puan Leyla, minta terjemahankan buku ini ke dalam bahasa Jepun," kata beliau.
"Apabila buku terjemahan puan Sukma Basho Dalam Haiku terbit, esoknya saya beli. Saya perhatikan puisi-puisi saya dalam buku ini banyak persamaannya dalam tema unsur alam, sama seperti haiku-haiku Basho," sambung beliau.
Kami teruskan perbualan berkaitan haiku sebab Dr. Lim dengan semangat bersemarak ingin mendalami haiku setelah mengenali haiku dalam buku Sukma Basho Dalam Haiku [ITBM].


Saya tidak bawa apa-apa buah tangan dari Jepun. Setidak-tidaknya saya rasa kek buatan tempatan juga sudah mencukupi sebagai tetamu dalam pertemuan pertama dengan pegawai ITBM kali ini.
Selepas menjamah kek dan teh yang dihidangkan, pertemuan itu selesai dan saya ke lobi. Di lobi pula kami terserempak dengan Ketua Pengarah ITBM. Pertemuan dengan Ketua Pengarah itu juga pertama kali bagi saya.


Saya minta maaf kepada Ketua Pengarah kerana tidak hadir di Pesta Buku Tokyo masa bulan puasa tahun ini atas kewajipan keluarga. Insya-Allah, pada tahun-tahun akan datang, jika ada peluang, akan saya bersama.


Setelah buku-buku saya siap dibungkus, kami pun memanjangkan langkah ke DBP pula.

*****

Monday, September 01, 2014

PPN7


Saya kembali ke negara tanah tumpah darah kali ini untuk pelancaran buku saya. Ada 3 judul yang saya ingin lancarkan, namum memikirkan anak perempuan saya yang ke-2 sedang menumpang di rumah saya sebab baru melahirkan anak ke-3, saya memutuskan untuk membatalkan kepulangan saya.
Walau bagaimanapun ini tidak mungkin sebab bagi pihak Perpustakaan Awam Singapura yang sudah menjadualkannya untuk acara Majlis Bulan Bahasa, saya terpaksa juga teruskan perjalanan ini.
Saya memilih hari pulang yang tarikhnya berbetulan (atau kebetulan?) jatuh pada acara PPN7 juga. PPN7 atau Pertemuan Penyair Nusantara 7.
Sangat gembira saya mendapat peluang yang tidak saya rancang ini untuk bersama-sama membincangkan sekalian masalah berkaitan perpuisian di kawasan Nusantara ini. Para sastera daripada 5 negara iaitu Selatan Thai, Brunei, Indonesia, Malaysia dan para pemuisi daripada negara tuan rumah, Singapura berkumpul dan memerah otak untuk memajukan sastera di kawasan Nusantara ini.
Dalam perbincang sisi, seorang sasterawan muda bertanya, "bagaimana ya penulis wanita mengatur jadual mereka untuk menulis?"
Saya kata asalkan jangan dijadikan tekanan, ambil santai-santai sahaja.
Kata pemuda itu, dia melihat ramai penulis veteran yang mengambil bini ke 2, mungkin untuk menghilangkan kesunyian sebab katanya menulis itu agak sunyi tugasnya.
Saya setujukan sahaja pendapat penulis muda itu, "Ya, mungkin teramat sepi, makanya penulis tua atau veteran perlu ada hiburan sisi untuk menghilangkan tekanan tugas menulis."
Saya akhirkan, "adohai, kalau begini "trend" penulis lelaki tua, agak kasihan juga kepada isteri-isteri mereka."
Pemuda itu tersenyum dan berkata, "tempat penginapan kami di dalam "red-light", makanya kami melihat ramai juga orang-orang tua yang mengunjungi tempat kami".
Saya menghabiskan perbualan itu, "Ah, lelaki tua kalau kesepian, tak kiralah penulis atau tidak, perlu hiburan sisi, bukan?"
"Betul kak." [tersenyum lagi, dia berlalu].

**cerita di atas tidak berkait dengan orang-orang dalam gambar.

Akhirnya masing-masing sendiri juga.

All movies have a start. 
The beginning.
After some while,
it will sure stop.
That's what it is.
The End.
That's the period.

You are the end.
You are the Period.

*****

Sunday, August 17, 2014

Negeri nyaman



Petikan Haiku dalam Sukma Basho Dalam Haiku [ITBM] hlm 103, No. 198.
Di sudut ini/semua yang dilihat/nyaman belaka.
kono atari/me ni miyuru mono wa/mina suzushi.
Dalam pengembaraan Basho ke negeri Gifu, dia singgah di rumah kawannya yang kaya, saudagar minyak. Pandangan dari rumah kawan ini memperlihatkan [gunung-ganang dan sungai di lembah] saujana yang nyaman (angin sejuk yang datang di balik gunung).

Kigonya nyaman untuk musim panas. Musim panas di Jepun amat panas melengas dan berbahang. Makanya angin sejuk pada musim panas ini dipanggil sebagai angin nyaman atau suzushi. Pada musim lain, sejuknya tidak rasa nyaman.
Dalam Kamus Dewan nyaman diberi maksud angin senja atau kesejukan pagi. Akan tetapi pada musim panas di Jepun, angin nyama ini dikatakan "suzushi".
[imej travelerfoloiodotcom]


*****

Tuesday, August 12, 2014

Bimasakti


[image courtesy of jplnetcom]


[image courtesy of 4traveljp]

Saya terlihat ramai yang menulis tentang bimasakti dalam puisi dan sajak belakangan ini. Bimasakti yang tercatat dalam Kamus Dewan bermaksud jaluran cahaya malap yg terentang di langit pd waktu malam yg terdiri drpd jutaan bintang, nebula, dsb. Sebenarnya bintang-kemintang ini tidak malap jika dilihat di bahagian utara Jepun. Fenomena ini berlaku pada musim luruh di kutub utara dan pada waktu ini pergerakan bintang-kemintang itu paling dekat dalam pusingannya pada bumi.
Matsuo Basho juga pernah melihat fenomena ini. Batu tulisan dalam imej itu melakarkan haiku Basho yang terilham ketika dia mengembara ke Niigata [saya juga telah sampai di tempat ini] dan melihat dari tanah besar Jepun ke laut. Di situ terdapat pulau Sado.

Dalam buku "Sukma Basho Dalam Haiku" halaman 125, haiku nombor 238 terdapat haiku yang diterjemahkan begini:

Laut gelora
merentas Pulau Sadou
sang Bimasakti.

Kigo dalam haiku ini ialah Amanogawa atau sungai Bimasakti. Mungkin Melayu mengenalinya sebagai garisan bintang. Amanogawa ialah kigo musim autumn atau musim luruh. Ketika Jepun [yang berlokasi di pola utara] melalui pusingan autumn, bumi pada waktu ini bergerak paling dekat pada bintang2 yang menerawang di galaksi.

Ketika ini Basho sedang meneroka kawasan Niigata yang bersebelahan dengan pulau Sado. Dia melihat langit penuh dengan bintang-kemintang dan juga bintang-bintang jatuh [falling stars]. Pada saat itu, imaginasi Basho melihat dia berada di sebuah jambatan dan waktu itu dia sedang menyeberang sungai bintang-kemintang atau sungai bimasakti. Terilhamlah haiku ini.

*****

Friday, August 01, 2014

Kepergian

Hari Raya tahun ini paling mudah untuk keluarga saya. Walaupun anak perempuan ke-dua, berada di rumah saya, dia terpaksa uruskan anak-anak kecilnya yang 3 orang. Hari Raya bukan hari cuti awam di Jepun, makanya anak-anak kecil itu dibawa ke sekolah asuhan.
Kami suami isteri melakukan solat Aidil Fitri di dewan serba-guna di bangunan univ. seperti yang telah kami lakukan tahun-tahun sebelum ini walaupun warga muslim di pulau ini telah mendapat tanah dan telah mendapatkan sebuah kontena yang dijadikan masjid.

Disebabkan kesedihan mengenangkan nasib orang-orang Palestine yang sedang menempuhi malang dalam peperangan, saya tidak dapat bergembira sangat pada Hari Raya ini. Setakat menunaikan solat pagi raya dan makan-makan serba sedikit dengan keluarga sudah menunaikan perayaan ini untuk saya.

Hari ini [1 Ogos 2014 bersamaa 5 Syawal 1435, Jumaat] saya menerima panggilan yang membawa berita bahawa bapa saya, Haji Abdul Razak Maracoir yang sudah lama menetap di Muthupet, India, telah kembali ke rahmahtullah.
Bapa saya jatuh dan mengalami pendarahan di bahagian kepala dan otak.
Sudah sekian lama saya tidak bertemu bapa saya, kami hanya berhubung (setakat mendengar suara masing-masing) melalui telefon sahaja.

Mohon kawan-kawan panjatkan doa (tidak perlu dicatatkan di sini) untuk roh bapa saya yang sedang dalam perjalanan ke alam abadi itu. Semoga bapa saya aman di alam itu, insya-Allah. Amin. Al-fatiha.

*****

Sunday, July 27, 2014

Eid Mubarak 1435


Terkasar bahasa,
terlebih kata,
menghimpun 10 jari,
maaf dipinta.
Selamat berhari raya sambil mendoakan yang malang juga dapat menikmati kebahagiaan hari mulia ini.


*****

Sunday, July 20, 2014

Lat, Kampung Boy [カンポンボーイ ラット]



Semalam [19 Julai 2014] saya menerima naskhah hadiah ikhlas buku Lat, Kampung Boy versi Jepun daripada Prof. Soda Naoki yang bertugas di Tokyo Univ. of Foreign Studies.

Saya masih ingat lagi, waktu itu Mei 2012, saya diminta membantu terjemahan buku ini. Saya diberi jangka waktu menjalankan tugas itu hanya 2 minggu. Masalahnya pada waktu itu saya sedang membantu anak perempuan saya yang kedua yang baru bersalin dengan anak kembar.

Ingin saja saya menolak sebab tugas menjaga anak-anak kembar yang baharu lahir itu amat meletihkan. Walau bagaimanapun bantuan saya sangat diperlukan buat waktu itu dan dalam keadaan kelam-kabut, saya buat juga apa yang perlu.

Itu cerita 2 tahun lepas.

Buku ini dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Tokyo 2014. Tahun ini Malaysia dipilih menjadi negara tema. Sekali lagi saya tidak dapat hadir, walaupun hati ini ingin sangat pergi ke sana.

Berbetulan pun, kali ini saya tidak dapat ke Tokyo sebab anak saya itu melahirkan anak ke-3 lagi dan berpindah ke rumah saya buat beberapa bulan.

Terima kasih kepada Prof. Soda Naoki yang teringat kepada saya dan sudi menghadiahkan naskhah buku ini.

*****

Monday, June 30, 2014

Ramadan 2014

Entah kenapa apabila masuk bulan Ramadan, tekak saya inginkan lauk-lauk Melayu. Biasalah lauk-lauk Melayu seperti asam pedas, sambal tumis, gulai lemak. Setelah merasa setiap satu, saya rasa sudah cukup dan masak lauk bukan Melayu seperti yang biasa dalam rumah kami. Lauk bukan Melayu tidak semestinya lauk Jepun sahaja.
Sebenarnya Ramadan ialah bulan yang memberi saya banyak peluang menulis. Masakan atau lauk-lauk istimewa yang saya tidak buat hari-hari, tidak masuk dalam jadual. Kami makan amat sederhana.

Saya mengambil kesempatan hari Ramadan pertama ini untuk mengucapkan kepada pembaca blog ini, yang dalam feeder, yang dalam favourite, google friend dll selamat menjalani ibadah Ramadan, semoga ibadah kita mendapat ganjaran Allah.

*****

Tuesday, June 24, 2014

ROH CECAIR ITU [DALAM TANKA]


Sebenarnya tajuk tanka yang tersiar dalam bahagian GAH, Berita Harian, Singapura ialah Roh Cecair Itu [Dalam Tanka]. Terima kasih kepada Berita Harian yang telah memilih tanka ini untuk disiarkan, walaupun tajuknya terputus. Agak terkejut juga apabila terbaca hanya [Dalam Tanka] sebagai tajuk puisi ini.

Ilham menulis tanka ini datang mencurah ketika cucu saya yang ke-empat lena atas riba. Terdetik dalam fikiran bahawa ada darah Melayu dan India mengalir dalam badan susur galur cucu ini.
Cucu itu atau zuriat kita adalah harta pusaka yang kami tinggalkan. Doa mereka, kelanjutan darah mereka menjadi sejarah leluhur kepada sesuatu keluarga. Keluarga itu bercabang-cabang dan seperti kita yang berasal dari sesebuah keluarga, makanya cabang susur galur kita juga bercabang menjadi pokok yang mencatat sejarah masa hadapan.

Saya membentukkan puisi ini dalam format tanka 3 rangkap. Penutupnya saya pilih puisi bebas untuk memberi kekuatan perkataan ILAHI pada akhir kata rangkapnya.

DALAM TANKA

[1]
Benih menyatu
menjalar salur akar
titik cecair
Kelanjutan zuriat
membina susur galur.

[2]
Bumi berbaja
setitik cecairnya
serbat mentari
Panjat doa tertinggi
moga jaya berjasa.

[3]
Dari abjad A ke Z
teruskan Alif ke Ya
ufuk hidupan
Uban mengumpul ilmu
bongkok dimakan waktu.

Roh yang bermula
dari setitik cecair
berzaman-zaman
memutar bumi
Ilahi.

Untuk mengenal syarat-syarat menulis puisi berbentuk tanka, sila tulis mesej di sini Percikan Pelangi
Jika berhasrat mendapatkan buku ini, sila tulis mesej di kotak komen pada catatan ini.

*****

Saturday, June 14, 2014

14.6.14



[kek macya (serbuk teh hijau) untuk hari ini]

Cantik tarikh hari ini. Yang lebih cantik lagi ialah nombor tarikh yang cantik ini menjadi hari ulang tahun kelahiran saya. Saya dilahirkan pada tahun yang sama Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan.
Ketika itu Malaysia dan Singapura masih satu negara. Ketika itu laluan ke kedua-dua negara tidak perlukan paspot. Ketika itu saya tinggal di Melaka. Ketika itu saya terpisah dari ibu dan bapa yang bertugas di Singapura. Ketika itu arwah nenek yang menjaga kami, seorang janda yang miskin, memberi kami makan nasi dengan jeruk binjai sahaja. Ah, jauh betul perjalanan hidup saya.

Sekarang saya sudah menjadi nenek pula. Tahun ini saya dianugerahkan Ilahi (alhamdulillah) dengan cucu ke-empat.

Tiba-tiba tahun ini baru saya perasan saya digelar penulis. Ah, jauh betul perjalan hidup saya.

Selamat untuk semua, semoga bahagia dan sihat seterusnya.

*****

Sunday, June 08, 2014

Kekuatan persaingan


[image courtesy of prtimes.jp]

Setiap pagi saya nantikan siaran drama ini. Semangat saya berkobar-kobar setiap kali wataknya dicabar dari menulis. Wataknya seorang orang gadis kampung, bernama Hanako. Hanako menulis tetapi merasa dirinya tidak setanding dengan penulis lain yang tinggal di bandar. Beberapa kali semangat untuk memperjuangkan bakat penulisannya gugar disebabkan penulis lain menghalang Hanako bersaing dalam dunia persuratan. Walau bagaimanapun, setiap kali dirinya digugar, Hanako bina semula semangat menulis dan setiap kali tulisannya diterbitkan, dia mendapat pujian daripada para pembaca.

Sebenarnya watak Hanako ini ialah seorang penulis di Jepun yang juga menterjemahkan buku-buku "Ann of Green Gable".

Saya menumpang keterujaan Hanako. Pada 6 Jun 2014, saya telah mengambil keputusan dan memulakan terjemahan ke bahasa Inggeris novel Pagi Semerah Daun Momiji.

Novel ini tebal (lebih dari 600 hlm), proses terjemahannya akan mengambil masa agak lama. Insya-Allah, saya sematkan kekuatan semangat Hanako untuk meneruskan tugas ini.

*****

Saturday, May 31, 2014

NAFAS


Untuk pantun, ada caranya, untuk sonata, ada caranya. Untuk haiku, ada caranya. Untuk tanka, ada caranya.
Karya Darma Mohammad: NAFAS (dalam tanka), Berita Harian Malaysia, siaran 25 Mei 2014

Tanka juga ada cara tertentu. Jika ingin mendalami ilmu puisi tanka, buku kami Percikan Pelangi (sila lihat disebelah kanan skrin) ada mengisikan maklumat ini.


*****

Wednesday, May 28, 2014

Happiness is but a moment





Writing and reading, without doubt are pure happiness for me. But on the very top are family over everything else. My grandchildren are spending some time at home, while the mother recovers more energy from childbirth. My daily routine which starts the day with writing and ending it with writing before has turned out to be very colourful now.
Weather permits, we would drive near a beach where a huge children playground would occupy the twins, who have turned two years old now. While the mother handles the twins, I would sit on the soft grass with the latest grandson of 2 months on my lap. The huge blue sky, the gentle sea breeze, the soft sunshine and the cushiony grass, I would ask for no more. That is my blissful world.
In the meantime, I would catch the night to do some writing, that is if my body permits (the hateful part of getting on age is not the increased years but the lessening strength).



 



Would anybody try to guess why this boy digs his sister's nose? Maybe there is some dried-up phlem but I like to think he is trying to figure out something from his action.

Happiness is but a moment, enjoy it while it lasts.

*****

Sunday, May 18, 2014

月見「Pesta bulan mengambang」


Petikan dari buku Sukma Basho Dalam Haiku [terbitan ITBM]
Hlm 145, No. 278
kyou no koyoi/neru toki mo naki/tsuki mi kana
Di malam ini/tiada masa tidur/melihat bulan.

Pesta Bulan Mengambang diadakan setiap tahun pada bulan September. Sama seperti Pesta Sakura, dalam Pesta Bulan Mengambang ini orang-orang keluar waktu malam dan berseronok menikmati sinaran bulan mengambang itu.

*Orang Jepun sangat menghargai setiap keindahan alam dan banyak cuti umum di Jepun mengikut tarikh kejadian alam.
Kigo: Pesta Bulan Mengambang [imej pineterest.com]

*****


Monday, May 12, 2014

Bayu itu cenderamata

[imej sakura-hostel.co.jp]

Petikan dari buku Sukma Basho Dalam Haiku [terbitan ITBM].

Hlm 85, No. 163
Fuji no kaze ya/oogi ni nosete/edo miyage.
Bayu Sang Fuji/cenderamata Edo/letak di kipas.

Apabila kembali kembara dari Gunung Fuji, Basho yang miskin tiada membawa cenderamata. Dalam haiku ini Basho menyatakan dia hanya mampu membawa angin dari Fuji yang dibekalkan bersama kipas lipat sebagai cenderamata.

Kigo: kipas


*****

Wednesday, May 07, 2014

anpanman







Apa ada pada anpanman? sebut ang-pang-mang.
Pertama ang-pang-mang senang disebut buat kanak-kanak seawal setahun 6 bulan. Adakala pula ang-pang-mang menjadi perkataan pertama bagi kanak-kanak Jepun dan bukan mama atau papa.

Apa ada pada an-pan-man?
Ang-pang-mang ialah orang roti kacang merah. Dalam roti itu ada kacang merah dah roti ini menjadi orang baik seperti tema orang baik dan orang jahat dalam cerita kanak-kanak.
Ada pelbagai roti dalam anime ang-pang-man ia itu roti empat segi, roti kari, roti bulat dan perawakan jahat dalam anime ini bernama bai-king man atau baikin-mang. Vai-kin ialah kuman, makanya ia berwatak jahat.

Pada hari Kanak-kanak yang jatuh pada tarikh 5 Mei tahun ini (2014), kami sekeluarga membawa cucu kembar ke acara pentas ang-pang-mang. Cucu kami terpaksa naik ke lantai tiga yang agak lapang untuk pertunjukkan ini.
Tengok saja gambar ini dan tahulah bagaimana anime ini sangat-sangat digemari kanak-kanak. Lagu temanya menjadi antara lagu pertama yang dihafal seluruh Jepun.

*****






Monday, May 05, 2014

Keluarga


Ada tambahan dalam keluarga kami pada bulan Mac lepas. Tambahan itu ialah kelahiran seorang cucu laki-laki. Waktu catatan ini, mereka sudah berada di Okinawa selama 2 minggu. Bagusnya mereka tidur awal setiap malam, makanya rutin tidur awal ini membolehkan saya menyambung projek penulisan, walau bagaimanapun saya pula yang keletihan dan perlu rehat.

Antara sela-sela waktu, saya cuba mengikut perkembangan dunia, meninjau kehidupan dan cerita teman-teman walaupun kekangan waktu tidak mengizinkan saya berlegar-legar lagi.

*****

Thursday, April 17, 2014

Hana


[imej NHK]
Semenjak mula belajar di sekolah Christian itu, Hana tidak pernah pulang ke kampung. Ini disebabkan dia tiada duit untuk tambang balik. Kawan-kawan lain sibuk bercakap tentang pertunangan dan perkahwinan mereka dengan orang-orang kenamaan tapi Hana tidak endahkan itu semua. Hana kata dia hanya bercinta dengan buku. Buku membuat hatinya berdebar-debar.
Setiap minggu, kelas Hana membantu rumah anak yatim dan di situ Hana berkenalan dengan seorang jejaka tampan. Hari meraikan Krismas, Hana dan jejaka tampan itu mengulang cerita "kami-shibai" untuk seorang anak dalam bahasa Inggeris. Hana terlambat dan pintu pagar tertutup. Kerana ini Hana dihukum. Hana dihukum membersihkan sekolah sebelum cuti hujung tahun. Hana tidak kisah pada cuti sebab dia tidak dapat balik rumah.
Walau bagaimanapun, guru besar dapat tahu Hana terlambat sebab mengulang kami-shibai untuk seorang anak dalam bahasa Inggeris. Guru besar memberi Hana duit tambang dan menyuruh Hana balik rumah merayakan tahun baharu.
Ahli keluarga Hana kagum dengan pertukaran rupa dan gaya Hana. Hana bagai seekor kupu-kupu yang baru menetas dari sarung kukun.
Abang Hana tidak setuju Hana meneruskan sekolah sebab katanya perempuan sesudah menjadi isteri, tidak ke mana perginya.
Adik-adik Hana tidak mesra dengan Hana lagi dan Hana merasa dirinya terpencil dan ganjil di kalangan ahli-ahli keluarganya. Hana kesal dengan keputusannya balik ke kampung.

*****

Monday, April 14, 2014

Petola


14.4.14

Ramai orang tahu petola ialah sayuran yang boleh digoreng atau dijadikan gulai dalam hidangan masakan orang melayu. Tapi jarang-jarang orang tahu petola boleh dijadikan berus untuk menggosok badan waktu mandi. Petola ini dikeringkan. Apabila kering, kulit luarnya hitam dan menggelupas. Ia meninggalkan saraf seperti berus.
Orang Jepun menggunakan berus petola ini dalam kehidupan mereka sejak dulu lagi. Mereka gunakan untuk menggosok periuk dan lain-lain juga.

Ini haiku saya tentang petola.
Petola tua
jangan umur dikeji
masih berfungsi.

******

Friday, April 11, 2014

Hana


Lagu Youtube satu status di bawah itu ialah lagu tema pada drama pagi yang ditayangkan NHK berjudul Hana dan Anne. Drama bersiri ini berkisah tentang cerita hidup seorang wanita Jepun yang bernama Hana. Hana menjadi perterjemah buku sastera dan karya-karyanya dijadikan buku teks sekolah.
Hana bersama 4 orang adik beradik datang dari keluarga yang amat miskin. Padi tanaman mereka habis begitu saja untuk menampung bayaran cukai tanah. Keluarga mereka makan nasi campur bijirin. Hana ke sekolah mengendung adiknya sebab setiap ahli keluarga membantu kerja bendang. Waktu makan, Hana keluar kelas kerana tidak membawa bekal nasi. Minat Hana pada buku berputik setelah dia mencuri masuk perpustakaan di sebuah gereja. Bapa Hana tidak setuju cara guru sekolah mengajar dan bercadang memindahkan Hana ke sekolah perempuan christian. Akhirnya, Hana dimasukkan ke sekolah Inggeris itu.
Setelah dua penggal Hana masih tidak faham b. Inggeris dan harus lulus ujian untuk melanjutkan pelajaran di sekolah itu. Dalam ujian itu, kelas Hana perlu menulis surat kepada guru besar. Waktu membersihkan bilik seorang guru, Hana melihat surat dalam bakul sampah. Terdesak dan takut dibuang sekolah, dengan surat ini, Hana meniru surat Miss Scott (seorang guru) yang ditujukan untuk kekasihnya. Hana mendapat markah paling tinggi.
Walau bagaimanapun salah seorang guru b. Inggeris tidak yakin kebolehan Hana menulis surat sebegitu lancar dalam b. Inggeris. Hana disoal. Hana berkata surat itu ditulisnya sendiri dan tidak mengaku dia meniru surat Miss Scott.
Matlamat tidak menghalalkan cara (teringat saya ayat ini daripada seorang yang memberi nasihat, apabila saya mengambil sebuah cincin yang tercicir di bilik salinan Spa sebab terfikir untuk meninfaqkan cincin emas itu apabila melihatnya), jadi Hana berasa sangat bersalah setelah mendapat tahu Miss Scott jatuh sakit sebab suratnya ditiru Hana dan diumumkan. Rasa bersalah ini mendesak Hana berdepan Miss Scott and mengaku perbuatannya itu.
Hana ialah cerita benar seorang wanita Jepun yang menjadi penterjemah pertama buku sastera. Bukunya siri "Anne of Green Gables" menjadi buku teks sekolah.

(bilamana ada ruang masa, saya cuba bawa cerita Hana ini).

******

Thursday, April 10, 2014

虹色



Lagu tema Hana dan Ann (はなとあん)

Korekara hajimaru anata no monogatari zutto nagaku michi wa tsudzuku yo
Nijiiro no ame furisosogeba sora wa takanaru
Mabushī egao no oku ni kanashī oto ga suru
Yorisotte ima ga atte kon'nani mo itōshī
Te o tsunageba atatakai koto kirai ni nareba hitori ni natte iku koto
Hitotsu hitotsu ga anata ni naru niji wa tsudzuku yo
Kaze ga hakobu kibō no tane hikari ga yume no tsubomi ni naru
Korekara hajimaru anata no monogatari zutto nagaku michi wa tsudzuku yo
Nijiiro no ame furisosogeba sora wa takanaru

Ini permulaan cerita kamu. Jalan yang jauh akan berterusan.
Hujan berwarna pelangi turun dari langit tinggi

Di sebalik sinaran senyum itu ada suara pilu
Berpelukan dalam kasih dan sayang selama ini
hangat tanganku digenggam tapi jika ada benci, kupergi sendiri
satu per satu jadilah terus seperti pelangi
angin yang membawa benih semangat, menjadi pucuk sinar impian
Ini permulaan cerita kamu. Jalan yang jauh akan berterusan.
Hujan berwarna pelangi turun dari langit yang tinggi.
 


Tuesday, April 01, 2014

Penggal baharu 1.4.14

1.4.14:  Hari ini tepat jam 12 tadi, harga cukai pengguna naik dari 5% ke 8% di Jepun. Hujung minggu semalam saya lihat ramai orang Jepun borong barang-barang seperti kertas tisu, kertas tandas, makanan haiwan dan lain-lain untuk menggelak bayaran cukai baharu ini.
Kalau difikirkan bezanya hanya 3%. Lainlah kalau beli barang harga yang lebih dari yen10,000. Ini saya rasa hanya "herd mentality". Orang lain buat, kita rasa perlu lakukan yang sama. Bukan saya.

Lama saya tinggalkan catatan di sini. Sebenarnya saya sedang menyemak haiku dan tanka dari dua kumpulan. Penulis daripada salah satu kumpulan ini tergolong daripada pekerja dan suri rumah penuh-masa. Kumpulan ini amat susah untuk menyusun jadual perbincangan dan ini meleret-leretkan tugas.

Salah satu lagi kumpulan mengadungi para penulis yang daripada pelbagai kerjaya. Bukan mudah untuk menumpukan tulisan jika jasad itu keletihan, itu sangat saya faham dan pernah alami. Makanya ini mengakibatkan projek berpanjang-panjangan mengikut keselesaan para penyumbang.

Banyak saya ingin bercerita tentang buku, tentang ilmu, tentang budaya, tentang hati, tentang fikir tapi saya juga keletihan setelah memerah mental dalam projek-projek yang sedang berlangsung.

Apa-apa pun hari ini 1.4.14 dan hari ini Jepun membuka penggal baharu untuk tahun 2014.

*****


Saturday, March 15, 2014

Kyoki Higa (1914-2004)



 Kyoki Higa atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Pakcik Higa oleh orang-orang Melayu yang kenal padanya, ialah seorang lagi yang saya abadikan dalam novel Pagi Semerah Daun Momiji.

Pertama kali saya mengenali beliau pada tahun 1998, apabila dibawa oleh sekumpulan peserta dari Malaysia mengunjungi rumahnya di Itoman, ia itu di bahagian selatan pulau ini. Selepas perjumpaan yang pertama itu, saya kerap ke rumah beliau untuk membawa para peserta dan pelajar dari Malaysia yang ingin berjumpa beliau.
Setiap kali berjumpa,  beliau akan menceritakan pengalaman dan kehidupan di Malaysia sebelum meletus dunia ke-2. Saya diberi izin mencatatkan riwayat beliau, walaupun buat waktu itu, sekilas pun tidak terfikir sejarah berlisan itu akan menjadi bahan novel ini.

Kyoki Higa mengikut pakciknya ke Malaya pada tahun 1929 dan ditugaskan menjaga enjin kapal, waktu itu beliau berumur 15 tahun. Pakcik beliau mempunyai tug-boat untuk mengangkut biji timah ke Jepun dan dengan kapal ini juga mengangkut barang-barang lain seperti ikan, rempah-ratus dari kepulauan Singapura dan Indonesia. Tugas ini berlangsung selama 10 tahun.
Ketika Jepun menjajah Malaya semenjak 8 Disember 1941, kerana kefasihan beliau bertutur loghat negeri Trengganu, ada ketika beliau disyaki sebagai perisik atau pengintip untuk orang Melayu oleh tentera Jepun.
Setelah Jepun menyerah dan beredar dari Malaya, semua rakyat Jepun dikerah balik oleh tentera British.
Beliau pulang ke Okinawa bersama isteri Melayu bersama seorang anak lelaki dan menginap di kampung Itoman. Isteri beliau yang bernama Fatimah binte Shariff meninggal dunia pada tahun 2002. Waktu saya menulis ini anak beliau yang diberi nama Kuniyaki Higa tinggal bersama anaknya. Cucu Pakcik Higa menghubungi saya (2 Ogos 2013) setelah mengesani catatan PakCik Higa di blog ini.

Terakhir saya menziarah Pakcik Higa pada 10 Januari 2004 dan dimaklumkan kematian beliau pada 24 Mac 2004 (selepas dua minggu berlalu).

[Pakcik Higa 87, tahun 2001]

Dalam novel ini saya abadikan beliau dengan nama mesra Pakcik Higa.

*****

Tuesday, March 04, 2014

Duta Besar Damai


 Puan Kinjyou (dengan mikrofon) salah seorang yang masih hidup sekarang yang pernah mengalami letupan bom atom di Hiroshima  dengan impak dekat. Pertama kali saya mengenali puan ini ialah pada tahun 2003 (11 tahun lalu). Ketika itu kami menghadiri persatuan haiku yang sama. 

Masa umurnya 10 tahun, beliau mengalami letupan bom ini, walaupun jarak dari pusat letupan ke rumahnya jauh 3 kilometer. Bahang kehangatan letupan itu bergerak seperti kekuatan ombak tsunami (terasa kepanasan letupan itu membakar) walaupun lutsinar. 


Beliau sekarang dilantik sebagai Duta Besar Damai atau Peace Ambasador. Beliau dijemput setiap tahun ke majlis peringatan perang dan menceritakan pengalaman letupan itu pada Hari Peringatan Tamat Perang. Saya pernah menghadiri salah satu majlis ini dan berasa pengalaman beliau harus dicatatkan. Dengan galakan beliau untuk kelanjutan damai di dunia ini, pengalaman beliau menjadi putik ilham yang melatarkan pergolakan dalam penceritaan novel Pagi Semerah Daun Momiji.

Sesudah  berumah tangga (suami beliau mantan profesor Univ. Ryukyu), beliau tinggal di bandar Shuri dan masih giat menghadiri persatuan haiku yang saya hadiri sekarang.


 *****

Thursday, February 27, 2014

Kaki burung jenjang


[imej: cityshunanlg.jp]

Petikan dari buku Sukma Basho Dalam Haiku (Penerbit ITBM).
Penulis Bersama: Darma Mohammad.

[82:156] samidare ni/tsuru no ashi/mijikaku nareri
SBDH @ Menjadi pendek/kaki burung sang jenjang/dalam hujan Mei

Bulan Mei ialah musim hujan di banyak tempat di Jepun. Dalam perjalanan Basho menelusuri sebatang sungai, dilihatnya kaki burung jenjang semakin pendek apabila hujan semakin lebat.
Tafsiran haiku ini daripada penulis bersama buku ini: Darma Mohammad. 
"Haiku ini indah :
[1] Dari sisi Basho : Dia (Basho) sedar, sang jenjang nampak pendek kerana kaki jenjang ditenggelami air, dan ini pandangan zahir (hakikatnya kaki jenjang tetap panjang). Di sini air mampu mengelirukan tanggapan ora
ng terhadap sesuatu; seperti juga 'cahaya' boleh mengelirukan tatkala berlakunya fatamorgana. Ini ketajaman Basho, saya kira.

[2] Dari sisi sang jenjang (dugaan sahaja) : Sang jenjang tidak memikirkan kakinya pendek atau panjang mengikut penilaian orang; kerana dia sedar sifat-sifat dirinya tidak berubah, walaupun dia berada di dalam air (persekitaran yang berubah). Dia tetap dia.
Saya suka meneroka haiku Basho untuk mendapat apa yang tersirat di dalamnya.
Wassalam.
***** 

Tuesday, February 25, 2014

Sejuk-Sejuk Tokyo

Sejuk-sejuk TokyoSejuk-sejuk Tokyo by Abu Yazid Abidin

My rating: 2 of 5 stars

Novel ini menceritakan sekumpulan pelajar yang berkursus di Univ. Waseda dalam masa pendek. Salah seorang pelajar itu ialah Azad daripada Malasia.
Azad jatuh cinta dengan seorang wanita Jepun dan ini menjadi pergolakan dalam  novel.
Penulis masukkan adegan cinta sambil menyelitkan sedikit kehidupan, kegiatan dan perilaku masyarakat Jepun cara keseluruhannya. Ini saya rasa tidak menepati gambaran masyarakat di Jepun sebab penulis mengambil kehidupan keseluruhan orang Jepun tanpa menyelidik dengan lebih teliti.

View all my reviews

*****

Friday, February 21, 2014

Bandara Naha Antarabangsa


Bahasa Melayu tidak gunakan istilah bandara (pendekan pada kosa kata bandar udara atau lapangan terbang) yang telah ditetapkan dalam kamus bahasa Indonesia. Saya gunakan bandara sebab ia sangat mudah ditulis, tidak panjang dan rasanya sesuai menggambarkan kegiatan di tempat ini.

Bandara Naha Antarabangsa sudah dibuka untuk operasi pada 17 Feb. 2014. Sebelum ia dibuka Naha atau bandar raya Okinawa telah menerima penerbangan dari Taiwan, China, Korea dan Hong Kong.

Saya harap dari pembukaan bandara ini akan bermula penerbangan terus dari Singapura dan Malaysia.

Ini pautan untuk pelancong: http://www.okinawastory.jp/en/

*****

Wednesday, February 12, 2014

Cerpen "Jangan Belok-belok"


Berita Harian, Singapura menerbitkan cerpen ini dalam ruang GAH pada 27 Jan 2014. Ruang ini menumpukan karya sastera seperti cerpen, puisi, esei sastera dan segala catatan berkaitan sastera.

Cerpen ini pengalaman saya bersama seorang gadis Jepun. Apakah lanjutan cerpen ini?
Silalah ke laman Gah, Berita Harian, Singapura, jika ingin tahu.

*****

Saturday, February 08, 2014

Pulau berpecah-pecah






Petikan dari buku Sukma Basho Dalam Haiku (Penerbit ITBM).
Penulis Bersama: Darma Mohammad


Shimajima ya
chiji ni kudakite
natsu no umi.

@Gugusan pulau
laut di musim panas
pecah bertabur.

Dalam pengembaraan Basho ke pantai Matsushima, dia amat terpegun dengan pecahan pulau-pulau kecil yang berselerakan di pantai itu. Gambaran alam ketika itu, pada Basho ialah yang tercantik pernah dilihatnya.

Haiku ini mengaitkan pulau-pulau itu bersama ombak. Disebabkan pulau-pulau itu berpecah-pecah, maka ombak di laut itu juga berpecah-pecah @ Leyla Shuri.




*****

Tuesday, February 04, 2014

Cucuk sanggul




Ini ialah cucuk sanggul yang masih digunakan oleh wanita di Jepun. Imej cucuk sanggal ini saya ambil dari internet-google dan lain-lain web. Kepada penulis atau sesiapa yang inginkan imej ini, sila cari merata-rata di google. Tak perlu petik dari imej (di atas) yang saya juga ambil dari google.

Saya ambil imej-imej cucuk sanggul ini untuk memberi gambaran pada cucuk sanggul yang digunakan oleh watak-watak perempuan dalam novel Pagi Semerah Daun Momiji.



Kepada pembaca yang telah mendapatkan novel ini, saya mengucapkan terima kasih. Butir-butir selanjutnya, ada tertulis di sebelah kanan blog ini.

*****

Sunday, January 26, 2014

なんの花


imej: 123rf



Petikan dari buku Sukma Basho Dalam Haiku (Penerbit ITBM).


#45 Nan no ki no hana to wa shirazu nioi kana. Apa pohonnya tidak tahu bunganya yang mengharumkan. Dalam pengembaraan Basho ke kawasan Ise, beliau terhidu keharuman dari bunga yang sedang berkuntum. Disebabkan itu pertama kali Basho ke Ise, beliau menyatakan dalam haiku ini bahawa bunga itu belum pernah dilihatnya, maka dia tertanya-tanya nama bunga itu.
*****

Tuesday, January 14, 2014

101 tahun

Hari ini 14.1.14 dan bersamaan hari ini umat Islam meraikan Maulidur Rasul. Hari Junjungan Nabi kita dilahirkan ini mengikut takwim hijri. Kalau mengikut takwim Jepun pula hari ini hari ulang tahun bapa mentua saya lahir.
Beliau dilahirkan pada tahun Taisho 2 dan apabila ditukarkan ke tahun masihi ialah 14.1.1913.
Ini bermakna hari ini beliau berumur 101 tahun.

Selera makannya masih kuat. Tiga kali separuh badan beliau tidak berfungsi dilanda angin akmar tapi selepas terapi, anggota badannya berfungsi semula. Namun serangan yang terakhir masih meninggalkan kesan pada tangan kiri. Walau bagaimanapun tangan kanan masih sihat untuk melakukan tugas-tugas seperti makan dan pembersihan di tandas.

Kami, suami isteri yang menjaga beliau. Makanannya tidaklah banyak mana dan dia tidak banyak pantang dalam permakanan. Pemakanan beliau sederhana sahaja.

Tiga kali dalam seminggu, beliau dibawa ke Pusat Penjagaan Siang atau DayCare. Di situ, beliau mandi dengan bantuan ahli terapi, juga diberi pemeriksaan kesihatan.

Banyak buku di pasaran menulis tentang kesihatan dan panjang umur penduduk Okinawa. Macam-macam ramuan dan teori ditulis tentang topik ini.
Tetapi pada saya yang tinggal bersama-sama penduduk pulau ini, saya kata apapun kita lakukan perlu kesederhanaan. Itu saja rahsianya.

Bukankah ini juga ditegaskan oleh Junjungan Nabi kita?

Salam Sejahtera kepada Junjungan Nabi kita.

*****

Sunday, January 05, 2014

Heisei 26 (2014)



Hampir seminggu sudah bermula tahun Heisei 26 dan inilah baru dapat ruang masa untuk mencatatkannya di sini. Heisei 26 ialah tahun takwim Jepun. Kiraan ini bermula dari pemerintahan Maharaja sekarang. Ini bermakna maharaja sekarang sudah bertakhta selama 26 tahun.
Pada asalnya, kalender Jepun mengikut kiraan bulan macam orang Islam juga mengikut hijri atau takwim lunar. Bebetulan takwim China juga mengikut kiraan bulan. Untuk tidak disamakan dengan China, bermula pada tahun 1863, pemerintah Jepun mengambil kiraan matahari mengikut takwim antarabangsa yang digunakan sekarang. Walaupun begitu, Jepun masih mengekalkan takwim pengiraan tahun pada ketakhtaan pemerintahan maharaja yang sedang berkuasa buat waktu itu.
Tahun-tahun dalam takwim Jepun ialah Tahun Meiji, Tahun Taisho, Tahun Showa dan terkini Tahun Heisei.
Dalam surat pendaftaran Jepun, tahun bapa mentua saya lahir pada 14 Januari Meiji 35. Tahun lahir suami saya pula kalau mengikut takwim Jepun ialah 6 Januari Showa 26 *baru teringat esok, tapi mengikut kiraan takwim ini, agak susah untuk mengira umurnya*.

Sebenarnya saya ingin katakan di sini bahawa Jepun masih mengikut kiraan takwim kalender sendiri dalam hal-hal hariannya, sama ada dalam perkara rasmi atau tidak rasmi.
Saya memikirkan keseluruhan negara-negara Islam di dunia sudah kurang mengira tahun hijri lagi dalam perkara rasmi. Catatan takwim dan jadual harian menggunakan tarikh masihi, walhal orang Islam sudah ada takwim yang cukup lengkap. Ini bermakna orang Islam tidak kuat memegang kebudayaan Islam dan merelakan kehidupan mereka berputar dengan takwim masihi.

Gambar di atas itu saya gubah untuk hiasan ruang tamu di rumah bapa mentua. Kami suami isteri sebagai penjaga bapa mentua terpaksa melayan tamu-tamu, anak-anak, cucu dan cicit orang tua itu.
Keletihan berulang-alik ke rumah bapa mentua (walaupun jarak pintu kami hanya 5 langkah) melayan kerenah tamu-tamu yang menziarah bapa mentua, diakhiri dengan demam selesema.


Dalam gambar itu ialah bapa mentua saya yang tidak lama lagi (14 Januari 2014) umurnya akan mencecah 101 tahun.

Kiraan tahun takwim Jepun: http://www.meijigakuin.ac.jp/~watson/ref/mtsh.html

*****